Skip to main content

Singapura

Sekolah ambil langkah keselamatan tambahan sambung lawatan luar negara selepas COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sekolah-sekolah di Singapura sedang menyambung semula lawatan ke luar negara, tiga tahun selepas pandemik COVID-19 yang menghentikan aktiviti sedemikian.

Sekalipun demikian, beberapa sekolah memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya masih mengambil langkah berjaga-jaga tambahan apabila membawa para pelajar ke luar negara.

Sebagai contoh, Sekolah Menengah Cedar Girls membuat persiapan bagi mana-mana pelajar yang jatuh sakit untuk diasingkan dan ditempatkan di dalam bilik hotel berasingan semasa lawatan ke Bali baru-baru ini.

Guru-guru yang menyertai lawatan itu harus bertindak dengan cepat, walaupun pelajar tersebut tidak dijangkiti COVID-19.

TUNTUT ILMU DI LUAR BILIK DARJAH

Lawatan tersebut melibatkan 30 pelajar yang pergi ke pulau peranginan Indonesia itu untuk mempelajari budayanya, di bawah sebuah program yang memberikan mereka pengalaman kehidupan di negara-negara Asia yang lain.

Sebagai langkah berjaga-jaga tambahan, lima guru mengikuti lawatan itu, lebih ramai daripada tiga guru dalam lawatan sebelum ini.

Cik Nuraini, guru yang bertanggunjawab bagi program pengajian serantau Sekolah Menengah Cedar Girls, berkata bahawa lawatan luar negara sedemikian memperluaskan pengalaman pembelajaran pelajar di luar bilik darjah.

BUAT PERANCANGAN IKUT PERUBAHAN

Di Maktab Rendah Temasek (TJC), guru-guru juga harus membuat perancangan mengikut perubahan bagi lawatan mereka ke Kuantan dan Kuala Lumpur.

"Kami dapat tahu bahawa salah satu tempat tarikan yang sering kami kunjungi ditutup akibat COVID, jadi kami perlu mengubah jadual perjalanan," kata guru TJC, Jared Wong.

"Namun pada masa yang sama, ia memberi kami peluang untuk mencari tempat-tempat baru dan menyertakannya ke dalam jadual perjalanan kami, yang juga merupakan tempat-tempat yang bermakna."

Para pelajar memberitahu Mediacorp bahawa mereka sangat bersyukur kerana akhirnya dapat ke negara lain untuk meraih peluang pembelajaran.
 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita