Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekitar 2,500 kes maklum balas berhubung monyet diterima di S'pura setiap tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Sekitar 2,500 kes maklum balas berhubung monyet diterima di S'pura setiap tahun

Kera ekor panjang dilihat di Singapura. (Gambar: Facebook/NParks)

Diterbitkan : 02 Aug 2022 04:59PM Dikemas Kini : 03 Aug 2022 12:53PM
SINGAPURA: Pemerintah menerima sekitar 2,500 kes maklum balas berhubung monyet setiap tahun dari 2017 hingga 2022, melibatkan insiden pencerobohan, serangan dan pemberian makan, kata Menteri Pembangunan Negara, Desmond Lee pada Isnin (1 Ogos).

Beliau memberikan perangkaan tersebut dalam jawapan bertulisnya kepada soalan parlimen daripada tiga Anggota Parlimen (AP) mengenai strategi pengurusan hidupan liar Lembaga Taman Negara (NParks), termasuk bagaimana untuk mengimbangi hidup secara harmoni bersama hidupan liar di tengah-tengah visi Singapura untuk menjadi bandar dalam alam semula jadi.

Encik Lee berkata NParks, agensi di bawah kementeriannya, mengambil pendekatan berasaskan masyarakat dan sains untuk menguruskan bilangan hidupan liar di Singapura.

Ia mengkaji taburan, tabiat dan ekologi haiwan-haiwan di sini, seperti memerang, yang bilangannya sekitar 150 secara keseluruhan dengan terdapat 10 keluarga memerang, kata Encik Desmond.

NParks juga meneliti trend jumlah kera ekor panjang, spesies monyet biasa dilihat yang berjumlah lebih 2,000 mengikut banci 2015 oleh penyelidik.

Bulan lalu, sebuah video yang tular menunjukkan sekumpulan monyet keluar dari flat HDB di Clementi melalui tingkap. Menurut NParks usaha akan dijalankan untuk mengarah haiwan itu ke kawasan hutan.
Encik Lee berkata NParks akan campur tangan dalam menangani pencerobohan dan serangan hidupan liar, bagi memastikan keselamatan awam. Ia bekerjasama dengan pelbagai kumpulan kerja berkaitan haiwan untuk mencari huraian dan langkah-langkah dalam pengurusan hidupan liar.

Sebagai contoh, NParks memasang hadangan di kawasan yang ada anak memerang untuk mengurangkan kemungkinan konflik manusia dengan hidupan liar. Langkah pengawalan pembiakan juga dikuat kuasakan, di mana perlu, jelas Encik Lee sambil menambah yang langkah-langkah itu berkesan setakat ini.

Encik Lee turut mengingatkan bahawa memberi makan, sama ada secara sengaja atau pembuangan sisa makanan dengan cara tidak betul, adalah "punca kemungkinan kes pencerobohan hidupan liar meningkat".

"Kita perlu terus tingkatkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan pencerobohan yang bertambah buruk dari masa ke masa."

Ini termasuk menggantikan atau menuai pokok buah-buahan untuk mengurangkan sumber makanan di kawasan yang seringkali dikunjungi monyet.

NParks juga akan berusaha mendekati orang ramai menerusi ceramah, webinar serta pelbagai inisiatif, untuk meningkatkan kesedaran tentang pengurusan hidupan liar seperti pengurusan sampah dengan betul dan memberi makanan.

"Dengan menghindar dari memberi makanan kepada hidupan liar, menjaga kebersihan kawasan kediaman, dan menghargai hidupan liar dari jarak yang selamat, kita boleh mengurangkan pencerobohan daripada hidupan liar," ujar Encik Lee.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan