Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekitar 200 kapal dibekalkan dengan minyak tercemar di pelabuhan S'pura

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Minyak kapal tercemar dibekalkan kepada sekitar 200 kapal di Pelabuhan Singapura, dengan kira-kira 80 daripadanya melaporkan pelbagai masalah yang dialami pada pam minyak dan enjin kapal. 

Demikian menurut Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) pada Rabu (13 Apr). 

Siasatan awal oleh MPA mendapati firma-firma komoditi sejagat Glencore membekalkan minyak yang tercemar itu. 

Dalam kenyataan medianya, MPA mendedahkan bahawa ia dimaklumkan pada 14 Mac mengenai sejumlah kapal yang dibekalkan dengan minyak sulfur yang mengandungi tahap sebatian organik klorin (COC) yang tinggi di pelabuhan Singapura. 

"MPA dengan serta-merta menghubungi pembekal minyak yang relevan untuk mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk menghentikan pembekalan minyak yang terjejas itu dan bagi memaklumkan kepada semua kapal yang menggunakan minyak itu supaya berhati-hati semasa menggunakannya," menurut agensi tersebut.

"Glencore memberitahu MPA bahawa sebaik ia menerima laporan tentang minyak yang tercemar, Glencore kemudian menguji minyak yang dibekalkan oleh sumber-sumbernya yang digunakan dalam produk campurannya dan mendapati salah satu daripadanya yang didapatkan daripada luar negara mengandungi kira-kira 15,000ppm COC," menurut MPA. 

Pada waktu ujian dijalankan, Glencore sudahpun menjual sebahagian daripada minyak yang tercemar itu kepada PetroChina yang kemudian membekalkannya kepada kapal-kapal di Pelabuhan Singapura, menurut MPA lagi. 

Menurut MPA, ia sudah menjalankan ujian sampel minyak ke atas beberapa kapal yang terjejas dan mengesan paras COC yang tinggi pada sampel-sampel tersebut. 

Agensi tersebut juga menarik perhatian bahawa seperti semua minyak yang dibekalkan di Pelabuhan Singapura, minyak tercemar yang dibeli oleh Glencore mematuhi syarat-syarat ISO 8217. 

Tambah MPA lagi, Glencore juga sudah menjalankan ujian tambahan ke atas minyak tersebut berdasarkan piawai lain, iaitu ASTM D78452. 

"MPA kini sedang berbincang dengan industri tersebut tentang langkah untuk menjalankan  pemeriksaan tambahan pada kualiti minyak yang akan menapis bahan kimia yang tidak diluluskan," menurut MPA. 

MPA menambah bahawa ia juga merancang untuk menyerahkan hasil siasatannya tentang minyak yang tercemar dengan COC kepada Pertubuhan Maritim Antarabangsa bagi meningkatkan kesedaran para anggota lain. 

"Sebagai hab utama bagi mengisi minyak kapal, MPA memandang serius terhadap kualiti minyak kapal dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak-pihak yang didapati gagal mematuhi syarat-syarat pelesenan MPA atau peraturan-peraturan lain."

Ini menyusuli pengumuman syarikat pengujian minyak kapal Veritas Petroleum Services (VPS) kepada para pelanggannya bulan lalu tentang minyak tercemar yang dihantar ke kapal-kapal di pelabuhan Singapura. 
 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan