Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekitar 200 orang diberi status PR menerusi Program Pelabur Global dari 2020-2022

Anggaran Waktu Membaca:
Sekitar 200 orang diberi status PR menerusi Program Pelabur Global dari 2020-2022

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 23 Feb 2023 04:16PM Dikemas Kini : 24 Feb 2023 08:53PM

SINGAPURA: Sekitar 200 orang diberikan status Penduduk Tetap (PR) menerusi Program Pelabur Global (GIP) antara 2020 dengan 2022.

Demikian menurut Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan Low Yen Ling di Parlimen pada Khamis (23 Feb).

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan AP Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) berhubung jumlah orang yang menggunakan GIP untuk melayakkan diri bagi status penduduk tetap dalam tempoh tiga tahun lalu.

Dilancarkan pada 2004, program itu memberikan status tersebut kepada "para pelabur global yang layak, yang berhasrat memacu pertumbuhan perniagaan dan pelaburan mereka dari Singapura", menurut laman Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB). 

Mereka yang layak membuat permohonan bagi GIP termasuk pemilik perniagaan generasi akan datang, pengasas syarikat yang berkembang pesat atau ketua pejabat keluarga.

Mereka perlu melaburkan sekurang-kurangnya S$2.5 juta dalam perniagaan baru atau yang sedang berkembang di sini, dana GIP yang melabur dalam syarikat-syarikat berpangkalan di Singapura atau satu pejabat keluarga yang berpangkalan di sini dengan aset sekurang-kurangnya S$200 juta di bawah pengurusan.

Menjawab soalan berasingan daripada Ketua Pembangkang Pritam Singh, yang bertanya mengenai jumlah penduduk tetap di bawah skim itu yang kemudian menjadi rakyat, Cik Low berkata "peraturasannya sangat, sangat rendah".

"Minat dalam GIP kekal stabil sejak ia dilancarkan dan jumlah pelabur GIP yang diluluskan sebagai PR jauh lebih rendah daripada satu peratus jumlah keseluruhan PR yang diluluskan setiap tahun" tambah Cik Low.

Cik Low berkata pihak berkuasa "sangat memilih" pelabur di bawah program tersebut, dengan EDB melaksanakan proses "ketat" untuk menilai komitmen ekonomi dan kediaman setiap pemohon.

Mereka yang diberi kelulusan menerusi program itu perlu menyerahkan bukti dokumen mengenai syarikat-syarikat berpangkalan di Singapura, yang mereka lakukan pelaburan. EDB juga melakukan lawatan ke lokasi untuk menilai kegiatan perniagaan syarikat dan keadaan pengambilan pekerja, kata beliau.

Cik Low juga menarik perhatian bahawa permit kemasukan semula mereka yang tidak memenuhi komitmen ekonomi dan kediaman serta kriteria lain  tidak akan diperbaharui.

PR Singapura memerlukan permit kemasukan semula untuk keluar negara sedang mereka mengekalkan status sebagai penduduk di negara ini. PR yang meninggalkan Singapura atau kekal di luar negara tanpa permit kemasukan semula yang sah akan hilang status penduduk tetap.

Semua pemohon bagi kerakyatan Singapura, termasuk PR di bawah GIP, juga dinilai secara bebas oleh Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), kata Cik Low.

Program itu menjana lebih  S$5.46 bilion dalam keseluruhan perbelanjaan perniagaan menerusi pelaburan langsung dari 2011 hingga 2022 dan mewujudkan lebih 24,000 pekerjaan di Singapura, kata Cik Low.

Setakat Oktober 2022, para pelabur GIP juga sudah menyuntik S$1.62 bilion ke dalam dana yang diluluskan, tambah beliau.

Daripada jumlah itu, 87.2 peratus atau S$1.41 bilion, disalurkan oleh pengurus dana ke dalam "pelaburan sebenar", termasuk S$930 juta bagi pelaburan ke dalam syarikat-syarikat berpangkalan di Singapura.

Para pelabur asing di bawah program tersebut datang dari spektrum meluas bidang-bidang dan sektor, seperti teknologi, huraian bandar dan kemampanan, serta khidmat kewangan, tambah beliau.

Sumber : CNA/NK/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan