Sekitar 350 tidak penuhi tanggungjawab NS setiap tahun: Ng Eng Hen
Sepanjang tiga tahun lalu, secara purata 350 individu tidak memenuhi tanggungjawab Perkhidmatan Negara (NS) setiap tahun.

(Gambar fail: Basic Military Training Centre/Facebook)
SINGAPURA: Sepanjang tiga tahun lalu, secara purata 350 individu tidak memenuhi tanggungjawab Perkhidmatan Negara (NS) setiap tahun, kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen dalam jawapan bertulis beliau kepada pertanyaan yang dikemukakan oleh Anggota Parlimen Ang Wei Neng.
Mereka lazimnya gagal mendaftarkan diri atau berkhidmat dalam Perkhidmatan Negara, atau tidak pulang ke negara ini selepas permit keluar negara mereka tamat tempoh.
Encik Ang turut bertanya jika mereka yang tidak memenuhi tanggungjawab NS akan didakwa dan jika ada sebarang kriteria di mana mereka diberi kelonggaran.
Menjawab pertanyaan Encik Ang, Dr Ng berkata sekitar 30 peratus sudah diberkas atau tampil untuk mengakui kesalahan mereka.
Beliau menambah, usaha untuk menghubungi mereka yang gagal memenuhi tanggungjawab ini termasuk mengirimkan surat ke alamat terakhir mereka, termasuk alamat di luar negara.
Pihak berkuasa juga mengunjungi alamat-alamat tempatan, selain mengesan mereka melalui institusi di mana mereka adalah pelajar.
"Penguatkuasaan dan hukuman bagi mereka yang tidak memenuhi NS ditetapkan dalam Akta Masuk Tentera dan proses-proses kehakiman. Kementerian Pertahanan (MINDEF) bekerjasama dengan polis untuk memberkas mereka. Bagi mereka yang didakwa, hukuman yang dijatuhkan adalah berdasarkan akta tersebut," tambah Dr Ng.
Baru-baru ini, perhatian ramai tertumpu kepada isu ini selepas penulis Crazy Rich Asians Kevin Kwan dilaporkan gagal mendaftarkan diri untuk menjalani Perkhidmatan Negara pada 1990 dan dikehendaki pihak berkuasa kerana gagal memenuhi tanggungjawabnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.