Skip to main content

Singapura

Sekitar 50 individu dikecualikan setiap tahun daripada bina kemahiran 'sebagai askar'

Sekitar 50 individu dikecualikan setiap tahun daripada membina kemahiran "sebagai askar" atau diberikan peranan di mana mereka boleh mendapat akses kepada peralatan yang boleh menimbulkan ancaman disebabkan oleh proses pemeriksaan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Anggaran Waktu Membaca:
Sekitar 50 individu dikecualikan setiap tahun daripada bina kemahiran 'sebagai askar'

Askar SAF jalani latihan pada 28 Disember 2022. (Gambar: Facebook/MINDEF)

SINGAPURA: Sekitar 50 individu dikecualikan setiap tahun daripada membina kemahiran "sebagai askar" atau diberikan peranan di mana mereka boleh mendapat akses kepada peralatan yang boleh menimbulkan ancaman disebabkan oleh proses pemeriksaan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Perangkaan itu didedahkan oleh Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen pada Jumaat (28 Feb) dalam jawapan bertulis kepada soalan di parlimen oleh Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai dari Parti Kemajuan Singapura.

Encik Leong bertanya tentang peratusan askar kerahan Perkhidmatan Negara (NS) yang telah dikenal pasti oleh Jabatan Keselamatan Tentera MINDEF sebagai "individu yang mungkin menimbulkan ancaman keselamatan" pada tahun 2005, 2010, 2015, 2020 dan 2024.

"Di tahap pemeriksaan sedia ada, jumlah individu yang dikenal pasti menerusi pemantauan dan pengecualian setiap tahun adalah kecil iaitu pada sekitar 0.1 peratus (atau kira-kira 50 individu bagi purata jumlah hampir 30,000 anggota kerahan yang diperiksa setiap tahun) sepanjang 10 tahun lalu," kata Dr Ng.

Pada Januari lalu, MINDEF mengesahkan proses pemeriksaan dilaksanakan untuk memastikan individu yang menimbulkan ancaman keselamatan tidak diberi peranan yang membolehkan mereka membina kemahiran "sebagai askar".

Ini sebagai respons kepada penahanan tiga rakyat Singapura yang menjadi radikal - semuanya lelaki - di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Seorang jurucakap MINDEF sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa ia adalah "satu kebimbangan yang sah dan ancaman keselamatan" apabila anggota kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen) boleh menggunakan kemahiran yang ditimba dari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) untuk melakukan tindakan jenayah atau pengganasan.

Dr Ng berkata Jabatan Keselamatan Tentera MINDEF telah melaksanakan proses pemeriksaan keselamatan untuk mengenal pasti sebarang individu yang mungkin menimbulkan risiko keselamatan.

"Ia adalah keupayaan pertubuhan standard bagi tentera di seluruh dunia, untuk mengurangkan risiko askar-askar terlatih membahayakan askar-askar lain atau oragn awam."

Pemeriksaan itu dijalankan apabila mereka dikerah dan sepanjang tempoh mereka berkhidmat sebagai anggota NSmen, di mana jabatan itu bekerja rapat dengan agensi keselamatan pemerintah yang lain dalam peranan itu, kata Dr Ng.

Mereka yang dikenal pasti melalui pemeriksaan dikecualikan daripada "peranan di mana mereka boleh memperolehi kemahiran atau mendapat akses kepada maklumat atau perlatan yang menimbulkan ancaman".

KESEIMBANGAN DALAM PEMERIKSAAN

"Usaha penyaringan itu perlukan pertimbangan profesional dan penentukuran," katanya.

"Jika kriterianya terlalu ketat, kita mungkin menyebabkan beberapa askar yang akhirnya tidak menimbulkan sebarang ancaman dikecualikan daripada menjalani latihan.

"Sebaliknya, penggunaan kriteria yang terlalu longgar boleh menyebabkan individu berisiko tinggi terlepas semasa proses pemeriksaan."

Jabatan Keselamatan Tentera MINDEF justeru menentukur kriteria itu secara berkala, bergantung pada semakan maklum balas dan keadaan keselamatan sedia ada, kata Dr Ng.

Setiap seorang daripada tiga lelaki yang menjadi radikal itu telah mengambil langkah untuk membiasakan diri dengan cara mengendalikan senjata, dengan seorang daripada mereka mengunjungi sebuah tembak menembak di Bangkok.

Seorang lagi pula percaya latihan tentera yang telah dilaluinya termasuk cara pengendalian senjata ketika dia berkhidmat di SAF, adalah berguna apabila dia menyertai cabang tentera Hamas, Briged Al-Qassam (AQB).

Dia juga mempunyai rancangan untuk membiasakan diri semula dengan cara menggunakan senjata di sebuah tembak menembak di Batam.

Ketiga-tiganya diberkas pada Oktober 2024.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita