Skip to main content

Singapura

Sekitar 400 kambing mungkin tiba lewat bagi ibadah korban di 4 masjid: MUIS

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 May 2026 04:39PM Dikemas Kini : 01 Jun 2026 12:43PM

SINGAPURA: Sekitar 400 kambing berkemungkinan lewat tiba ke Singapura tahun ini, menjejas sebahagian khidmat korban tempatan yang dilaksanakan di empat masjid.

Dalam satu kenyataan media pada Khamis (21 Mei), Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menyatakan pihaknya dimaklumkan oleh salah satu pengendali korban tempatan, The Meat Brothers, mengenai kemungkinan kelewatan tersebut.

Menurut MUIS, sehingga 21 Mei, permit eksport di bawah Sistem Jaminan Rangkaian Bekalan Pengeksport Australia (ESCAS) bagi The Meat Brothers masih belum diluluskan.

Kira-kira 400 ternakan di empat masjid dijangka terjejas, melibatkan Masjid Al-Firdaus, Masjid Petempatan Melayu Sembawang, Masjid Pusara Aman serta sebahagian ternakan kambing di Masjid Jamae Chulia.

MUIS menyatakan bahawa pihak The Meat Brothers akan menghubungi para sohibul korban yang terjejas.

Tambah MUIS, insiden tersebut hanya melibatkan The Meat Brothers dan tidak menjejas perkhidmatan korban tempatan lain yang dikendalikan pengendali korban berlesen lain.

Perkhidmatan korban di tiga lagi lokasi - Masjid Al-Istighfar, Masjid Omar Salmah dan Masjid Tentera Diraja pula akan diteruskan seperti dirancang sempena Hari Raya Aidiladha.

"MUIS memahami betapa bermaknanya ibadah korban dan kami sedar insiden ini mungkin menimbulkan keresahan dalam kalangan sohibul korban yang telah membuat tempahan melalui The Meat Brothers," menurut kenyataan itu lagi.

MUIS menambah pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan The Meat Brothers bagi menyediakan sokongan yang diperlukan untuk semua sohibul korban yang terjejas.


Terdahulu, BERITA Mediacorp telah menghubungi salah seorang Pengasas Bersama syarikat itu, Encik Mohd Hidayat Hamzah pada 7 Mei lalu mengenai pengendalian ibadah korban tempatan dan dimaklumkan bahawa kambing-kambing dijadualkan sampai ke Singapura dari Australia pada Selasa lalu (19 Mei).

Encik Hidayat juga menjelaskan bahawa syarikatnya mengendalikan khidmat korban tempatan buat kali pertama tahun ini.

BERITA Mediacorp telah menghubungi syarikat pengendali tersebut bagi butiran lanjut menyusuli perkembangan terkini.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/NF/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita