Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekitar 2.5 juta warga SG akan terima hingga S$700 di bawah pakej bantuan: MOF

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 15 Nov 2022 12:08PM Dikemas Kini : 15 Nov 2022 10:08PM
SINGAPURA:Sekitar 2.9 juta warga dewasa Singapura akan menerima wang tunai hingga S$200 pada Disember, sebagai sebahagian daripada Pakej Jaminan yang diumumkan Pemerintah sebelum ini.

Ia bagi mengurangkan kesan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mulai Januari nanti.

Selain itu, sekitar 2.5 juta rakyat Singapura akan menerima wang tunai sehingga S$500 dalam bentuk Bayaran Khas Kos Sara Hidup (COL).

Bayaran khas itu membentuk sebahagian daripada pakej bantuan bernilai S$1.5 biliion yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong pada bulan lalu.

Tujuannya adalah untuk membantu menampung kos sara hidup bagi keluarga-keluarga di Singapura, dengan bantuan tambahan bagi golongan berpendapatan rendah hingga sederhana.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan (MOF) menyatakan, bayaran akan mula dibuat pada Disember kepada mereka yang mempunyai nilai pendapatan taksiran sebanyak S$100,000 dan ke bawah bagi Tahun Penilaian 2022.

Di bawah Pakej Jaminan, yang pertama kali diumumkan oleh Menteri Kewangan sebelum ini, Encik Heng Swee Keat, pada 2020, setiap warga Singapura dewasa akan menerima bayaran wang tunai antara S$700 dengan S$1,600. Ini akan dibahagikan selama lima tahun, dengan bayaran pertama dilakukan pada Disember, bermula dari 2022 hingga 2026.

Mereka boleh memeriksa kelayakan mendapatkan wang tunai di bawah Pakej Jaminan dan bayaran khas COL di go.gov.sg/assurancepackage dengan log masuk menggunakan Singpass mereka.

Rakyat Singapura yang layak akan juga menerima lebih banyak bantuan di bawah Pakej Jaminan pada Januari dan Februari 2023 nanti.

Pada Januari 2023, isi rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang layak akan menerima Baucar GST tambahan (GSTV) – U-Save sehingga S$95 untuk mengimbangi bil api air. Ini adalah tambahan kepada GSTV biasa – U-Save di bawah skim GSTV kekal sehingga S$95 untuk isi rumah HDB yang layak.

Pada bulan yang sama, setiap isi rumah Singapura akan menerima Baucar CDC berjumlah S$300, yang boleh digunakan di kedai kejiranan dan penjaja serta pasar raya yang mengambil bahagian.

Pada Februari 2023, warga emas Singapura yang berpendapatan lebih rendah akan menerima sehingga S$300 tunai, di bawah GSTV – Tunai (Bonus Warga Emas).

Pada bulan yang sama, warga emas yang layak berumur 55 tahun dan ke atas, serta kanak-kanak berusia 20 tahun dan ke bawah akan menerima S$150 dalam Akaun MediSave mereka.
Sumber : CNA/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan