Skip to main content

Singapura

Sekitar 1,000 pemandu bakal uji ciri penuh ERP2 sebagai sebahagian daripada kajian LTA

Menjelang pelaksanaan sistem Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) baharu Singapura, ERP2, sekitar 1,000 pemandu akan dapat mencuba ciri-ciri penuh unit dalam kenderaan (OBU) ERP2 sebagai sebahagian daripada satu kajian, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Selasa (12 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Sekitar 1,000 pemandu bakal uji ciri penuh ERP2 sebagai sebahagian daripada kajian LTA

Penandaan jalan ERP yang diuji di sepanjang Bayshore Drive pada Mac 2026. (Gambar: Facebook/Land Transport Authority)

Diterbitkan : 12 May 2026 10:05PM
SINGAPURA: Menjelang pelaksanaan sistem Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) baharu Singapura, ERP2, sekitar 1,000 pemandu akan dapat mencuba ciri-ciri penuh unit dalam kenderaan (OBU) ERP2 sebagai sebahagian daripada satu kajian, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Selasa (12 Mei).

Kajian pengalaman pengguna dengan dua fasa itu, yang bermula pada Mac, turut melibatkan percubaan papan tanda jalan dan penandaan jalan baharu sebagai penunjuk lokasi bayaran ERP.

Pada 1 Januari 2027, Singapura akan beralih kepada sistem ERP2 yang menggunakan teknologi sistem satelit navigasi global (GNSS).

Di bawah sistem baharu itu, OBU akan mengesan apabila sesebuah kenderaan melalui lokasi bayaran ERP dan mengira jumlah bayaran ERP yang perlu dikenakan, sekali gus menghapuskan keperluan gantri fizikal di jalan raya.

Pada Selasa, LTA menyatakan bahawa pihaknya sedang bekerjasama dengan Persatuan Automobil Singapura, Majlis Keselamatan Jalan Raya Singapura dan pihak berkepentingan lain dalam komuniti permotoran untuk mengundang sekitar 1,000 pemandu untuk menyertai fasa kedua kajian tersebut, yang akan berlangsung dari 1 Jun hingga 31 Julai.

Para pemandu akan “dapat mencuba pelbagai fungsi penuh OBU yang bakal diperkenalkan”, termasuk lebih banyak pemberitahuan berkaitan ERP dan pembayaran automatik tol pusat pemeriksaan, menurut LTA. Mereka juga akan dapat menggunakan paparan skrin sentuh OBU untuk pembayaran tempat letak kereta di tepi jalan.

Memandangkan gantri ERP fizikal tidak lagi akan berfungsi sebagai penanda lokasi bayaran ERP di bawah sistem baharu itu, fasa kedua kajian tersebut juga akan menyaksikan LTA menguji keberkesanan papan tanda jalan dan penandaan jalan baharu sebagai petunjuk visual bagi lokasi-lokasi bayaran ERP di sepanjang atau berhampiran ekspreswe.

“Papan tanda dan penandaan baharu itu akan melengkapi amaran OBU, yang akan memaklumkan para pemandu lebih awal mengenai lokasi bayaran ERP, memberikan maklumat tentang kadar ERP semasa dan menunjukkan jumlah bayaran yang dikenakan dalam kawasan tersebut,” menurut LTA.

UJIAN PAPAN TANDA DAN PENANDAAN JALAN ERP DIPERLUAS

Semasa fasa pertama kajian itu, LTA menguji penandaan jalan dan papan tanda ERP di sepanjang Bayshore Drive. Penandaan itu termasuk simbol “E” bujur berwarna biru serta laluan jalan sepanjang 25 meter yang dicatkan dengan warna biru.

Ujian mengelakkan kegelinciran turut dijalankan ke atas penandaan jalan tersebut bagi memastikan permukaan penandaan memenuhi piawaian keselamatan jalan raya.

Papan tanda dan penandaan itu juga turut diuji dari segi keterlihatannya.

“LTA telah memperhalusi reka bentuk papan tanda dan penandaan jalan ERP bagi fasa kedua kajian dengan mengambil kira maklum balas yang diterima daripada fasa pertama,” menurutnya.

LTA menambah bahawa pihaknya akan menguji lima kombinasi berbeza bagi papan tanda dan penandaan jalan ERP di empat ekspreswe dan satu jalan utama dari 1 Jun hingga 31 Julai.

Bahagian PIE arah barat selepas Kallang Bahru di Woodsville Flyover akan mempunyai simbol ERP bujur berwarna biru yang dicatkan pada setiap daripada lima lorongnya bagi menandakan permulaan lokasi bayaran ERP.

Bahagian PIE arah barat sebelum Eunos Link juga akan menampilkan simbol ERP biru berbentuk bujur pada keempat-empat lorongnya.

Bahagian CTE arah selatan dari Serangoon Road akan mempunyai laluan sepanjang 25 meter yang dicat biru pada kedua-dua lorongnya.

Satu bahagian dari Marina Boulevard menuju ke MCE arah timur juga akan mempunyai laluan biru sepanjang 25 meter pada dua lorongnya, dengan tambahan perkataan “ERP” berwarna putih dicatkan di tengah setiap lorong.

Bahagian AYE menuju ke bandar selepas Jurong Town Hall Road pula akan mempunyai garisan biru sepanjang 25 meter yang dicat di bahagian sisinya, serta perkataan “ERP” berwarna putih di tengah setiap daripada empat lorongnya. Pembahagi lorong di antara garisan biru itu juga akan diwarnakan biru, bukan putih.

Menurut LTA, lokasi yang dipilih merupakan lokasi bayaran ERP sedia ada yang mewakili pelbagai keadaan trafik dan jalan raya.

“Ini akan membolehkan ujian menyeluruh dijalankan dalam pelbagai senario,” menurut LTA.

“Dapatan daripada kajian ini akan membimbing pembangunan petunjuk visual yang jelas dan intuitif bagi menyokong peralihan yang lancar kepada sistem ERP2 tanpa gantri apabila ia dilaksanakan mulai 1 Januari 2027.”

Para pemandu yang tidak menyertai aspek OBU dalam kajian itu masih boleh memberikan maklum balas mengenai papan tanda dan penandaan jalan percubaan tersebut kepada LTA menjelang 31 Julai, menurut pihak berkuasa itu.

Memandangkan semua bayaran ERP akan dilakukan menerusi GNSS mulai 1 Januari 2027, papan tanda dan penandaan baharu yang dimuktamadkan hasil kajian itu akan berfungsi sebagai petunjuk kepada para pemandu berhubung lokasi pembayaran.

Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow berkata awal tahun ini bahawa lebih banyak kereta mungkin dibenarkan di Singapura pada masa hadapan, susuli penambahbaikan pengurusan trafik menggunakan data yang diperoleh daripada sistem ERP2.

“Apabila kami menjadi lebih cekap dalam melaksanakannya, mungkin kita dapat mewujudkan lebih banyak kapasiti di jalan raya tanpa menggunakan lebih banyak tanah,” kata beliau di parlimen pada Februari. “Ini berpotensi membolehkan sedikit pertumbuhan pada jumlah kereta pada masa hadapan.”

Encik Siow turut menyatakan bahawa bayaran berdasarkan jarak perjalanan turut menjadi satu kemungkinan di bawah ERP2, namun beliau berkata pihak berkuasa perlu mengkajinya dengan lebih lanjut kerana terdapat banyak pertimbangan yang perlu diambil kira.

LTA menyatakan pada Selasa, “tiada perubahan pada rangka kerja harga kesesakan semasa buat masa ini”.

Tambahnya lagi, setakat ini, lebih 96 peratus kenderaan berdaftar di Singapura sudah memasang OBU ERP2.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita