Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekitar 2 juta rakyat SG bakal terima bantuan Pakej Jaminan pada Februari

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kira-kira dua juta rakyat Singapura akan menerima bantuan menerusi Bonus Pakej Jaminan Warga Emas dan Pakej Jaminan MediSave pada Februari.

Sekitar 850,000 rakyat Singapura berpendapatan rendah berusia 55 tahun ke atas akan menerima Bonus Pakej Jaminan Warga Emas antara S$200 dengan S$300, umum Kementerian Kewangan pada Isnin (15 Jan).

Bonus tersebut akan dibayar kepada warga emas yang menetap di hartanah yang mempunyai nilai tahunan sehingga S$25,000. Pada lewat tahun lalu, MOF menyatakan bahawa nilai ambang tahunan akan dinaikkan kepada nilai tersebut bermula 1 Januari 2024.

Bonus Pakej Jaminan Warga Emas akan diagihkan sepanjang tiga tahun, dari 2023 hingga 2025. Warga emas rakyat Singapura berpendapatan rendah akan menerima bayaran wang antara S$600 dengan S$900 sepanjang skim itu.

Selain itu, setiap rakyat Singapura berusia 20 tahun ke bawah atau 55 tahun ke atas, akan menerima bonus Pakej Jaminan MediSave sebanyak S$150 dalam akaun CPF MediSave mereka.

Semua kanak-kanak dan warga emas rakyat Singapura akan menerima tokokan Pakej Jaminan MediSave S$450 sepanjang tiga tahun dari 2023 hingga 2025.

MOF menyatakan kira-kira dua juta rakyat Singapura akan meraih manfaat daripada pemberian tersebut, tidak kira nilai tahunan rumah atau pendapatan yang ditaksirkan mereka.

MOD PEMBAYARAN

Rakyat Singapura boleh periksa kelayakan bagi bonus tersebut di laman web rasmi Pakej Jaminan dengan log masuk menggunakan Singpass mereka.

Tiada tindakan diperlukan untuk menerima bayaran tersebut. Namun, mereka yang ingin menerima pembayaran Bonus Pakej Jaminan Warga Emas lebih awal diarahkan untuk menghubungkan Kad Pengenalan (NRIC) mereka kepada PayNow, dedah MOF.

Ia menyatakan bahawa rakyat Singapura digalakkan untuk menghubungkan NRIC mereka dengan PayNow sebelum 26 Januari jika mereka memiliki akaun bersama bank yang mengambil bahagian di Singapura. Dengan melakukan demikian, mereka boleh menerima Bonus Pakej Jaminan Warga Emas seawal 5 Februari.

Mereka yang tidak mempunyai akaun bank yang dihubungkan dengan PayNow-NRIC boleh mengemas kini butiran akaun bank mereka di laman web Pakej Jaminan sebelum 26 Januari untuk menerima bayaran sebelum 13 Februari.

Individu yang menggunakan GovCash, yang menggantikan cek sebagai mod pembayaran boleh mengeluarkan bayaran mereka di ATM OCBC di seluruh negara bermula 23 Februari. Akaun bank OCBC tidak diperlukan untuk mengeluarkan pembayaran tersebut, dedah MOF.

Bayaran Pakej Jaminan MediSave akan diagihkan sebelum 5 Februari.

Rakyat yang layak akan dimaklumkan pada Februari selepas pembayaran diagihkan kepada mereka, sama ada melalui 'inbox' aplikasi Singpass mereka, atau pemberitahuan SMS bagi mereka yang sudah mendaftarkan nombor telefon bimbit mereka dengan Singpass, tambah MOF.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan