Skip to main content

Singapura

Sekitar S$6.8 juta hangus angkara kes penipuan pesanan pukal palsu sejak 5 bulan lalu

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sekurang-kurangnya S$6.8 juta hangus angkara kes penipuan pesanan pukal palsu sejak April lalu, dengan lebih 420 kes dilaporkan.

Demikian menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Selasa (27 Ogos).

Industri makanan dan minuman (F&B) serta perkhidmatan disasarkan dalam kes-kes yang dilaporkan kebelakangan ini, tambah pihak polis.

Penipu akan biasanya menyamar sebagai guru dari institusi akademik tempatan dan menghubungi restoran, peruncit, atau perniagaan berkaitan perkhidmatan menerusi panggilan atau WhatsApp, atas alasan ingin membuat pesanan pukal atau tempahan.

Mereka akan meminta barangan tambahan atau jenama barangan yang biasanya tidak disimpan oleh perniagaan, atau dalam kuantiti yang tidak dapat dipenuhi oleh peruncit dalam masa yang singkat.

"Pelanggan yang dimaksudkan kemudiannya akan mengesyorkan 'pembekal', di mana mangsa boleh dapatkan bekalan," jelas pihak polis.

Demi meyakinkan mangsa membuat bayaran pendahuluan kepada pembekal palsu, penipu akan memberi tangkapan skrin yang menunjukkan mereka telah membayar sebahagiannya kepada mangsa terbabit bagi pesanan pukal itu.

Mangsa akan hanya menyedari mereka ditipu apabila mereka tidak menerima sebarang pembayaran daripada pelanggan yang dimaksudkan itu, atau apabila pembekal tersebut tidak menghantar barangan berkenaan.

Kedua-dua pelanggan dan pembekal kemudiannya tidak boleh dihubungi.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai skim penipuan sedemikian boleh hubungi talian 1800-255-0000 atau menyerahkan maklumat itu secara online.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita