Skip to main content

Singapura

Sekitar 80 pekerja terjejas akibat penutupan mendadak Twelve Cupcakes

Keputusan rangkaian Twelve Cupcakes untuk menamatkan operasi dibuat tanpa sebarang notis awal, menurut pihak kesatuan pada Khamis (30 Okt), sambil mengkritik tindakan tersebut sebagai “tidak boleh diterima dan tidak adil sama sekali” terhadap para pekerja.
Anggaran Waktu Membaca:
Sekitar 80 pekerja terjejas akibat penutupan mendadak Twelve Cupcakes
Sebuah cawangan Twelve Cupcakes di Singapura. (Gambar fail: Facebook/Twelve Cupcakes)
Diterbitkan : 30 Oct 2025 09:25PM
SINGAPURA: Keputusan rangkaian Twelve Cupcakes untuk menamatkan operasi dibuat tanpa sebarang notis awal, menurut pihak kesatuan pada Khamis (30 Okt), sambil mengkritik tindakan tersebut sebagai “tidak boleh diterima dan tidak adil sama sekali” terhadap para pekerja.

Kira-kira 80 kakitangan terjejas, termasuk pekerja, eksekutif dan pengurus.

Twelve Cupcakes mengumumkan penutupannya di lamannya pada Rabu, dengan menyatakan bahawa syarikat itu sudah diletakkan di bawah pembubaran sementara.

Ia sebelum ini mengendalikan beberapa cawangan di lokasi seperti Changi City, Sentosa dan Star Vista.

Dalam kenyataan medianya, Kesatuan Gabungan Pekerja-pekerja Minuman dan Makanan (FDAWU) menyatakan ia hanya dimaklumkan mengenai penutupan tersebut pada Rabu, iaitu hari yang sama di mana pengumuman tersebut dibuat kepada kakitangannya.

“Kesatuan membantah keras tindakan pemilik perniagaan yang sama sekali tidak mengadakan perundingan awal atau memberikan notis terlebih dahulu mengenai keputusan mereka,” menurut FDAWU, sambil menambah bahawa meskipun syarikat itu diiktiraf sebagai sebuah syarikat berkesatuan, pemilik perniagaan tidak berunding lebih awal dengan pihak kesatuan bagi membincangkan alternatif atau langkah sokongan bagi kakitangannya.

“Walaupun keputusan muktamad pemilik perniagaan mungkin dibuat atas pertimbangan komersial, pelaksanaannya bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah tidak mengikut proses yang sewajarnya,” menurut kenyataan tersebut.

“Penamatan mendadak dan notis yang tidak mencukupi merupakan kegagalan pada pihak pemilik perniagaan dalam menimbangkan kesan kemanusiaan akibat penutupan tersebut.

"Para pekerja kini berdepan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan alternatif dalam jangka singkat, sekali gus menimbulkan ketidakpastian mengenai sumber pendapatan dan pembayaran yang sepatutnya diterima mereka.”

Twelve Cupcakes ditubuhkan pada 2011 oleh mantan penyampai radio Daniel Ong dan bekas isterinya, Jaime Teo. Selepas pasangan itu bercerai pada 2016, Ong dan Teo menjual syarikat tersebut kepada sebuah konglomerat yang berpangkalan di India, Dhunseri Group.

“Notis mendadak ini tidak boleh diterima dan tidak adil sama sekali kepada pekerja mahupun kesatuan,” kata Setiausaha Agung FDAWU, Sankaradass.

Beliau menambah bahawa FDAWU sudah menggesa penyelesai (liquidator) yang dilantik supaya bekerjasama dengan pihak kesatuan berhubung tuntutan para pekerja.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita