Sekitar 480 tindakan diambil terhadap pemilik premis berkait isu tikus pada separuh pertama 2025: NEA
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) mengambil kira-kira 480 tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik premis berhubung kelemahan berkaitan tikus pada separuh pertama 2025 - iaitu satu kenaikan berbanding 380 tindakan penguatkuasaan yang diambil untuk tempoh yang sama tahun lalu.
Seekor tikus bersembunyi atas batu di belakang seekor burung di Bird Paradise Singapore pada 10 Februari 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
Kelemahan itu termasuk pengurusan sampah dan amalan menjaga kebersihan yang lemah, yang mewujudkan sekitaran yang sesuai untuk tikus membiak, kerosakan dalam kemudahan pengendalian sampah yang berfungsi sebagai tempat masuk bagi tikus dan kehadiran sarang tikus.
Daripada 480 tindakan penguatkuasaan yang diambil, 210 adalah bagi pengurusan sampah yang tidak betul, menurut NEA dalam kertas fakta mengenai kebersihan awam pada Rabu (27 Ogos).
Tindakan pengkuatkuasaan NEA yang "diperketatkan" itu dilaksanakan selepas ia mencatatkan purata kira-kira 5,400 lubang tikus dalam setiap kitaran pada separuh pertama 2025, iaitu kenaikan 48 peratus berbanding kira-kira 2,800 lubang tikus dalam setiap kitaran yang dikesan untuk tempoh yang sama tahun lalu.
Pemilik dan pengurus premis tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan oleh NEA di bawah Akta Kesihatan Awam Alam Sekitar (EPHA) dan Akta Kawalan Vektor dan Racun Perosak (CVPA).
Hukuman maksimum di bawah CVPA adalah denda sehingga S$20,000, hukuman penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan pertama di bawah Peraturan Kesihatan Awam Sekitaran (Pembersihan Awam), para pemilik premis boleh dikenakan denda maksimum sehingga S$1,000 dan denda lanjut tidak melebihi S$100 bagi setiap hari atau sebahagian daripadanya bagi setiap kali kesalahan itu dilakukan selepas disabit bersalah.
NEA menyatakan hanya dengan bergantung pada tindakan penguatkuasaan tidak memadai untuk menangani pembiakan tikus dalam jangka panjang.
"Kawasan populasi tikus yang mampan dan berkesan memerlukan pelaksanaan langkah-langkah huluan seperti pengurusan sampah dengan betul dan penjagaan kebersihan, bagi menghapuskan sumber makanan dan tempat tikus berlindung, bukan sekadar racun dan perangkap tikus," menurut NEA.
Atas sebab itu, NEA mempertingkatkan langkah-langkah pemantauan dengan memberi tumpuan kepada langkah-langkah huluan kawalan tikus.
Pada Mei 2025, Ang Mo Kio Central sebagai contoh, dikenal pasti sebagai kawasan dengan banyak aktiviti perdagangan dan kurang amalan pengurusan sampah.
Selepas bekerjasama dengan majlis bandaran, penasihat akar umbi dan premis perdagangan, kelemahan pengurusan sampah merosot sebanyak 60 peratus sepanjang tempoh empat bulan, menurut NEA.
KEMAS KINI KES BUANG SAMPAH SEBARANGAN
NEA turut mempertingkatkan langkah penguatkuasaan dan memperluaskan sistem pemantauan bagi menangani perbuatan buang sampah sebarangan.
Dengan sistem pemantauan yang diperluaskan, sehingga 2,500 pengerahan kamera dapat dilakukan dalam setahun.
Kamera-kamera itu dilengkapi dengan analisis video bagi penguatkuasaan jauh dan pengumpulan maklumat risikan, menurut kertas fakta itu.
Mereka yang didapati membuang sampah sebarangan, dan perbuatannya dirakam oleh kamera CCTV, akan dipaparkan gambar mereka di ruang masyarakat.
Pada Julai 2024, empat pesalah di Chinatown berjaya dikenal pasti melalui proses tersebut.
Pada separuh pertama tahun ini, NEA mengeluarkan 800 tiket penguatkuasaan di kawasan tumpuan kebersihan, di mana 240 tiket bagi kesalahan membuang sampah merata.
Oleh demikian, jumlah kes pembuangan sampah sebarangan merosot sebanyak 45 peratus sepanjang tempoh sembilan bulan, menurut NEA.
NEA turut memantau 12 "titik tumpuan kebersihan" yang dikenal pasti berdasarkan "kiraan sampah setempat, maklum balas yang diterima dan tinjauan di lapangan".
NEA tidak mendedahkan lokasi-lokasi yang kini berada dalam senarai titik tumpuan kebersihan, tetapi ia menyatakan sumber-sumber akan diperuntukkan ke kawasan lain jika ia mendapati terdapat penurunan 50 peratus dalam jumlah sampah yang dibuang sembarangan.
Beberapa tempat yang sebelum ini berada dalam senarai itu termasuk Causeway Point, Chinatown Complex, Jurong Point dan Vista Point, menurut NEA.
Sementara itu, kes kutu sampah kekal agak stabil sejak 2022, dengan purata kira-kira 28,000 kes setiap tahun.
Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) memperuntukkan 2024 sebagai "tahun kebersihan awam".
NEA menyatakan usaha yang dipertingkatkan membawa kepada hasil kesihatan yang lebih baik.
MSE memperkenalkan gerakan Kejiranan Lebih Bersih (Cleaner Neighbourhood) bagi mengukuhkan pelibatan masyarakat dalam menjaga kebersihan awam pada Mac lalu.
Dalam kertas faktanya, NEA menyatakan ia mengamalkan huraian bijak bagi menjaga kebersihan di tempat awam, termasuk pembersih saluran air autonomi di Sungei Seletar dan Terusan Rochor.
Agensi itu juga sedang merintis tukang penyapu laluan pejalan kaki autonomi di taman Bishan-Ang Mo Kio dan menguji penggunaan kecerdasan buatan bagi menjalankan pemeriksaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.