Sekitar 27,000 pekerja sektor marin lalui ujian COVID-19, vaksinasi dimulakan
Sekitar 27,000 kakitangan darat dalam sektor maritim menjalani ujian COVID-19 besar-besaran antara 2 dengan 8 Jan, kata Penguasa Maritim dan Pelabuhan (MPA) pada Khamis (14 Jan), sambil menambah bahawa semua kecuali seorang daripada mereka diuji negatif.
Kapal-kapal maritim berlabuh di perairan Singapura berdekatan kilang penapisan petroleum di Pulau Bukom. (Gambar: ROSLAN RAHMAN/AFP)
SINGAPURA: Sekitar 27,000 kakitangan darat dalam sektor maritim menjalani ujian COVID-19 besar-besaran antara 2 dengan 8 Jan, kata Penguasa Maritim dan Pelabuhan (MPA) pada Khamis (14 Jan), sambil menambah bahawa semua kecuali seorang daripada mereka diuji negatif.
"Semua diuji PCR-negatif kecuali seorang yang diuji PCR-positif dan serologi-positif, dan dinilai sudah pulih dari jangkitan COVID-19," kata pihak berkuasa, merujuk kepada ujian reaksi rantaian polimerase.
Ujian serologi positif menunjukkan kemungkinan jangkitan masa lalu.
Kakitangan di darat itu termasuk mereka yang melakukan kerja-kerja penting di atas kapal yang berlabuh, seperti operasi kargo dan mengisi minyak, pembaikan dan penyenggaraanserta pemeriksaan.
Mereka diuji menyusuli kes COVID-19 baru-baru ini dalam sektor tersebut, termasuk seorang juruukur laut di Lloyd's Register Singapore dan jurutera perkhidmatan marin di Master Systems Marine.
Kedua-dua kes tersebut ada kaitan dengan kelompok keluarga.
VAKSINASI BAGI KAKITANGAN DARAT
Vaksinasi COVID-19 untuk kakitangan di darat bermula pada Rabu, umum MPA.
Ia adalah sebahagian daripada langkah Pemerintah untuk melindungi pekerja barisan hadapan, dan termasuk kakitangan yang perlu menaiki kapal di pelabuhan, seperti malim dan pelaut yang merupakan warga Singapura atau penduduk jangka panjang.
Sebagai sebahagian daripada syarat tambahan, semua kakitangan di darat akan dikehendaki untuk mendaftar masuk dan keluar menggunakan SafeEntry@Sea ketika menaiki dan turun dari semua kemudahan pesisir laut mulai Jumaat.
Mereka harus memberikan butiran syarikat dan kapal yang akan mereka naiki dan mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat di atas kapal.
Pekerja juga mesti menunjukkan bukti hasil negatif yang sah dari ujian PCR COVID-19 dari program ujian rutin dijadualkan, ujian COVID-19 ad hoc atau ujian pantas antigen yang diambil dalam tempoh 72 jam sebelum menaiki kapal.
Seperti yang telah diumumkan sebelumnya, kekerapan ujian rutin dijadualkan untuk kakitangan di darat yang menaiki kapal secara berkala juga akan ditambah dari setiap 14 hari kepada setiap tujuh hari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.