Skip to main content

Singapura

Sekitar 22,000 penjawat awam akan terima kenaikan gaji sebanyak 2% hingga 9% mulai 1 Ogos

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Feb 2026 07:27PM Dikemas Kini : 04 Mar 2026 09:27PM
SINGAPURA: Sekitar 22,000 penjawat awam akan menerima kenaikan gaji antara 2 peratus dengan 9 peratus mulai 1 Ogos sebagai sebahagian daripada semakan berkala gaji.

Kenaikan ini akan memberi manfaat kepada pegawai yang layak dalam Skim Eksekutif Pengurusan, Skim Sokongan Teknikal, Skim Sokongan Pengurusan, Skim Sokongan Korporat, Skim Sokongan Operasi, dan skim-skim berkaitan dengannya.

Pegawai dalam skim tersebut berada dalam pelbagai peranan seperti dasar dan perancangan, pentadbiran dan operasi.

"Penyesuaian ini dibuat supaya seiring dengan piawaian pasaran dan memastikan perkhidmatan awam terus dapat menarik serta mengekalkan bakat terbaik. Ini penting bagi memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat Singapura di tengah-tengah cabaran dunia yang semakin rumit," menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (PSD) dalam satu kenyataan media pada Jumaat (20 Feb).

Ini merupakan semakan gaji pertama kepada skim perkhidmatan awam dalam tempoh empat tahun.

Pada 2022, kira-kira 23,000 pegawai merentasi pelbagai skim menerima pelarasan gaji antara 5 peratus dengan 14 peratus.

"Sejak itu, tahap gaji dalam pasaran sudah meningkat," menurut PSD. "Perkhidmatan awam mengkaji semula gaji secara berkala dan melaraskannya apabila perlu untuk secara amnya seiring dengan, tetapi tidak mendahului, pasaran."

Pegawai yang layak dalam Skim Eksekutif Pengurusan (MXS) akan menerima pelarasan gaji sebanyak 2 peratus hingga 9 peratus, dengan pelarasan yang lebih tinggi untuk gred yang mempunyai jurang yang lebih besar dengan penanda aras pasaran.

"Tidak akan ada pelarasan untuk pegawai MXS yang gajinya sudah berdaya saing," menurut PSD.

Pegawai yang layak dalam Skin Sokongan Teknikal akan menerima pelarasan gaji sebanyak 4 peratus hingga 9 peratus.

Pegawai yang layak dalam Skim Sokongan Pengurusan (MSS) dan Skim Sokongan Korporat (CSS) akan menerima kenaikan gaji sebanyak 4 peratus hingga 5 peratus.

Pegawai yang layak dalam Skim Sokongan Operasi akan menerima pelarasan gaji sebanyak 4 hingga 8 peratus.

PSD menyatakan bahawa perubahan itu berikutan rundingan dengan Gabungan Kesatuan Pekerja Awam (AUPE).

"Perkhidmatan awam juga akan terus mengukuhkan ganjaran untuk prestasi dan meningkatkan usaha untuk menyediakan pegawai dengan peluang kerjaya dan pertumbuhan yang bermakna," menurut PSD.

"Perkhidmatan awam komited untuk menarik, membangunkan dan mengekalkan tenaga kerja bersedia masa depan yang boleh terus memberikan yang terbaik untuk Singapura dan rakyat Singapura."
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita