Sekolah antarabangsa baru bakal dibuka di tapak lama ITE Tampines
Kampus baru itu akan dibuka untuk seramai 1,000 pelajar bagi peringkat Tadika 2 (3 tahun) hinggalah peringkat menengah (18 tahun).
Kampus baru Sekolah Antarabangsa Middleton di Tampines Street 92. (Gambar: EtonHouse)
SINGAPURA: Sebuah sekolah antarabangsa baru akan dibuka di tapak yang sebelum ini menempatkan Institut Pendidikan Teknikal di Tampines Street 92 selepas EtonHouse International Education Group menang tender Penguasa Tanah Singapura (SLA) dan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB).
EtonHouse menyatakan dalam kenyataan medianya hari ini (22 Dis) bahawa ia akan membangunkan kampus kedua Sekolah Antarabangsa Middleton (MIS) di Singapura di tapak seluas 291,996 persegi itu. Beberapa bilik darjah dengan pelbagai saiz, tiga gelanggang tenis dan sebuah padang akan dibangunkan di sekolah itu.
MIS mula beroperasi pada Januari 2017 dengan kampus pertamanya di Upper Bukit Timah Road.
Tender yang dibuka pada 12 Oktober itu adalah bagi tempoh awal selama tiga tahun.
Kampus baru itu akan dibuka untuk seramai 1,000 pelajar bagi peringkat Tadika 2 (3 tahun) hinggalah peringkat menengah (18 tahun).
Prasekolah itu akan mengikuti program 'Inquire-Think-Learn' EtonHouse, sementara program sekolah rendah akan mengikuti kurikulum Britain bagi bahasa Inggeris. Subjek-subjek matematik, sains dan ilmu kemanusiaan akan mengikut sukatan pelajaran Kementerian Pendidikan (MOE).
MIS juga akan menawarkan program Cambridge IGCSE bagi tingkatan 9 dan 10, serta kelayakan bagi peperiksaan antarabangsa Cambridge peringkat 'AS' dan 'A'.
Menurut EtonHouse, yuran bagi program sekolah rendah (Tingkatan 1 hingga 5) adalah "dimampui" iaitu S$15,000 setiap tahun. Kos bagi program menengah berharga S$17,250 setiap tahun (tingkatan 6 hingga 10), dan S$19,837 setahun bagi tingkatan 11 dan 12.
EtonHouse menyatakan bahawa yuran yang ditawarkan "hampir separuh berbanding yuran sekolah antarabangsa lain di Singapura".
Kampus baru itu akan menawarkan gabungan guru-guru tempatan dan antarabangsa dan akan mewujudkan "lebih 150 pekerjaan". Sekolah itu juga akan teroka isu-isu sosial seperti kemampanan sekitaran dan meningkatkan kesedaran sosial para pelajar supaya mereka memainkan peranan yang lebih aktif.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.