Skip to main content

Singapura

Sekitar 15,000 orang terima jumlah pelepasan cukai NSman salah akibat kesilapan sistem

Sekitar 15,000 pembayar cukai, terdiri daripada anggota Perkhidmatan Negara (NSmen) serta ibu bapa dan pasangan yang layak, terjejas akibat jumlah pelepasan cukai NSman yang tidak tepat.

Anggaran Waktu Membaca:
Sekitar 15,000 orang terima jumlah pelepasan cukai NSman salah akibat kesilapan sistem

Anggota Perkhidmatan Negara (NS) di Singapura. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 03 Sep 2026 01:14PM
SINGAPURA: Sekitar 15,000 pembayar cukai, terdiri daripada anggota Perkhidmatan Negara (NSmen) serta ibu bapa dan pasangan yang layak, terjejas akibat jumlah pelepasan cukai NSman yang tidak tepat.

Jumlah pelepasan cukai yang tidak tepat itu melibatkan Tahun Taksiran 2025 dan 2026, menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) pada Khamis (3 Sep).

Daripada 15,000 pembayar cukai yang terjejas, sekitar 7,000 akan menyaksikan bil cukai mereka meningkat, manakala sekitar 8,000 pula akan menikmati pengurangan jumlah cukai.

Secara keseluruhan, sekitar S$930,000 akan dikutip semula, manakala sekitar S$995,000 akan dikembalikan kepada para pembayar cukai.

"Sebahagian besar pembayar cukai yang terjejas akan menyaksikan pelarasan naik atau turun kurang daripada S$200. Bergantung kepada kelayakan pelepasan dan kadar cukai pendapatan seseorang, pelarasan naik atau turun mungkin kurang daripada S$10 hingga sekitar S$900," menurut MINDEF dan IRAS.

Kesilapan jumlah pelepasan cukai tersebut berpunca daripada kesilapan dalam sistem MINDEF yang menghasilkan rekod kegiatan NS yang tidak tepat. Rekod tersebut kemudian digunakan untuk mengira pelepasan cukai bagi NSmen yang terjejas, tambah pihak berkuasa.

"MINDEF mengenal pasti ketidaktepatan itu pada Mei 2026 ketika menyemak pertanyaan daripada NSmen dan memeriksa ketepatan rekod mereka. MINDEF kemudian menjalankan semakan menyeluruh terhadap semua rekod pelepasan cukai NS bagi Tahun Taksiran 2025 dan 2026, dan bekerjasama dengan IRAS bagi memastikan jumlah pelepasan yang betul dicerminkan dalam taksiran cukai pembayar cukai yang terjejas."

Pelepasan cukai diberikan kepada NSmen dan keluarga mereka sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka kepada negara.

MINDEF menambah bahawa kesilapan tersebut sudah diperbetulkan dan semua NSmen yang terjejas sudah dimaklumkan secara langsung. IRAS pula sedang menyemak semula notis taksiran bagi mereka yang terjejas. Notis tersebut akan dikeluarkan menjelang September 2026 dan akan menyatakan sebarang cukai tambahan yang perlu dibayar atau bayaran balik yang akan diterima, jika berkenaan.

Para pembayar cukai yang terjejas tidak perlu mengambil sebarang tindakan sebelum menerima notis taksiran yang disemak semula. Jika taksiran baharu menyebabkan cukai tambahan perlu dibayar, pelan ansuran bagi pembayar cukai yang menggunakan GIRO akan diselaraskan secara automatik.

Bagi sebilangan kecil pembayar cukai yang tidak menggunakan pelan ansuran GIRO, mereka perlu membuat bayaran sebelum tarikh akhir yang dinyatakan dalam notis taksiran yang disemak semula itu. Sebarang bayaran balik pula akan dibuat secara automatik.

"MINDEF dan IRAS akan terus bekerjasama rapat bagi memastikan semua NSmen menerima pelepasan cukai yang tepat sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka kepada Perkhidmatan Negara," menurut pihak berkuasa.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita