Skip to main content

Singapura

Sekitar 580,000 anggota KrisFlyer SIA, PPS terjejas angkara pencerobohan data

Sekitar 580,000 anggota KrisFlyer dan PPS terjejas oleh pencerobohan data, dedah Singapore Airlines (SIA) pada Khamis (4 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Sekitar 580,000 anggota KrisFlyer SIA, PPS terjejas angkara pencerobohan data

(Gambar: REUTERS/Edgar Su)

Diterbitkan : 04 Mar 2021 11:40PM Dikemas Kini : 04 Mar 2021 11:43PM

SINGAPURA: Sekitar 580,000 anggota KrisFlyer dan PPS terjejas oleh pencerobohan data, dedah Singapore Airlines (SIA) pada Khamis (4 Mac).

Pencerobohan data itu melibatkan server sistem khidmat penumpang SITA, iaitu sebuah syarikat teknologi maklumat pengangkutan udara.

"Walaupun SIA bukan pelanggan SITA PSS, pencerobohan yang berlaku pada SITA PSS ini telah menjejas sebilangan anggota KrisFlyer dan PPS," menurut syarikat penerbangan itu.

Semua syarikat penerbangan yang menganggotai Star Alliance menyediakan sekumpulan data yang terhad bagi program pelanggan setia, yang kemudian dihantar kepada syarikat-syarikat penerbangan lain untuk ditempatkan di dalam sistem khidmat penumpang masing-masing.

Menurut SIA, pemindahan data ini perlu dilakukan untuk membolehkan pengesahan status keanggotaan dan untuk memberikan faedah yang relevan kepada pelanggan syarikat penerbangan semasa melakukan perjalanan.

Salah satu syarikat penerbangan Star Alliance adalah pelanggan SITA PSS. Lantaran itu, SITA mempunyai akses kepada sekumpulan data program pelanggan setia untuk kesemua 26 anggota Star Alliance termasuk Singapore Airlines (SIA).

"Maklumat yang terlibat terhad kepada nombor keanggotaan dan status dan bagi sesetengah kes, nama anggota, kerana ini adalah tahap penuh data penerbangan pelanggan setia yang dikongsi Singapore Airlines bersama dengan syarikat-syarikat penerbangan Star Alliance yang lain untuk pemindahan data ini," jelas SIA.

SIA menambah bahawa pencerobohan data ini secara khusus tidak melibatkan kata laluan para anggota KrisFlyer dan PPS, maklumat kad kredit mahupun data pelanggan lain seperti jadual perjalanan, tempahan, nombor tiket, nombor pasport dan alamat emel.

Maklumat-maklumat tersebut tidak dikongsi dengan syarikat-syarikat penerbangan lain yang menganggotai Star Alliance bagi pemindahan data ini, tambah syarikat penerbangan itu.

SIA menegaskan bahawa tiada satu pun sistem IT yang terjejas oleh pencerobohan data tersebut dan pihaknya sedang menghubungi semua anggota KrisFlyer dan PPS untuk memaklumkan mereka mengenai kejadian itu.

"Perlindungan data peribadi pelanggan menjadi keutamaan Singapore Airlines, dan kami sangat menyesali atas kejadian ini dan meminta maaf atas kesulitan yang dialami."

SERANGAN SERBA CANGGIH

SITA mengesahkan dalam satu kenyataan berasingan bahawa ia adalah 'mangsa serangan siber' yang menyebabkan insiden pencerobohan data tersebut.

Selepas mengesahkan insiden itu pada 24 Feb, SITA bertindak dengan segera untuk menghubungi para pelanggan sistem khidmat penumpang SITA yang terjejas dan juga semua pertubuhan yang relevan.

Sumber : CNA/TQ/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita