Sekitar 850,000 warga emas SG dapat agihan sehingga S$300 pada Feb di bawah bonus Pakej Jaminan
Sekitar 850,000 golongan warga emas rakyat Singapura yang berpendapatan rendah akan menerima agihan wang tunai antara S$200 dengan S$300 pada Februari ini sebagai sebahagian daripada Pakej Jaminan Bonus Warga Emas, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Rabu (15 Jan).

Sekitar dua juta rakyat Singapura juga akan mendapat tokokan MediSave sebanyak S$150 pada bulan depan, menurut MOF dalam satu kenyataan media.
Di bawah Pakej Jaminan, warga emas rakyat tempatan yang layak akan mendapat agihan wang tunai antara S$600 dengan S$900 sepanjang tiga tahun.
Kesemua rakyat Singapura berusia 20 tahun dan ke bawah, dan 55 tahun dan ke atas, akan menerima tokokan pada akaun MediSave sebanyak S$450 sepanjang tiga tahun.
Ia pertama kali diumumkan dalam Belanjawan 2022 dan agihannya dibuat setiap tahun sejak 2023.
Tokokan S$1.9 bilion kepada Pakej Jaminan, yang termasuk bayaran wang tunai tambahan bagi golongan warga emas rakyat tempatan yang berpendapatan rendah, diumumkan semasa Belanjawan tahun lalu untuk membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup bagi isi rumah warga Singapura dan memberi lebih sokongan kepada keluarga berpendapatan pertengahan dan rendah.
KRITERIA KELAYAKAN
Agihan wang tunai di bawah Pakej Jaminan Bonus Warga Emas diberikan kepada warga emas berusia 55 tahun dan ke atas, yang tinggal di Singapura dan tidak memiliki lebih daripada satu hartanah, menurut MOF.
Mereka juga harus tinggal dalam hartanah dengan nilai tahunan sehingga S$31,000 dan mempunyai pendapatan taksiran tidak melebihi S$34,000.
Warga emas berusia antara 55 dengan 54 tahun, di mana hartanah milik mereka mempunyai nilai tahunan sehingga S$21,000 akan mendapat S$250 pada Februari.
Sementara itu, mereka berusia 65 tahun dan ke atas akan mendapat S$300.
Warga emas yang mempunyai hartanah bernilai lebih daripada S$21,000 dan sehingga S$31,000 akan mendapat S$200.
Mereka yang layak akan mendapat agihan wang tunai itu seawal 5 Februari, bergantung kepada mod penerimaan pembayaran, menurut MOF.
Para penerima yang telah menghubungkan akaun PayNow mereka kepada nombor pengenalan boleh menerima bayaran mulai 5 Februari.
Nombor kad pengenalan mereka harus terikat pada mana-mana akaun bank berikut:
Bank of China
CIMB
Citibank
DBS Bank/POSB
GXS Bank
HSBC Bank,
ICBC
MariBank
Maybank
OCBC Bank
RHB Bank
Standard Chartered Bank
State Bank of India
Trust Bank
UOB Bank
Sementara itu, mereka yang menggunakan GIRO atau GovCash untuk mendapat agihan itu akan menerimanya masing-masing pada 13 Februari dan 21 Februari.
Bagi tokokan MediSave, warga Singapura berusia 20 tahun dan ke bawah atau 55 tahun dan ke atas akan menerimanya.
Bayaran akan dikredit secara automatik ke dalam akaun CPF mereka yang layak mulai 11 Februari ini.
MAKLUMAN SELEPAS MANFAAT DIKREDIT
"Penerima yang layak akan dimaklumkan menerusi SMS selepas agihan diberikan," menurut MOF.
"Mereka yang tidak mempunyai nombor telefon berdaftar dengan SingPass atau tidak menerima makluman SMS akan dimaklumkan melalui surat yang dihantar kepada alamat tertera dalam kad pengenalan mereka."
Penerima MediSave berusia 16 tahun dan ke bawah akan menerima surat yang ditujukan kepada ibu bapa atau penjaga mereka selepas tokokan MediSave dibuat kepada akaun CPF mereka.
"Untuk melindungi daripada skim penipuan, makluman SMS yang dihantar dari 'gov.sg' hanya akan memaklumkan para penduduk mengenai agihan yang akan diteirma," menurut MOF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.