Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekitar 70% penduduk SG positif tentang keseluruhan mutu hidup pascapandemik

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Mar 2023 04:28PM Dikemas Kini : 19 Mar 2023 10:35PM
SINGAPURA: Lebih 70 peratus penduduk Singapura yang mengambil bahagian dalam tinjauan pemerintah berpendapat bahawa mutu kehidupan mereka secara keseluruhannya adalah sama atau lebih baik pada 2023 berbanding 2019 sebelum pandemik COVID-19 melanda.

Sungguhpun demikian, sebilangan besar belia yang berusia antara 15 sehingga 19 tahun melaporkan kemerosotan pada mutu hidup mereka dan keupayaan mereka mengurus kesihatan mental mereka berbanding sebelum pandemik.

Tinjauan itu ditugaskan oleh Kementerian Penerangan dan Perhubungan (MCI) dan dijalankan oleh RySense dari 31 Januari hingga 6 Februari.

Tinjauan tersebut dijalankan secara online dan melibatkan seramai 1,052 penduduk Singapura yang berusia 15 tahun ke atas.

Hasil tinjauan yang dikeluarkan pada Ahad (19 Mac), sehari sebelum Kertas Putih mengenai respons Singapura terhadap COVID-19 dijangka akan dibahaskan di Parlimen.

Kertas Putih itu mengkaji apa yang dilaksanakan Singapura dengan baik dan kurang baik semasa pandemik.

Menulis di Facebook dan LinkedIn, Menteri Penerangan dan Perhubungan Josephine Teo menyifatkan COVID-19 sebagai "krisis generasi kita".

"Ia benar-benar menguji keupayaan pemimpin dan pemerintah kita dan daya tahan penduduk kita," tulis beliau dalam catatan pada Ahad (19 Mac).

MUTU KEHIDUPAN

Sekitar 72 peratus penduduk Singapura yang ditinjau merasakan mutu kehidupan mereka secara keseluruhannya adalah sama atau lebih baik pada tahun ini berbanding 2019.

Para responden diminta menilai 10 aspek utama kehidupan, termasuk hubungan, keseimbangan kerja-kehidupan dan kesihatan.

Daripada 28 peratus responden yang merasakan mutu kehidupan mereka secara keseluruhannya bertambah teruk, sekurang-kurangnya 6 daripada 10 daripada mereka menilai kesemua 10 aspek adalah sama atau lebih tinggi.

Sekitar 77 peratus responden menyatakan hubungan keluarga bertambah kukuh atau kekal sama sepanjang tempoh pandemik.

Namun, sebilangan besar belia yang berusia 15 hingga 19 tahun melaporkan kemerosotan pada mutu kehidupan mereka - 38 peratus berbanding 28 peratus penduduk umum.

Sekitar 37 peratus belia dalam kumpulan usia itu juga menyatakan bahawa terdapat penurunan pada keupayaan mereka mengurus kesihatan mental mereka sekarang berbanding sebelum pandemik.

"Ini menunjukkan bahawa kesan sekatan-sekatan COVID-19 terhadap kegiatan-kegiatan sosial lebih dirasai oleh golongan muda, terutama sekali remaja," dedah MCI.

"COVID-19 merupakan tempoh yang sangat suram bagi kebanyakan kita. Ia sesuatu yang menghampakan apabila perhimpunan dengan keluarga serta rakan-rakan dihadkan, masa yang dibelenggu kegelisahan sedang kegiatan harian kita perlu disesuaikan dengan ketidaktentuan pandemik," kata Cik Teo.

Apabila menyentuh tentang keupayaan untuk menangani pandemik dengan baik pada masa akan datang, sekitar 7 daripada 10 penduduk Singapura menyuarakan keyakinan terhadap keupayaan negara, pemerintah, sistem jagaan kesihatan dan masyarakat serta diri mereka sendiri, untuk berbuat demikian.

Berbanding dengan penduduk umum, responden yang tidak bekerja kurang yakin terhadap keupayaan Singapura mengharungi satu lagi pandemik pada masa akan datang.

Secara keseluruhannya, hasil tinjauan tersebut "membayangkan bahawa modal sosial lebih kukuh semasa tempoh pandemik," menurut MCI.

"Kepercayaan antara rakyat dan Pemerintah lebih kukuh, terutamanya, kepercayaan sesama rakyat juga lebih kukuh," tegas kementerian tersebut.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan