Sekitar 30,000 pemegang pas kerja warga China belum kembali ke S'pura: Josephine Teo
Sekitar 30,000 warga China yang merupakan pemegang pas kerja di sini masih berada di luar negara dan mungkin akan diarahkan supaya mengambil cuti wajib apabila mereka kembali ke Singapura.
(Gambar: Cindy Co)
SINGAPURA: Sekitar 30,000 warga China yang merupakan pemegang pas kerja di sini masih berada di luar negara dan mungkin akan diarahkan supaya mengambil cuti wajib apabila mereka kembali ke Singapura.
Jumlah tersebut membentuk kurang satu peratus daripada tenaga kerja Singapura, menurut Kementerian Tenaga Kerja (MOM) dan ia dijangka akan menjejas sesetengah sektor berbanding sektor-sektor lain.
Ketiadaan para pekerja ini mungkin akan meninggalkan kesan yang kecil ke atas sebilangan syarikat, kata Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo pada Ahad (2 Feb), sambil menambah bahawa kementeriannya sedang memantau keadaan.
"Anggaran kami buat masa ini adalah terdapat sekitar 30,000 pemegang pas pekerja yang merupakan rakyat China yang sudah meninggalkan Singapura tetapi belum kembali ke sini," kata Cik Teo kepada para wartawan semasa satu lawatan ke Oasia Hotel Downtown bersama Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing.
Pekerja-pekerja ini membentuk kurang satu peratus daripada tenaga kerja Singapura, kata Cik Teo.
"Sudah tentu ia tidak termasuk rakyat Singapura yang mungkin juga mempunyai rekod perjalanan ke luar negara, termasuk ke China, dan apabila kembali kelak mereka mungkin perlu mengambil cuti wajib," tambah beliau.
Sektor pengilangan lebih terjejas berbanding sektor perkhidmatan dan binaan, kata Cik Teo.
"Menerusi interaksi kami dengan persatuan dan dewan perdagangan ... kami difahamkan bahawa kebanyakan syarikat mempunyai satu atau dua (pekerja terjejas), jumlah yang agak kecil, yang boleh ditangani di peringkat syarikat.
"Namun di peringkat sektor, mungkin ada kesan, jadi kami bekerja rapat dengan persatuan-persatuan ini, dan jika ada keperluan untuk membantu mereka, kami pasti akan melakukannya."
Sementara itu, beliau berkata kakitangan barisan hadapan juga mungkin tidak pasti mengenai bagaimana untuk memberikan khidmat kepada pelanggan yang tidak sihat semasa tempoh ini.
Beliau berkata Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF) dan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) akan mengeluarkan panduan tentang apa yang boleh dilakukan oleh para pekerja apabila mereka berdepan dengan pelanggan yang tidak sihat.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona 2019-nCoV: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.