Skip to main content

Singapura

Sekitar 3,300 flat BTO dengan masa menunggu lebih singkat akan dilancar pada Okt

Anggaran Waktu Membaca:
Sekitar 3,300 flat BTO dengan masa menunggu lebih singkat akan dilancar pada Okt

Gambaran artis projek Yishun Glade, salah satu daripada empat projek yang akan dilancarkan dalam penjualan BTO Oktober, yang menawarkan flat dengan masa menunggu lebih singkat. (Gambar: HDB)

Diterbitkan : 12 Oct 2025 01:21PM Dikemas Kini : 13 Oct 2025 11:45PM


SINGAPURA: Sekitar 3,300 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dengan masa menunggu kurang tiga tahun, akan ditawarkan dalam penjualan akan datang pada Oktober.

Flat-flat itu akan ditawarkan menerusi empat projek BTO di Bedok, Sengkang dan Yishun, menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Ahad (12 Okt).

Ia merangkumi pelbagai jenis flat dari unit Fleksi dua bilik hingga flat 3Gen bagi keluarga berbilang generasi serta apartmen jagaan masyarakat buat warga emas.

Penjualan akan datang dijangka menyaksikan sebanyak 9,100 flat dilancarkan untuk dijual.

2 PROJEK DI YISHUN

Dua projek dengan masa menunggu yang lebih singkat, terletak di Yishun.

Salah satu daripadanya ialah Yishun Glade, yang akan terdiri daripada empat blok 15 tingkat dengan sebanyak 569 unit flat fleksi dua bilik serta empat bilik.

Terletak di antara Yishun Street 31 dengan Yishun Ring Road, projek itu mempunyai anggaran masa menunggu selama dua tahun tujuh bulan, menurut HDB.

Related article image
Ia akan menampilkan pusat jagaan warga emas dan kemudahan rekreasi seperti taman di atas bumbung, ruang kecergasan dan taman permainan.

Beberapa kemudahan berdekatan pembangunan tersebut termasuk Junction 9, Yishun Mall dan Perpustakaan Awam Yishun.

Penduduk juga akan dapat mengakses Penghubung Taman (PCN) Khatib Bongsu, yang menghubungkan penduduk ke Taman Kolam Yishun dengan mudah, kata HDB.

Pembangunan kedua di Yishun ialah Chencharu Grove, yang juga mempunyai anggaran masa menunggu selama dua tahun tujuh bulan.

Terletak di Bah Soon Pah Road dan Chencharu Link, ia akan terdiri daripada enam blok kediaman dengan jumlah sebanyak 826 flat dari unit fleksi dua bilik hingga lima bilik.

Pembangunan itu antara lain akan mempunyai kemudahan termasuk prasekolah dan taman permainan.

"Penduduk juga akan menikmati akses mudah ke pelbagai pilihan makan dan membeli-belah di Khatib Central, Wisteria Mall, Northpoint City, dan Pusat Penjaja Yishun Park," kata HDB.

Chencharu Grove juga terletak berdekatan dengan pembangunan bersepadu pelbagai guna yang dicadangkan, yang akan mempunyai pusat penjaja, kedai-kedai dan terminal bas.

Terminal bas tersebut akan menyediakan keterhubungan bagi penduduk ke Stesen MRT Khatib, kata HDB.
Related article image
Gambaran artis Chencharu Grove. (Gambar: HDB)
Projek ini juga akan merangkumi blok sewa awam bagi skim Bilik Orang Bujang dengan Kemudahan Dikongsi.

"Apabila siap, ini akan menggantikan tapak rintis di bekas hostel Maktab Rendah Anderson di Ang Mo Kio Avenue 8, yang kini hanya disediakan untuk penggunaan sementara."
 
PROJEK BTO DI SENGKANG

Satu lagi projek di Fernvale mempunyai anggaran masa menunggu yang lebih lama iaitu dua tahun lapan bulan.

Terletak antara Fernvale Drive, Fernvale Link dan Fernvale Street, Fernvale Plains terdiri daripada lima blok dengan ketinggian antara 23 hingga 26 tingkat, termasuk blok sewa.

Pembangunan itu akan menawarkan 830 unit flat fleksi dua bilik, empat bilik, dan lima bilik, bersama dengan 207 apartmen jagaan masyarakat. Ini akan menjadi projek apartmen jagaan masyarakat kelima untuk dilancarkan.

"Warga emas yang layak bagi apartmen jagaan masyarakat boleh memohon Bonus Perumahan Perak yang dipertingkat sehingga S$40,000 apabila peningkatan itu dilaksanakan pada Disember," kata HDB.

Fernvale Plains akan terletak berhampiran Seletar Mall, pusat membeli-belah Compass One dan Kelab Masyarakat Fernvale, yang mempunyai pusat penjaja bersepadu.
Related article image
PROJEK BTO DI BEDOK

Projek terakhir dengan flat masa menunggu yang lebih singkat ialah Ping Yi Court, yang terdiri daripada lima blok 15 tingkat dengan 862 flat dari unit fleksi dua bilik hingga flat 3Gen.

Pembangunan di Chai Chee Street itu mempunyai anggaran masa menunggu selama dua tahun sembilan bulan.

Ia akan mempunyai reka bentuk 'courtyard', dengan blok-blok disusun di sekelilingnya ruang itu. Ini bagi mewujudkan ruang bersama yang menggalakkan interaksi penduduk dan ikatan masyarakat, kata HDB.

Kemudahan Ping Yi Court termasuk prasekolah, taman di atas bumbung, taman permainan dan ruang kecergasan.

"Penduduk akan mempunyai akses mudah ke kemudahan berhampiran seperti Pasar dan Pusat Makanan Kaki Bukit 511, Bedok Mall, dan Heartbeat@Bedok, yang menempatkan balai rakyat, perpustakaan, kompleks renang, dan pusat sukan semuanya di bawah satu bumbung," kata HDB.
Related article image
Gambaran artis Ping Yi Court. (Gambar: HDB)
PROJEK-PROJEK LAIN

Pelaksanaan BTO pada Oktober juga akan menawarkan projek-projek di Ang Mo Kio, Bishan, Bukit Merah, Jurong East, dan Toa Payoh.

"Lebih banyak butiran mengenai projek-projek tersebut, termasuk kategori klasifikasi, akan dikongsi semasa penjualan Oktober yang akan datang," kata HDB.

Flat-flat baharu dengan masa menunggu lebih singkat akan membawa jumlah keseluruhan flat sedemikian yang dilancarkan pada tahun 2025 kepada 4,690, melebihi sasaran awal HDB sebanyak 4,500, katanya.

"Dalam tempoh dua tahun akan datang, kami akan melancarkan lagi 4,000 flat dengan masa menunggu lebih singkat setiap satu tahun sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk mengurangkan masa menunggu dan meluaskan pilihan perumahan untuk pembeli rumah dengan keperluan perumahan mendesak," tambah HDB.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita