Skip to main content

Singapura

Sekitar 40 penjaga sementara kucing diluluskan di bawah skim percubaan baharu SG

Anggaran Waktu Membaca:
  Sekitar 40 penjaga sementara kucing diluluskan di bawah skim percubaan baharu SG

(Gambar fail: iStock)

Diterbitkan : 22 Oct 2026 06:52AM Dikemas Kini : 22 Oct 2026 09:46AM
About 40 temporary cat caregivers approved under new pilot scheme
  • AVS’s two-year pilot scheme began in Singapore on 3 August to recognise temporary cat caregivers. In its first two months, about 40 of 90 applicants were approved, 30 were rejected or withdrew, and 20 were still being assessed as at 9 October.
  • Approved caregivers can look after up to six cats in an HDB flat or 10 in a private home, and are exempt from licensing. AVS and the Cat Welfare Society assess applications, with HDB also assessing those from flat residents.
  • Lee Sok Khoong, Fiona Hsu and the SPCA welcomed the recognition, care guidelines and veterinary assistance, but caregivers such as Hsu called for more flexibility on the limits when rescuing cats in emergencies.
  • Jenna, Lynnett Yip and Luni highlighted the difficulties of finding shelter, limits on the number of cats and causes such as abandonment. After the pilot, agencies will assess the scheme, taking feedback into account and determining a long-term approach.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Sekitar 40 penjaga sementara kucing mendapat kelulusan di bawah skim percubaan baharu yang mengiktiraf peranan mereka secara rasmi, daripada kira-kira 90 permohonan yang diterima dalam tempoh dua bulan pertama.

Pengarah Kumpulan Khidmat Haiwan dan Veterinar (AVS), Dr Anna Wong, memberitahu Mediacorp bahawa sekitar 30 permohonan ditolak atau ditarik balik setakat 9 Oktober.

Ini termasuk pemohon yang tidak memenuhi syarat kelayakan atau gagal dalam penilaian, serta mereka yang menarik diri kerana tidak lagi dapat menjaga kucing buat sementara waktu atau tidak dapat memberikan komitmen.

Sebanyak 20 lagi permohonan masih dalam proses penilaian.

Skim percubaan selama dua tahun yang bermula pada 3 Ogos itu membolehkan penjaga sementara kucing memelihara sehingga enam ekor kucing di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan 10 ekor di rumah privet, termasuk kucing peliharaan mereka sendiri.

Sebelum ini, setiap isi rumah hanya dibenarkan memelihara dua ekor kucing di flat HDB dan tiga ekor di rumah privet.

Walaupun sesetengah penjaga sementara kucing menyambut baik pengiktirafan rasmi dan bantuan tambahan yang diberikan, ada juga yang bimbang syarat tertentu akan mengehadkan kemampuan mereka untuk membantu kucing yang memerlukan perlindungan.

PENJAGA SEMENTARA SAMBUT BAIK PENGECUALIAN BAYARAN LESEN

Seorang akauntan, Lee Sok Khoong, yang permohonannya diluluskan, berkata pengecualian bayaran lesen kucing di bawah skim itu dapat meringankan beban penjaga sementara, terutama mereka yang menjaga banyak kucing.

Di bawah skim percubaan tersebut, AVS mengecualikan bayaran lesen bagi kucing yang dijaga sementara oleh pemohon yang diluluskan.

"Ia memberikan pengiktirafan rasmi kepada kerja yang sudah saya lakukan, dan pendaftarannya juga percuma," kata wanita berusia 34 tahun itu.

Cik Lee sudah menjaga kucing secara sementara selama lebih setahun dan biasanya menjaga satu atau dua ekor kucing pada satu-satu masa.

Beliau dijangka menerima seekor lagi kucing untuk dijaga tidak lama lagi.

Cik Lee berharap pengecualian bayaran lesen itu dapat diteruskan walaupun selepas tempoh percubaan berakhir.

"Penjaga sementara menyumbangkan masa dan ruang di rumah mereka secara sukarela," katanya.

"Meneruskan pengecualian bayaran lesen bukan sahaja membolehkan penjaga menggunakan lebih banyak wang untuk keperluan kucing, malah menunjukkan bahawa sumbangan mereka dihargai."

Seorang lagi pemohon yang berjaya, Fiona Hsu, 33 tahun, berkata skim itu menyediakan panduan yang jelas dan menetapkan standard penjagaan yang baik bagi kucing yang ditempatkan di rumah penjaga sementara.

Antara syarat skim tersebut ialah pemohon mesti mempunyai pengalaman menjaga kucing, masa dan kemampuan kewangan yang mencukupi, serta memastikan semua kucing di rumah sudah dimandulkan dan dipasang mikrocip ketika permohonan dibuat.

"Saya melihatnya sebagai satu usaha penting untuk menjaga kebajikan kucing dan memastikan kucing tidak ditempatkan dalam keadaan yang tidak sesuai," kata Cik Hsu, yang bekerja dalam bidang sumber manusia.

Beliau berkata pengiktirafan di peringkat nasional juga penting bagi penjaga sementara kucing.

Menurutnya, kerjasama antara agensi dan penjaga sementara untuk memenuhi standard yang sama dapat memberikan keyakinan kepada mereka yang ingin mengambil kucing sebagai haiwan peliharaan, pemilik kucing dan kumpulan kebajikan haiwan.

Cik Hsu sudah menjaga kucing secara sementara selama lebih setahun dan baru-baru ini menjaga seekor ibu kucing bersama anaknya yang mempunyai hubungan rapat.

Walaupun menyokong skim itu, beliau berharap AVS dapat memberikan kelonggaran terhadap had bilangan kucing dalam keadaan kecemasan, seperti apabila penjaga perlu menyelamatkan seekor ibu kucing bersama beberapa anaknya.

Beliau turut mencadangkan agar mereka yang mengambil kucing daripada penjaga sementara yang diluluskan diberikan insentif, seperti pengecualian bayaran lesen pertama.

Langkah itu boleh menggalakkan lebih ramai orang mengambil kucing sebagai haiwan peliharaan tetap, sekali gus membolehkan penjaga sementara membantu kucing lain yang memerlukan tempat tinggal.

Persatuan Mencegah Kekejaman terhadap Haiwan (SPCA) turut mengalu-alukan bantuan rawatan veterinar yang lebih mudah diperolehi di bawah skim tersebut.

Menurut SPCA, skim itu dapat membantu memastikan rumah penjaga sementara mempunyai kemudahan dan kemampuan yang mencukupi untuk menjaga kucing yang memerlukan perhatian khas, termasuk kucing yang cedera, dibuang atau diserahkan oleh pemiliknya.

"Walaupun syarat kelayakan dan peraturan skim ini mungkin kelihatan membebankan pada mulanya, tujuannya bukan untuk menyusahkan penjaga sementara, tetapi membantu mereka menjalankan tanggungjawab dengan baik sejak awal lagi," menurut SPCA.

HAD BILANGAN KUCING TIMBULKAN KEBIMBANGAN

Bagaimanapun, beberapa penyelamat kucing melahirkan kebimbangan mengenai had bilangan kucing yang dibenarkan di bawah skim tersebut.

Seorang penyelamat kucing bebas yang hanya mahu dikenali sebagai Jenna berkata pemeriksaan rumah dan penilaian kemampuan penjaga adalah penting untuk memastikan kucing mendapat penjagaan yang baik.

Namun, wanita yang sudah enam tahun menjaga kucing secara sementara itu bimbang dengan had enam ekor kucing bagi penghuni flat HDB.

Di bawah skim tersebut, penjaga sementara yang tinggal di rumah privet boleh membuat rayuan untuk memelihara lebih daripada 10 ekor kucing, bergantung pada penilaian setiap kes.

Bagaimanapun, penghuni flat HDB tidak diberikan pilihan yang sama.

Menurut AVS, kira-kira dua pertiga permohonan diterima daripada penghuni flat HDB, manakala selebihnya daripada penduduk rumah privet.

"Saya bukan mencadangkan supaya penjaga sementara dibenarkan memelihara kucing tanpa had. Saya cuma berpendapat bahawa setiap kes patut dinilai mengikut keadaan masing-masing," kata Jenna.

Beliau mencadangkan supaya AVS mengambil kira saiz dan keadaan rumah, mutu penjagaan yang diberikan serta sama ada terdapat aduan terhadap penjaga ketika menilai rayuan.

Jenna, yang tinggal di rumah privet, mempunyai enam ekor kucing peliharaan sendiri dan kini menjaga sementara dua ekor anak kucing.

Beliau merancang untuk memohon menyertai skim tersebut tidak lama lagi.

Menurutnya, rumah penjagaan sementara sukar dicari dan penyelamat kucing bebas amat bergantung kepada bantuan penjaga sukarela.

"Akhirnya, rumah penjagaan sementara menjadi tempat perlindungan penting bagi kucing yang tiada tempat lain untuk dituju," katanya.

"Kadangkala, sama ada terdapat ruang untuk menjaga seekor kucing boleh menentukan sama ada kucing itu dapat diselamatkan atau tidak."

Seorang lagi penjaga sementara, Lynnett Yip, 36 tahun, turut tidak bersetuju dengan had bilangan kucing tersebut.

Cik Yip, yang sudah enam tahun menjaga kucing secara sementara, menyifatkan skim itu sebagai penyelesaian sementara yang tidak menangani punca sebenar masalah.

"Saya rasa skim ini lebih seperti penyelesaian sementara dan bukannya benar-benar menyelesaikan masalah," katanya.

Walaupun mengakui skim itu dapat mengelakkan seseorang daripada memelihara terlalu banyak kucing tanpa sengaja atau mengabaikan kebajikannya, beliau berpendapat masalah utama seperti pembuangan kucing dan jumlah kucing yang terlalu banyak masih belum ditangani.

Menurutnya, membeli haiwan peliharaan kini semakin mudah, dan sesetengah pemilik mungkin lebih mudah membuang haiwan mereka apabila menghadapi masalah.

Beliau menggesa pihak berkuasa supaya lebih banyak berbincang dengan penyelamat dan penjaga kucing yang terlibat secara langsung bagi memahami cabaran mereka.

Kumpulan penyelamat kucing Luni turut menyambut baik skim tersebut, walaupun belum melihat peningkatan ketara dalam jumlah permohonan menjadi penjaga sementara sejak ia diumumkan.

Menurut jurucakap pertubuhan bukan mencari untung itu, bantuan bagi pemasangan mikrocip dan pemandulan amat berguna kepada penjaga sementara yang bergerak secara bebas.

Namun, bantuan tersebut mungkin kurang memberi kesan kepada penjaga di bawah Luni kerana pertubuhan itu sudah menanggung kos rawatan veterinar menerusi klinik rakan kerjasama yang menawarkan kadar lebih rendah bagi kucing yang diselamatkan.

SKIM AKAN DINILAI SELEPAS TEMPOH PERCUBAAN

SPCA turut menegaskan bahawa pengiktirafan rasmi sahaja tidak mencukupi untuk menyelesaikan semua cabaran yang dihadapi penjaga sementara kucing.

Antara cabaran tersebut termasuk masa yang perlu diluangkan, kos penjagaan dan risiko mengalami keletihan fizikal serta emosi.

Sebagai contoh, anak kucing yang baru lahir mungkin perlu diberikan susu setiap dua jam, manakala kucing yang sakit memerlukan pemantauan rapi dan rawatan veterinar yang mungkin menelan belanja tinggi.

SPCA menggesa pemerintah supaya melibatkan penjaga sementara secara menyeluruh ketika menilai keberkesanan skim percubaan itu.

Menurut persatuan tersebut, pengalaman mereka dapat membantu mengenal pasti cabaran sebenar dan cara untuk mengatasinya.

SPCA menambah  jika skim itu menunjukkan hasil yang baik, pendekatan sama boleh digunakan untuk meningkatkan standard kebajikan haiwan bagi semua pemilik haiwan peliharaan.

Ini dapat membantu mengurangkan risiko haiwan diabaikan sehingga memerlukan penjagaan sementara.

Bagaimanapun, Luni berpendapat skim tersebut mungkin tidak banyak mempengaruhi keputusan seseorang untuk menjadi penjaga sementara kucing.

Menurut jurucakapnya, walaupun menjaga kucing secara sementara memberi kepuasan, tanggungjawab itu juga mencabar kerana bakal penjaga perlu mempertimbangkan masa, kewangan dan kemampuan masing-masing.

Permohonan bagi skim percubaan itu dinilai oleh AVS, Persatuan Kebajikan Kucing dan HDB bagi pemohon yang tinggal di flat HDB.

Agensi-agensi berkenaan akan menilai semula skim tersebut selepas tempoh percubaan berakhir bagi menentukan sama ada ia memenuhi keperluan penjaga sementara, selain mendapatkan maklum balas masyarakat.

"Hasil penilaian itu akan membantu menentukan pendekatan jangka panjang bagi mengiktiraf penjaga sementara kucing, termasuk had bilangan kucing yang dibenarkan," kata Dr Wong.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita