Skip to main content

Singapura

Sekitaran luaran, pengalaman GE2020, usaha akar umbi sumbang kepada kemenangan PAP dalam GE2025: PM Wong

Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi "mandat kukuh" dalam Pilihan Raya Umum tahun ini (GE2025) disebabkan sekitaran luar, pengajaran daripada persaingan pada 2020 serta usaha kukuh para Anggota Parlimen (AP) parti itu di peringkat akar umbi, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Jumaat (4 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Sekitaran luaran, pengalaman GE2020, usaha akar umbi sumbang kepada kemenangan PAP dalam GE2025: PM Wong

Perdana Menteri Lawrence Wong berucap semasa Majlis Penghargaan bagi Anggota Parlimen PAP yang Bersara di Parlimen pada 4 Julai 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 04 Jul 2025 10:48PM Dikemas Kini : 05 Jul 2025 07:27AM
SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) memperolehi "mandat kukuh" dalam Pilihan Raya Umum tahun ini (GE2025) disebabkan sekitaran luar, pengalaman daripada Pilihan Raya Umum 2020 serta usaha kukuh para Anggota Parlimen (AP) parti itu di peringkat akar umbi, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Jumaat (4 Jul).

PAP meraih 65.57 peratus undi popular dalam persaingan pilihan raya tersebut yang menurut Encik Wong — yang juga Setiausaha Agung parti — menyaksikan “saingan sengit di beberapa kawasan undi”.

Beliau berkata demikian semasa acara penghargaan di Bangunan Parlimen bagi 20 AP PAP yang bersara pada Pilihan Raya Umum tahun ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan Chan Chun Sing mengetuai semakan pasca-pilihan raya bagi mengenal pasti aspek-aspek yang berjaya dilakukan dengan baik serta ruang penambahbaikan pada masa depan.

Menurut beliau, sekitaran luar memainkan peranan dalam kemenangan PAP.

“Kami nyatakan dalam manifesto kami bahawa ini adalah dunia yang sudah berubah. Ramai rakyat Singapura turut menyedarinya,” katanya.

“Mereka mahukan kepimpinan yang mantap dan diyakini untuk menghadapi cabaran mendatang, dan mereka mengundi dengan sewajarnya.”

Parti tersebut turut mengambil iktibar daripada pengalamannya pada 2020, kata Encik Wong.

Ketika itu, parti pemerintah kehilangan sebuah lagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC).

“Kami mempertingkat usaha dari segi komunikasi dan media sosial, dan kami menjalankan kempen yang lebih berdisiplin, diselaraskan dan tertumpu,” katanya.

Akhir sekali, keputusan pilihan raya mencerminkan kerja keras semua AP PAP di lapangan dalam menjaga kebajikan penduduk, menerangkan dasar pemerintah, menyuarakan isu di Parlimen serta menambah baik kawasan kejiranan, kata beliau.

“Melalui dedikasi dan usaha anda, kita berjaya membina kepercayaan dan hubungan jangka panjang dengan penduduk,” katanya.

Encik Wong turut mengakui bahawa beberapa AP baharu “diperkenalkan agak lewat dalam proses itu", dan ia merupakan satu aspek yang boleh diperbaiki parti.

MENGHARGAI ANGGOTA PARLIMEN YANG BERSARA

Encik Wong menyatakan bahawa 20 AP yang bersara sudah menyumbang lebih 280 tahun dalam bentuk khidmat secara keseluruhan di parlimen, sesuatu yang beliau sifatkan sebagai “legasi yang luar biasa.”

Beliau berkata ada yang ingin menyerahkan tanggungjawab kepada generasi seterusnya, manakala sebahagian lagi memohon untuk bersara atas sebab peribadi, sesuatu yang beliau hormati.

“Sebilangan anda sebenarnya boleh terus berkhidmat untuk satu lagi penggal. Tetapi saya perlu memohon agar anda memberi laluan kepada pembaharuan dan generasi baharu,” katanya, sambil menambah bahawa beliau amat menghargai pemahaman mereka.

Beliau menyatakan bahawa para AP yang bersara sudah membuat sumbangan besar, menyuarakan pelbagai isu di parlimen serta memenuhi keperluan penduduk di lapangan.

Encik Wong turut mengucapkan terima kasih kepada enam pemegang jawatan politik dalam kumpulan yang bersara: Encik Heng Swee Keat, Encik Teo Chee Hean, Dr Ng Eng Hen, Dr Maliki Osman, Encik Heng Chee How dan Dr Amy Khor.

“Saya telah bekerjasama rapat dengan anda semua, dan saya banyak belajar daripada setiap seorang daripada anda,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa Encik Teo akan berkhidmat sebagai penasihat kanan di Pejabat Perdana Menteri (PMO), manakala Encik Heng akan terus mempengerusikan Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF).

Encik Wong turut berterima kasih kepada para AP yang bersara atas usaha mereka membantu mempersiapkan calon baharu menjelang GE2025 agar mereka dapat terus berkhidmat dari hari pertama.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan pasangan para AP tersebut yang sentiasa di sisi sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

“Menjadi seorang AP adalah satu tugas yang memerlukan banyak masa. Ia memerlukan pengorbanan bukan sahaja daripada para AP, tetapi juga keluarga mereka,” katanya.

MUTU CALON

Pilihan Raya Umum tahun ini menunjukkan betapa pentingnya mutu calon dalam pilihan raya, kata Encik Wong.

Menurut beliau, walaupun rakyat Singapura mengambil berat tentang isu nasional dan menilai mutu, nilai dan dasar setiap parti, mereka juga meneliti watak serta rekod seseorang calon itu.

“Mereka bertanya: Bolehkah saya mempercayai orang ini? Bolehkah mereka menjaga keluarga dan kawasan kejiranan saya? Adakah mereka benar-benar mahu berkhidmat dengan niat yang betul?” kata Encik Wong.

Beliau menekankan, dalam kebanyakan persaingan sengit, calon PAP yang kuat membawa perbezaan besar.

Encik Wong berkata PAP menampilkan 32 calon baharu dalam pilihan raya yang berlangsung pada 3 Mei lalu, jumlah terbesarnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pembaharuan menjadi keutamaan beliau sejak menjadi Perdana Menteri.

“Saya menghubungi ramai individu secara peribadi, untuk mendekati dan meyakinkan mereka unutk menyertai kami,” kata beliau.

“Saya gembira dalam pilihan raya ini, kita telah mencapai kemajuan baik dalam memperbaharui barisan kita.

"Tetapi pembaharuan tidak dilakukan sekali sahaja. Ia perlu diteruskan. Kita mesti terus mencari individu berkualiti untuk menyertai perjuangan kami.”

Encik Wong menyeru para AP PAP, baik yang sedang berkhidmat mahupun yang sudah bersara, agar membantu dalam mengenal pasti calon berpotensi, membimbing mereka dan menyokong pertumbuhan mereka, dalam usaha untuk berkhidmat kepada Singapura.

Beliau mengakui bahawa “memang bukan mudah untuk mencari individu seperti itu, dan ia tidak akan menjadi lebih mudah.”

Motivasi dan kesesuaian calon baharu juga tidak boleh dinilai hanya melalui beberapa sesi minum teh atau temu duga, dan mereka harus diperkenalkan lebih awal, kata Encik Wong.

Majlis penghargaan pada Jumaat itu dihadiri oleh 90 tetamu, termasuk para AP yang sudah bersara dan pasangan mereka, AP sekarang ini dan pengerusi cawangan PAP.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita