Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekitar 20 penduduk dipindahkan selepas kebakaran tercetus di East Coast Road

Anggaran Waktu Membaca:
Sekitar 20 penduduk dipindahkan selepas kebakaran tercetus di East Coast Road

(Gambar: Pembaca Mediacorp)

Diterbitkan : 10 Jan 2023 01:55PM Dikemas Kini : 10 Jan 2023 02:11PM

SINGAPURA: Sekitar 20 penduduk di East Coast Road dipindahkan selepas kebakaran tercetus di sebuah rumah teres lewat Isnin (9 Jan). 

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan ia dimaklumkan mengenai kebakaran di No 12S East Coast Road sekitar pukul 11.50 malam, sambil menambah bahawa kebakaran sudah "marak" dan menjejas empat unit rumah teres apabila pasukan bomba tiba di tempat kejadian. 

(Gambar: Pembaca Mediacorp)

"Para anggota bomba SCDF dengan pantas menggunakan jet air untuk mengawal kebakaran itu kepada empat unit yang terjejas," menurut SCDF dalam catatannya di Facebook. 

"Tangga platform juga digunakan untuk operasi memadamkan kebakaran tersebut dan mencegahnya daripada terus merebak." 

Pada kemuncak operasi, sebanyak enam jet air digunakan, menurut SCDF. 

Menurut seorang saksi, dia melihat ramai orang bergegas keluar dari Village Hotel Katong yang terletak berdekatan dengan bagasi mereka. 

"Saya rasa mereka yang menginap di tingkat-tingkat rendah hotel juga dipindahkan. Ramai juga yang dipindahkan oleh polis (sekitar pukul 1.00 pagi) kerana asap terlalu tebal," katanya. 

Seorang lagi saksi yang tidak ingin mendedahkan identitinya memberitahu Mediacorp bahawa dia terjaga dari tidur akibat bau asap sekitar pukul 11.56 malam dan melihat beberapa rumah terbakar. 

Menurut SCDF, kebakaran itu dipadamkan sekitar pukul 1.50 pagi Selasa (10 Jan), dengan operasi mengawal saki baki kebakaran dijalankan sehingga kira-kira pukul 4.20 pagi. 

Disebabkan oleh kebakaran itu, dua unit rumah teres yang terletak bersebelahan turut terjejas, menurut SCDF. 

Kira-kira 20 penghuni dalam unit-unit terjejas dan unit-unit bersebelahan dipindahkan oleh polis sebagai langkah berjaga-jaga, tambah SCDF. 

Seorang individu mengalami kelecuran ringan yang diperiksa oleh pasukan paramedik SCDF dan dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH). 

Punca kebakaran sedang disiasat. 

AP Tan See Leng (PAP-Marine Parade) berkata sebanyak enam unit rumah teres terjejas akibat kebakaran tersebut.

Dr Tan, yang juga Menteri Tenaga Manusia, turut mendedahkan bahawa sepasang warga tua cedera ringan dan dibawa ke hospital untuk pemantauan dan pemeriksaan susulan. 

Dr Tan turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan SCDF kerana berhasil memadamkan kebakaran dan sukarelawan akar umbi yang menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas. 

Talian bantuan juga disediakan untuk para penduduk yang terjejas oleh kebakaran itu. Sesi pendampingan juga akan diadakan untuk penduduk terlibat, ujar Dr Tan. 

(Gambar: SCDF/Facebook)
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan