Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekolah dan pelajar saksikan kemajuan positif setahun selepas SBB dilaksanakan

Setahun selepas pelaksanaan penuh Skim Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (SBB) di semua sekolah menengah, kemajuan positif telah dicatatkan dalam kalangan pelajar dan pihak sekolah.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Setahun selepas pelaksanaan penuh Skim Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (SBB) di semua sekolah menengah, kemajuan positif telah dicatatkan dalam kalangan pelajar dan pihak sekolah.

Skim tersebut menggantikan sistem aliran akademik - Ekspres, Normal (Akademik) dan Normal (Teknikal) dengan tiga kategori: G1, G2 dan G3.

Melalui SBB, subjek utama seperti Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, dan Bahasa Ibunda dipelajari mengikut kecenderungan dan keupayaan pelajar.

Mereka mengikuti kelas bersama rakan-rakan yang berada pada tahap serupa bagi setiap subjek.

Hanya subjek-subjek seperti seni, muzik dan latihan jasmani sahaja diambil di peringkat yang sama dengan rakan-rakan sedarjah mereka.

Langkah itu memberi peluang kepada pelajar untuk mengambil lebih banyak mata pelajaran pada tahap yang lebih tinggi.

Setelah dirintis pada 2020, SBB kini dilaksanakan sepenuhnya sejak 2024.
Antara sekolah yang menyaksikan kemajuan positif itu ialah Sekolah Menengah Pasir Ris (PRSS).

"Saya mendapati para pelajar kami mempunyai lebih keyakinan dalam mata pelajaran yang lebih mencabar ini. Sebelum perlaksanaan SBB di sekolah ini, guru-guru kami telahpun dilatih dengan arahan berbeza. Pihak Kementerian Pendidikan (MOE) juga telah memberikan banyak sokongan terutama sekali dalam reka bentuk kurikulum serta pengajaran. Jadi sekolah kami hanya terus memantau kesejahteraan para pelajar kami," kata Ketua Tahun Peringkat Menengah Tinggi, Encik Mohamed Ashiq Mohamed Elias kepada wartawan Syawal Yusoff.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Bagi guru Bahasa Inggeris, Cikgu Maryam Anuar, beliau melihat perubahan positif dalam sikap pelajar.

Beliau juga memastikan sekitaran pembelajaran yang lebih kondusif buat semua pelajar.

"Apabila saya menerima semua murid-murid dalam kumpulan G1, G2 dan G3, saya tahu mereka semua dalam latar belakang akademik yang berbeza. Jadi apabila mereka berada dalam kelas saya, saya mesti pastikan mereka semua rasa tenang, rasa tak selalu tercabar apabila mereka bandingkan diri mereka dengan para pelajar lain dalam kelas.

"Saya akan selalu pergi ke mereka dan menanyakan dengan mereka tentang perkembangan mereka. Atau adakah isu-isu yang mereka rasa bahawa mereka perlukan lebih sokongan. Jadi mereka rasa tenang, difahami dan disokong di dalam kelas," jelas Cikgu Maryam, yang mengajar para pelajar dari menengah satu hingga empat.
PERGAULAN DENGAN KAWAN-KAWAN TAHAP LAIN DORONG PELAJAR UNTUK SALING BANTU-MEMBANTU

Usaha bersama antara guru-guru dan para pelajar telah memberi dorongan kepada pelajar menengah dua, Shazad Arib Matin Adam, untuk terus berusaha cemerlang dalam pelajarannya.

Sebagai pelajar kohort pertama di bawah skim SBB, Shazad merasa lebih selesa mengambil semua subjek pada tahap G1.
Selain itu, pergaulannya dengan rakan-rakan dari tahap lebih tinggi turut mendorongnya untuk berusaha lebih kera.

Beliau bercita-cita untuk naik ke tahap G2 pada tahun hadapan.

"Bagi kertas G1, ia senang. Kalau G2 susah sedikit. Jadi kalau kawan-kawan tolong saya, mereka boleh jelaskan kepada saya dengan mudah.

"Saya ada kawan yang bukan dari kumpulan saya. Tapi saya boleh cakap dengan mereka, boleh tanya dengan mereka kalau saya tidak tahu membuat kerja-kerja sekolah saya," ujar Shazad.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Menurut pihak sekolah, skim SBB membuka lebih banyak peluang untuk para pelajar cemerlang di luar bilik darjah.

Ini membolehkan mereka untuk cemerlang secara holistik bukan sahaja sekadar akademik.

"Apabila mereka mewakili kelas mereka sama ada dalam pertandingan akademik, dalam aktiviti pengayaan, dalam peluang kepimpinan, kami tidak lagi terikat dengan aliran akademik. Pada masa lalu saya perlu katakan kepada Anggota Majlis Pelajar saya, jawatankuasa mesti ada campuran kesemua tiga aliran. Sekarang kami hanya biarkan sistem berkembang dan para pelajar boleh mencalonkan diri mereka, guru-guru boleh mencalonkan diri mereka," kata Pengetua, Sekolah Menengah Pasir Ris, Cik Grace Chua.

Sekolah itu telah menerima kohort kedua pelajar menengah satu yang mengambil skim SBB dan mereka kini sedang menjalani program orientasi untuk membantu mereka menyesuaikan diri di sekolah menengah.
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan