Skip to main content

Singapura

Sekitar 20 keluarga terjejas akibat isu bekalan TMB tetap dapat tunai ibadah korban di Masjid Jamae Chulia

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 May 2026 05:01PM Dikemas Kini : 19 Jun 2026 01:28PM
SINGAPURA: Lebih kurang 20 keluarga yang terjejas selepas kambing korban kendalian The Meat Brothers (TMB) gagal dibawa masuk dari Australia, tetap dapat menunaikan ibadah korban tahun ini menerusi kerjasama bersama pengendali AgroMaster di Masjid Jamae Chulia.

Salah seorang sohibul korban, Anisa Nihara berkata beliau pada awalnya berasa kecewa apabila dimaklumkan berlaku perubahan terhadap korban yang telah ditempah keluarganya.

“Kami dimaklumkan bahawa korban ini sebenarnya akan ditukar. Pada mulanya saya agak kecewa. Jadi kami fikir sebenarnya ibadah korban ini mungkin tidak dapat disempurnakan," luah Cik Anisa.

Bagaimanapun, beliau bersyukur apabila dimaklumkan bahawa ibadah korban mereka masih dapat diteruskan dengan pilihan alternatif lain.

“Berita baiknya ialah mereka memaklumkan bahawa haiwan korban itu akan ditukar daripada biri-biri kepada kambing, tetapi bagi kami ia tidak menjadi masalah. Apa yang penting ialah korban itu masih dapat dilaksanakan. Kami masih dapat menyempurnakan ibadah korban kerana itulah niat kami," kata Cik Anisa.

Menurut beliau, ramai lagi jemaah lain yang terkesan turut melahirkan rasa lega kerana masih dapat menyempurnakan ibadah korban tahun ini.

“Mereka juga gembira kerana masih dapat melaksanakan korban hari ini. Pada mulanya mereka berasa bimbang apabila mendapat tahu haiwan korban itu tidak dapat dibawa masuk dari Australia dan mereka perlu memilih alternatif lain, tetapi mereka bersyukur kerana akhirnya tetap dapat menyempurnakan ibadah korban mereka hari ini," kongsinya.

Beliau turut memuji tindakan pihak masjid yang sentiasa menghubungi dan memberikan perkembangan terkini kepada para sohibul korban.

“Pengerusi masjid telah menghubungi kami, memaklumkan keadaan dan sentiasa memberi kemas kini kepada kami. Tetapi pada saat akhir, kami menerima panggilan bahawa ibadah korban akan tetap diteruskan di masjid, jadi kami gembira," kata Cik Anisa.

Beliau berkata meskipun pelaksanaan korban tahun ini berdepan cabaran, beliau tetap bersyukur kerana akhirnya dapat menyempurnakan ibadah tersebut selepas beberapa tahun korban tempatan dihentikan akibat COVID-19.

BERTINDAK PANTAS, HUBUNGI PARA SOHIBUL KORBAN DAN BERIKAN PILIHAN

Ketua Pegawai Eksekutif AgroMaster, Mohamed Rafee Mohamed Eunos berkata pihaknya membawa masuk sebanyak 130 ekor kambing tempatan daripada Hay Dairies Goat & Farm bagi memastikan ibadah korban dapat diteruskan di masjid tersebut.

Sebahagian lagi kambing korban di masjid tersebut sebanyak 50 ekor sepatutnya dibawa masuk oleh pengendali The Meat Brothers.

“Kita cuma menggunakan kambing sahaja bukan kibas atau biri-biri kita menggunakan kambing. Iaitu kambing tenusu. Kambing ini kita menggunakan kambing jantan daripada Hay Dairies," kongsi Encik Rafee.

Related article image
Ketua Pegawai Eksekutif AgroMaster, Mohamed Rafee Mohamed Eunos. (Gambar: Nurfazirah Azman)
Menurut beliau, kerjasama bersama Hay Dairies yang telah terjalin lebih tujuh tahun membantu memastikan bekalan korban sentiasa tersedia.

“Ini bukanlah kali pertama kita mengerjakan korban dan menggunakan kambing tempatan, kami nanti-nantikan setiap tahun untuk menggunakan bekalan tempatan di mana kita mempunyai jaminan keselamatan makanan," kata Encik Rafee.

Tambah beliau, penggunaan pembekal tempatan juga membolehkan pihaknya bertindak pantas sekiranya berlaku kekurangan bekalan.

Mengulas mengenai keluarga yang terjejas akibat isu kelulusan eksport bagi kambing dari Australia, beliau berkata AgroMaster segera menghubungi para sohhibul korban bagi menawarkan beberapa pilihan penyelesaian.

AgroMaster bekerjasama dengan The Meat Brothers (TMB) dalam pelaksanaan ibadah korban di masjid tersebut, dan memberi tiga pilihan kepada para sohibul korban.

Secara keseluruhan lebih 40 keluarga terjejas dan di antara mereka, 20 keluarga meminta untuk mendapatkan bayaran balik sepenuhnya.

“Kita menelefon sohibul-sohibul korban dan kami memberi mereka beberapa pilihan di mana kami kembalikan wang mereka, kalau tidak, kita akan 'upgrade' korban mereka dengan menggunakan kambing tenusu dari Hay Dairies Farm," kongsi Encik Rafee.

Tahun ini juga menyaksikan ibadah korban secara langsung kembali dilaksanakan di Masjid Jamae Chulia selepas dihentikan sejak pandemik COVID-19, sekali gus memberi peluang kepada para sohibul korban untuk kembali menyaksikan sendiri proses penyembelihan haiwan korban di masjid tersebut.

Bagi sohibul korban, Mohamed Iqbal Abdul Wahab, beliau gembira ibadah korban tempatan diadakan kembali di Masjid Jamae Chulia.

"Pendaftaran sangat cepat dan saya dapat mendapatkannya tepat pada masanya. Semuanya berjalan lancar dan saya hanya mengambilnya. Mereka menyediakan tempat duduk dan memanggil nombor giliran dengan teratur.

"Semuanya dilakukan dengan sangat cepat. Mereka juga memanggil saya masuk untuk melihat kambing tersebut dan memeriksa keadaan semuanya. Jadi ia merupakan satu pengalaman yang sangat menggembirakan," kata Encik Iqbal.

Beliau berkata kembalinya pelaksanaan penyembelihan secara langsung adalah langkah yang dialu-alukan dan beliau lebih suka cara itu kerana padanya daging kambing diperoleh dalam keadaan lebih segar.

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita