Sekitar 1kg ganja, dadah jenis Ice dirampas di Pusat Pemeriksaan Woodlands
Seorang wanita Malaysia berusia 46 tahun diberkas kerana cuba menyeludup dadah termasuk sekitar 1kg ganja di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada Isnin (23 Jun).
Dadah yang dirampas dari sebuah motosikal berdaftar Malaysia pada 23 Jun 2025. (Gambar: CNB)
Terdahulu, para pegawai Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) membuat penilaian terhadap motosikal berdaftar Malaysia yang tiba itu sebelum mengarahkannya untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
Semasa pemeriksaan dijalankan, dua bungkusan yang disyaki mengandungi dadah terkawal ditemui disembunyikan di bawah penutup hadapan motosikal tersebut, menurut ICA dan Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam satu kenyataan media bersama pada Rabu.
CNB dimaklumkan akan perkara tersebut dan pemeriksaan lanjut menemui tujuh bungkusan secara keseluruhan di lokasi yang sama.
Bungkusan-bungkusan itu – yang mengandungi 1,057g ganja dan 973g dadah jenis Ice – mempunyai anggaran nilai jalanan melebihi S$142,000.
Dadah yang dirampas itu berpotensi menjadi bekalan untuk sekitar 700 penagih selama seminggu, menurut ICA dan CNB, sambil menambah bahawa siasatan sedang dijalankan.
Sesiapa yang didapati bersalah mengimport atau mengeksport lebih 250g methamphetamine atau 500g ganja ke dalam atau dari Singapura boleh dikenakan hukuman mati.
ICA menyatakan bahawa pihaknya akan terus bekerjasama dengan CNB bagi membanteras cubaan penyeludupan dadah merentasi sempadan Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.