Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekolah boleh laksana langkah seperti pakai pelitup jika ramai pelajar jatuh sakit dengan gejala pernafasan

Anggaran Waktu Membaca:
Sekolah boleh laksana langkah seperti pakai pelitup jika ramai pelajar jatuh sakit dengan gejala pernafasan

Gambar fail: Jeremy Long

Diterbitkan : 15 Apr 2023 08:58PM Dikemas Kini : 15 Apr 2023 08:59PM
SINGAPURA: Sekolah-sekolah boleh melaksanakan "langkah-langkah bersasar" seperti memakai pelitup sekiranya ramai pelajar jatuh sakit dengan gejala pernafasan.

Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan demikian pada Sabtu (15 Apr) semasa menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai lonjakan pada jumlah kes COVID-19 di Singapura dan sama ada ia menyaksikan peningkatan pada kadar ketidakhadiran dalam kalangan pelajar.

"Ketidakhadiran pelajar disebabkan oleh penyakit yang berkaitan dengan demam selesema masih terkawal," nyata MOE.

"Bagi kes-kes di mana pihak sekolah mengesan sejumlah pelajar yang mengalami simptom pernafasan, pihak sekolah boleh mengambil langkah tambahan bagi kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman di bilik darjah dan ruang bersama, dan mereka juga boleh melaksanakan langkah-langkah bersasar seperti memakai pelitup bagi mencegah penularan lanjut dalam kalangan pelajar serta tenaga kerja sekolah."

Singapura sedang berdepan dengan gelombang penularan COVID-19, dengan jumlah jangkitan harian melonjak dari sekitar 1,400 kes sebulan lalu kepada kira-kira 4,000 kes sehari minggu lalu.

Ia adalah sebahagian kecil daripada 20,000 kes atau lebih jangkitan harian yang dicatatkan semasa kemuncak pandemik tersebut, dedah Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Jumaat (14 Apr).

Beliau menambah bahawa jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital juga "jauh lebih rendah" berbanding bilangan yang dicatatkan semasa kemuncak pandemik.

Berdasarkan gelombang yang melanda sekarang, kira-kira 30 peratus daripada kes-kes COVID-19 merupakan jangkitan semula, lebih tinggi berbanding 20 hingga 25 peratus yang dicatatkan sebelum ini, kata Encik Ong.

Menurut MOE, pihaknya sedia maklum tentang lonjakan pada jumlah kes COVID-19 baru-baru ini dan akan terus memantau keadaan di sekolah.

MOE turut menasihati para ibu bapa, yang anak-anak mereka kurang sihat supaya berjumpa doktor dan membenarkan mereka berehat di rumah.

Para pelajar juga digalak mengamalkan tabiat kebersihan diri yang baik seperti kerap mencuci tangan.

"Kesihatan serta kesejahteraan para pelajar adalah keutamaan kami," tekan MOE.

Kementerian tersebut menggalak semua ibu bapa dan pelajar supaya memainkan peranan mereka dengan bertanggungjawab secara sosial terhadap musim demam selesema dan gelombang jangkitan COVID-19 yang mungkin melanda dari semasa ke semasa sedang Singapura memasuki fasa endemik.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan