Sekitar 90 pesakit barah payudara mungkin jalani rawatan tidak diperlukan, menurut KTPH
Sekitar 90 pesakit barah payudara mungkin menjalani "rawatan yang tidak diperlukan", selepas satu ujian yang mengelaskan status pesakit menghasilkan keputusan yang tidak tepat, demikian menurut Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) pada Jumaat (11 Dis).
(Gambar: Pexels)
SINGAPURA: Sekitar 90 pesakit barah payudara mungkin menjalani "rawatan yang tidak diperlukan", selepas satu ujian yang mengelaskan status pesakit menghasilkan keputusan yang tidak tepat, demikian menurut Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) pada Jumaat (11 Dis).
Sekitar 180 pesakit barah payudara dianggarkan dikelaskan secara tidak tepat sebagai positif HER2 dan mungkin akan dikelaskan semula sebagai negatif HER2, menurut KTPH.
HER2 atau Reseptor Faktor Pertumbuhan Epidermal 2, adalah sebuah gen yang mengawal bagaimana sebuah sel sihat bertumbuh, berpisah dan membaiki dirinya sendiri.
Menurut Klinik Mayo, barah payudara positif HER2 lebih agresif berbanding jenis barah payudara yang lain.
KTPH mula menguji para pesakit bagi HER2 pada 2012. Ujian itu dijalankan untuk mengelaskan status pesakit dan membimbing pilihan rawatan; ia tidak mendiagnos sama ada pesakit itu menghidap penyakit barah.
Hospital itu menyatakan bahawa ia dimaklumkan oleh makmalnya pada 19 Nov bahawa ujian HER2 imunohistokimia (IHC) yang dijalankan oleh hospital itu menghasilkan jumlah keputusan positif pada kadar lebih tinggi daripada dijangkakan.
Dalam satu ujian IHC HER2, sampel tisu dari seorang pesakit "diwarnai" dengan antibodi yang mempunyai pewarna. Antibodi itu kemudian akan melekatkan diri pada protein HER2 dan seorang doktor akan melihat slaid itu di bawah sebuah mikroskop untuk mengelaskan sampel berkenaan.
Siasatan awal yang dijalankan oleh makmal mencadangkan bahawa sebuah "proses pewarnaan tidak tepat" bagi ujian itu menghasilkan keputusan HER2 yang tidak tepat, menurut KTPH.
Hospital itu melaporkan kejadian tersebut kepada Kumpulan Jagaan Kesihatan Kebangsaan (NHG) pada 22 Nov dan Kementerian Kesihatan (MOH) pada 24 Nov.
SAMPEL SEAWAL 2012 TERJEJAS
KTPH menyatakan ia menyiasat sejauh mana isu itu berlaku dan mengenal pasti kesemua pesakit yang terjejas sejak isu itu diketahui.
Berdasarkan anggaran awal, sekitar 180 pesakit barah payudara mungkin dikelaskan semula dari positif HER2 kepada negatif HER2.
Sekitar separuh daripada jumlah pesakit itu mungkin sudah menjalani rawatan yang tidak diperlukan bagi HER2, lazimnya pengambilan ubat Herceptin.
Kesan sampingan biasa oleh pengambilan ubat Herceptin termasuk cirit birit, rasa menggigil dan demam. Sekitar 3 hingga 4 peratus yang menjalani rawatan Herceptin mungkin mengalami masalah jantung.
"Rejim rawatan para pesakit yang terjejas akan disemak semula oleh pakar onkologi masing-masing," menurut KTPH.
NHG juga menubuhkan sebuah jawatankuasa semakan bebas, yang meliputi para pakar luaran, untuk menjalankan semakan secara menyeluruh mengenai bagaimana kejadian itu berlaku. Ini bagi memperhalusi proses dan mengelakkan kejadian serupa daripada berlaku lagi.
"Saya ingin memohon maaf sedalamnya kepada kesemua pesakit yang terjejas, keluarga mereka dan ahli onkologi yang merawat mereka," kata CEO KTPH, Cik Chew Kwee Tiang.
"Saya benar-benar mohon maaf kerana mereka perlu melalui segala ini. Kami akan menyediakan kesemua sokongan dan bantuan sewajarnya, dan akan melakukan yang terbaik untuk merawat mereka."
Beliau menambah bahawa KTPH memandang "sangat serius" terhadap kejadian ini dan akan mengambil langkah-langkah yang wajar bagi memastikan ia tidak akan berulang.
Para pesakit yang mempunyai pertanyaan berkaitan boleh menghubungi KTPH di talian 6602 3333.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.