Skip to main content

Singapura

Sekitar 42% pesalah dadah bermula sebelum cecah usia 18 tahun: Tinjauan

Anggaran Waktu Membaca:
Sekitar 42% pesalah dadah bermula sebelum cecah usia 18 tahun: Tinjauan

(Gambar hiasan: MART PRODUCTION/Pexels)

Diterbitkan : 03 May 2023 06:06PM Dikemas Kini : 03 May 2023 08:43PM
SINGAPURA: Tinjauan yang dijalankan Institut Kesihatan Mental (IMH) mendapati golongan pesalah guna dadah sebenarnya mula terjerumus pada usia yang muda.

Sekitar 42 peratus didapati mula mengambil dadah sebelum berusia 18 tahun.

Tinjauan pertama seumpamanya itu melibatkan sekitar 6,500 responden.

Antara mereka yang pernah bergelumang dengan dadah termasuklah Jabez Toh, 34 tahun.

Toh berjinak-jinak dengan dadah pada usia 15 tahun.

Menurut Toh, seorang kawan mengajaknya mencuba sedikit dadah.

Disebabkan ingin tahu, dia mencubanya.

Dari situlah dia mula terjebak sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk memenuhi ketagihannya.

"Pada usia 16 tahun, saya ditangkap kerana mengedar dadah, yang saya langsung tidak tahu akibatnya.

"Jadi, untuk mendapatkan wang bagi memenuhi ketagihan dadah, saya menjualnya untuk mendapatkan wang," kongsi Toh.

Selepas berulang kali keluar masuk penjara, Toh akhirnya berjaya mengikis ketagihannya itu pada usia sekitar 30 tahun.

Naib pengerusi Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (NCADA), Dr Chew Tuan Chiong berkata: "Golongan belia perlu dididik bagaimana mengenali maklumat salah apabila mereka melihatnya. Terbabit dengan apa yang dipanggil "dadah ringan" - katalah ganja - juga boleh memudaratkan.

"Ini kerana ia menyebabkan kerosakan fizikal dan mental yang kekal terhadap kesihatan anda dan juga boleh menjadi gerbang dadah. Ia kemudian menyebabkan seseorang beralih kepada dadah lebih berbahaya lagi."

Kini bagi membantu lebih ramai lagi belia seperti Toh, pihak berkuasa akan meningkatkan lagi usaha pencegahan.
Sumber : CNA/RU/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita