Skip to main content

Singapura

Sekitar 70% terowong yang hubungkan T5 dan T2 Changi selesai dibina

Kerja-kerja utama bagi pembinaan terowong yang menghubungkan Terminal 5 ke Terminal 2 Changi sudah selesai, seiring dengan pembangunan daerah Changi East yang semakin rancak.
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 31 Dec 2025 08:08PM Dikemas Kini : 11 Jan 2026 05:44PM
SINGAPURA: Kerja-kerja utama bagi pembinaan terowong yang menghubungkan Terminal 5 ke Terminal 2 Changi sudah selesai, seiring dengan pembangunan daerah Changi East yang semakin rancak.

Kerja-kerja yang masih berjalan adalah bagi menghubungkan terowong utama itu ke terminal-terminal yang lain.

Dijangka siap pada pertengahan 2030-an, laluan bawah tanah tersebut akan membolehkan Changi beroperasi sebagai sebuah lapangan terbang bersepadu, apabila terminal mega itu dibuka kelak.

Secara perlahan-lahan, bentuk terminal mega di Changi itu mula kelihatan, dan pembinaannya bermula dengan pembinaan asasnya.

Sebuah terowong bawah tanah yang dibina akan memudahkan pemindahan bagasi di antara Terminal 2 dan Terminal 5.

Pada masa yang sama, dua lagi terowong lain akan mengangkut penumpang serta memastikan pemindahan yang lancar dan pantas di antara terminal berbeza.

Kereta api dengan kapasiti 100 penumpang pula akan beroperasi di bawah landasan kedua.

Buat masa ini, sekitar 1.7 kilometer daripada terowong 2.5 kilometer itu sudah siap dibina.

Kerja-kerja juga sedang berjalan untuk membina terowong tambahan bagi memastikan pemindahan bagasi dan penumpang yang lancar di dalam Terminal 5 sendiri, serta sebuah depoh dan stesen kereta api di Terminal 2.

Kerja-kerja pembinaan terowong utama bermula pada awal 2022, dan bahagian sepanjang 1.7 kilometer siap pada Oktober 2024.

Ia semestinya bukanlah satu tugas yang mudah, dengan perancangan teliti diperlukan untuk mengurangkan gangguan kepada operasi lapangan terbang.

"Salah satu cabarannya adalah ketiga-tiga terowong perlu dibina di bawah landasan yang sedang beroperasi. Para jurutera perlu sangat berhati-hati dalam merancang parameter dan operasi mesin pengorek terowong untuk memastikan bahawa langsung tiada kesan terhadap operasi lapangan terbang," kata Penolong Presiden Kanan, Changi East Construction, Dr Wen Dazhi.

Kerja-kerja binaan yang masih berjalan termasuk membina laluan penghubung serta tempat meletak pesawat.

Apabila siap, Terminal 5 akan menggandakan saiz Lapangan Terbang Changi, selain mampu mengendalikan kira-kira 50 juta penumpang setahun.

Orang ramai boleh menjangkakan satu pameran percuma pada tahun depan,yang menyingkap gambaran di sebalik tabir perancangan terminal baharu berkenaan.
Sumber : CNA/IQ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita