Sekitar 25,000 kenalan rapat kes COVID-19 dijejaki guna TraceTogether
Sejauh ini, sekitar 25,000 kontak rapat kes-kes COVID-19 dikenal pasti menerusi TraceTogether, menurut Menteri Kesihatan Gan Kim Yong hari ini (2 Nov).

Token TraceTogether. (Gambar fail: Edgar Su/Reuters)
SINGAPURA: Sejauh ini, sekitar 25,000 kontak rapat kes-kes COVID-19 dikenal pasti menerusi TraceTogether, menurut Menteri Kesihatan Gan Kim Yong hari ini (2 Nov).
160 daripada jumlah itu akhirnya diuji positif COVID-19.
"Ia membolehkan pengesanan awal dan pengasingan kes, lebih pantas berbanding pengesanan yang dilakukan secara manual," kata Encik Gan dalam jawapan bertulis kepada soalan Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan oleh Anggota Parlimen Yip Hon Weng tentang berapa banyak kes positif berjaya dikesan dengan menggunakan token TraceTogether, bagaimana Pemerintah mengesan kadar penggunaan token dan sekiranya ada rancangan untuk menyepadukannya dengan ciri-ciri SafeEntry.
Program TraceTogether bergantung kepada data jarak pengguna untuk memberi senarai awal kontak rapat kes-kes COVID-19.
Pihak berkuasa pada bulan lalu mengumumkan bahawa SafeEntry menggunakan TraceTogether sahaja, akan dilaksanakan secara berperingkat di tempat-tempat popular merata Singapura menjelang akhir tahun ini.
Setakat 1 Nov, 570,000 penduduk sudah mengambil token mereka, kata Encik Gan.
Sekitar 2.7 juta orang sudah memuat turun app TraceTogether, yang juga mempunyai fungsi yang sama dengan token.
"Keberkesanan TraceTogether menjadi lebih baik lagi apabila lebih ramai menggunakannya. Maka itu kami menggalak lebih ramai rakyat Singapura supaya menyertai program TraceTogether dengan memuat turun app atau mengambil dan menggunakan token," kata Encik Gan.
"Kami juga memperkenalkan SafeEntry dengan hanya menggunakan TraceTogether bagi tempat-tempat berisiko tinggi, dan akan memperluaskan ini kepada lebih banyak tempat seperti pusat beli-belah, cawangan-cawangan F&B dan tempat-tempat kerja menjelang lewat Disember."
Beliau turut menarik perhatian bahawa Pemerintah sudah mula menyepadukan ciri-ciri SafeEntry dalam token-token TraceTogether - kod QR pada bahagian belakang token boleh digunakan untuk pendaftaran masuk SafeEntry, atau diimbas untuk masuk ke sesebuah tempat.
"Kami akan terus meninjau penyepaduan dua sistem itu dengan lebih baik, demi memudahkan lagi orang ramai sedang kita meningkatkan keupayaan pengesanan kontak untuk membuka semula ekonomi dan menyambung semula pelbagai kegiatan dengan selamat," kata Encik Gan.
PEMERINTAH AKAN TERUS PERTINGKAT SISTEM PENGESANAN KONTAK
Pemerintah akan terus melabur untuk mempertingkat sistem-sistem pengesanan kontak, seperti dengan memperbaiki lagi kemudahan pendaftaran SafeEntry, jelas Encik Gan, sambil menambah pihak berkuasa akan berusaha mendapatkan lebih banyak token untuk penduduk.
Kenyataan beliau itu sebagai menjawap pertanyaan AP Parti Pekerja, He Ting Ru, yang bertanya berapa banyak sudah dibelanjakan bagi sistem SafeEntry, app dan token TraceTogether - termasuk dari segi penghasilan dan pengagihannya.
Setakat September, S$2.4 juta sudah dibelanjakan untuk membangunkanapp TraceTogether, dedah Encik Gan.
Lagi S$5.2 juta bagi SafeEntry; dan S$6.2 juta bagi pembangunan dan pemilikan token TraceTogether.
Selain itu, Pemerintah akan terus melabur untuk mempertingkat SafeEntry dan TraceTogether, kata Encik Gan.
Tentang sama ada MOH menjangkakan lebih banyak kos yang perlu ditampung berkaitan sistem pengesanan kontrak, Encik Gan berkata: "Jumlah sebenar yang dibelanjakan bergantung kepada beberapa faktor, termasuk jumlah sebenar penduduk yang memerlukan token."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.