Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekitar 4,000 individu sertai sektor penerbangan pada separuh pertama 2022

Tenaga manusia sektor penerbangan Singapura masih jauh di bawah paras sebelum COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tenaga manusia sektor penerbangan Singapura masih jauh di bawah paras sebelum COVID-19, meskipun 4,000 pekerja baru diambil bekerja pada separuh pertama tahun ini.

Demikian menurut Menteri Pengangkutan S Iswaran pada Ahad (7 Ogos).

Bercakap di luar Karnival Hari Kebangsaan ke-57 Nanyang 2022, Encik Iswaran berkata sektor penerbangan mengambil sekitar 35,000 pekerja sebelum pandemik COVID-19, tetapi jumlah itu jatuh kepada 25,000 pada hujung tahun lalu.

"Terdapat tirisan sekitar sepertiga, iaitu kehilangan besar keupayaan sedang kami cuba untuk menambah jumlahnya dengan pantas.

"Pentingnya perkara ini jelas apabila anda lihat apa yang sedang berlaku di seluruh dunia. Banyak lapangan terbang dengan pantas menambah jumlah tenaga manusia, tetapi kerap kali perlu membuat penyesuaian dan mengurangkannya dek cabaran tenaga manusia," kata Encik Iswaran, sambil merujuk kepada kekecohan perjalanan di lapangan-lapangan terbang di merata dunia sedang ia mencuba memenuhi permintaan perjalanan udara yang kian pulih.

"Kini kami perlu mengekalkannya dan meningkatkan paras tenaga manusia menjelang hujung tahun ini kerana kami menjangkakan satu lagi kenaikan dalam jumlah yang besar pada hujung tahun.

"Kami perlu merancang bagi keadaan itu dan membuat penyesuaian pada operasi dan pengendalian tenaga manusia - itu yang sedang semua pihak usahakan sekarang ini," jelas menteri itu.

Berhubung jumlah trafik udara, Singapura berada pada sekitar 56 peratus daripada paras sebelum COVID-19 pada bulan Julai.

Dengan pengambilan 4,000 pekerja baru, sektor penerbangan kini mengambil khidmat sekitar 29,000 pekerja tetapi ramai dalam kalangan mereka mungkin agak baru kepada sektor itu, dedah Encik Iswaran.

"Perkara yang penting adalah ia bukan sahaja tentang jumlah pekerja... Mereka perlu meningkatkan ilmu tentang sektor ini dan operasinya serta menajamkan kemahiran supaya dapat mengikuti perkembangan kerana ia penting bagi kedua-dua kecekapan operasi dan juga keselamatan," kata beliau.

"Walaupun rakan-rakan penerbangan kami sedang mengambil pekerja bagi sektor ini, mereka juga banyak melabur dan berusaha melatih serta mempercepatkan proses pembelajaran supaya mereka dapat menjalankan operasi dengan lancar dan mudah. Ini adalah bahagian penting tugas tersebut pada masa akan datang dan pada saya, bagi rakyat Singapura, terdapat peluang-peluang kerjaya yang baik dalam bidang penerbangan.

Sebelum pandemik COVID-19, lapangan terbang di Singapura memberi khidmat kepada sekitar 70 juta penumpang setiap tahun.

Encik Iswaran berkata Singapura menyasar untuk mencapai 100 peratus aliran penumpang seperti sebelum COVID-19 menjelang hujung tahun ini dan bahawa negara ini sedang memastikan bahawa Lapangan Terbang Changi dapat kembali menjalankan proses dan berkhidmat kepada aliran penumpang pada paras tersebut.

Bagaimanapun, beliau menarik perhatian bahawa untuk mencapai sasaran itu bergantung kepada faktor-faktor luaran di luar kawalan Singapura, seperti sejauh cepatnya pasaran besar di timur laut Asia seperti China, Jepun dan Korea Selatan dapat membuka semula sempadan mereka sepenuhnya.

"Kami harus memantau keadaan itu dengan teliti. Namun persiapan kami diteruskan kerana kami perlu memastikan kami bersedia bagi peningkatan lanjut dalam sektor penerbangan," jelas Encik Iswaran.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan