Skip to main content

Singapura

Sekitar 950,000 isi rumah HDB akan terima rebat baucar GST bagi bil api air April

Sekitar 950,000 isi rumah warga Singapura yang tinggal di flat HDB akan menerima rebat U-Save baucar GST suku tahunan mereka bulan ini, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Khamis (1 April).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 01 Apr 2021 01:38PM Dikemas Kini : 01 Apr 2021 09:46PM

SINGAPURA: Sekitar 950,000 isi rumah warga Singapura yang tinggal di flat HDB akan menerima rebat U-Save baucar GST suku tahunan mereka bulan ini, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Khamis (1 April).

Isi rumah akan menerima tambahan 50 peratus U-Save biasa mereka dalam tahun kewangan 2021, yang akan diagihkan pada April dan Julai, kata kementerian itu dalam satu kenyataan media.

Jumlah keseluruhan U-Save biasa dan bayaran khas U-Save sebanyak S$460 juta berbentuk rebat diagihkan dalam tahun kewangan ini, untuk membantu keluarga-keluarga menampung perbelanjaan isi rumah mereka.

Bayaran khas U-Save adalah sebahagian daripada Pakej Sokongan Isi Rumah bernilai S$900 juta untuk memberi sokongan tambahan kepada keluarga-keluarga bagi perbelanjaan mereka. Pakej tersebut diumumkan semasa Belanjawan 2021 pada Februari. Keluarga berpendapatan rendah hingga pertengahan akan menerima lebih banyak sokongan.

Biasanya, isi rumah di flat HDB satu dan dua bilik menerima rebat U-Save berjumlah purata sekitar tiga hingga empat bulan daripada bil api air mereka.

Bersama dengan pembayaran khas U-Save, isi rumah ini akan mendapat rebat setara empat setengah bulan hingga enam bulan daripada bil api air mereka. menurut MOF.

Isi rumah yang tinggal di flat tiga dan empat bilik biasanya menerima rebat U-Save berjumlah purata sekitar sebulan hingga dua bulan bil api air mereka. Mereka akan menerima sokongan setara kira-kira satu setengah bulan hingga tiga bulan bil api air mereka tahun ini.

Isi rumah yang anggotanya memiliki lebih daripada satu hartanah tidak layak untuk rebat U-Save.

Isi rumah yang layak akan menerima rebat U-Save baucar GST yang biasa pada empat suku tahun - April, Julai, Oktober dan Januari 2022.

Selain rebat U-Save biasa, isi rumah yang layak akan menerima bayaran khas mereka pada dua suku tahun iaitu April dan Julai.

Rebat U-Save biasa pada April, Julai dan Oktober termasuk tambahan S$5 setiap suku tahun dari Januari 2019 hingga Disember 2021. Ini diumumkan dalam Belanjawan 2018 untuk mengurangkan kesan pelaksanaan cukai karbon, menurut MOF. Mulai Januari 2022, rebat U-Save biasa yang diterima oleh isi rumah tidak lagi termasuk tambahan S$5.

Skim Baucar GST diperkenalkan oleh Pemerintah pada 2021 untuk membantu rakyat Singapura yang berpendapatan rendah dan pertengahan bagi mengimbangi sebahagian daripada perbelanjaan GST mereka.

Ia terdiri daripada tiga komponen - tunai, MediSave dan U-Save.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita