Skip to main content

Singapura

Sekitar 87,000 LPA elektronik kurang kenyataan yang diperlukan; Rang diperkenalkan untuk tetapkan dokumen sah

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sekitar 87,000 dokumen Surat Kuasa Berkekalan (LPA) elektronik didapati tidak lengkap kerana kurang satu kenyataan yang diperlukan. Ini sekali gus membuat surat itu boleh dicabar keabsahannya.

Dokumen-dokumen berkenaan - yang tarikh pengesahannya adalah antara 14 Nov 2022 dengan 4 Jan 2024 - masih sah di sisi undang-undang, menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Namun, demi mengelak kemungkinan surat itu dicabar kerana tidak mengandungi kenyataan yang lengkap, MSF pada Rabu (6 Mac) memperkenalkan satu Rang untuk segera mengesahkan LPA terbabit.

Ini akan meleraikan sebarang ketidakpastian tentang kesahihan LPA elektronik yang terjejas, terang MSF.

LPA membolehkan seseorang yang dilantik untuk membuat keputusan perubatan dan kewangan bagi pihak individu lain, sekiranya mereka hilang keupayaan mental.

Di bawah Akta Keupayaan Mental, LPA elektronik harus menyatakan dengan jelas bahawa ia adalah satu dokumen dari pemberi kuasa itu sendiri, dan ia sah di sisi undang-undang.

Walaupun kegunaan dan kesan LPA diterangkan secara jelas dalam dokumen elektronik, dokumen-dokumen LPA yang terjejas tidak secara jelas menyatakan bahawa ia adalah satu dokumen yang sah di sisi undang-undang, menurut MSF dalam kenyataan medianya.

Maka itu, semua dokumen terjejas tidak memenuhi syarat yang ditetapkan dalam Akta Keupayaan Mental, tambah MSF, sambil memohon maaf atas kesilapan itu.

Dokumen LPA yang disiapkan menerusi proses menggunakan salinan kertas, tidak terjejas, menurut MSF lagi.

"Demi menghuraikan sebarang ketidakpastian mengenai kesahan LPA elektronik yang disahkan antara 14 Nov 2022 dengan 4 Jan 2024, Rang (Pindaan) Keupayaan Mental akan mengundurkan tarikh pengesahan LPA terjejas," jelas kementerian itu.

"Para pemberi kuasa terjejas tidak perlu membuat semula LPA baharu, dan tiada tindakan lanjut diperlukan oleh para anggota awam."

BAGAIMANA KESILAPAN DIKESAN

Proses permohonan bagi LPA beralih kepada wadah digital pada 14 Nov 2022, bertepatan dengan pelancaran sistem online Pejabat Penjaga Awam.

Kesilapan tidak menyertakan kenyataan yang diperlukan dalam LPA, dikesan pada Oktober 2023, selepas MSF menerima maklum balas daripada seorang anggota awam lalu menyiasat isu tersebut.

"Kami mendapat tahu kesilapan itu berlaku semasa sistem online OPG (Pejabat Penjaga Awam) sedang dibangunkan. Ini memerlukan proses dan templat LPA elektronik yang baharu. (Kenyataan) tidak disertakan semasa proses menyiapkan draf dan pemeriksaan," terang MSF dalam responsnya kepada pertanyaan-pertanyaan Mediacorp.

"Kesan kesilapan ini dinilai lalu pembetulan yang perlu dilakukan, selesai dijalankan pada Disember 2023."

LPA elektronik yang disahkan pada atau selepas 5 Jan 2024, kini merangkumi kenyataan yang diperlukan, iaitu: "Saya sahkan surat ini adalah dokumen yang sah di sisi undang-undang."

Keputusan yang dilakukan pemberi kuasa sepanjang tempoh masa terjejas adalah sah di sisi undang-undang, menurut MSF lagi, memandangkan seksyen lain dalam Akta Keupayaan Mental memberi perlindungan kepada pemberi kuasa dan pihak-pihak ketiga yang bergantung kepada LPA berdaftar jika mereka tidak mengetahui tentang kesilapan yang boleh menjejas keabsahan surat.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita