Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekitar 100 sekolah rendah, menengah akan dapat guru tambahan dalam beberapa tahun mendatang

Sekitar 100 sekolah rendah dan sekolah menengah akan mendapat guru tambahan bagi menyokong para pelajar yang akan "meraih manfaat daripada lebih banyak perhatian yang diberikan".

Anggaran Waktu Membaca:
Sekitar 100 sekolah rendah, menengah akan dapat guru tambahan dalam beberapa tahun mendatang

Para pelajar sebuah sekolah rendah di Singapura. (Gambar: Chan Chun Sing/Facebook)

Diterbitkan : 10 Nov 2021 01:55PM Dikemas Kini : 10 Nov 2021 02:00PM

SINGAPURA: Sekitar 100 sekolah rendah dan sekolah menengah akan mendapat guru tambahan bagi menyokong para pelajar yang akan "meraih manfaat daripada lebih banyak perhatian yang diberikan".

Demikian diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (10 Nov).

Penambahan sumber itu akan diperluaskan kepada lagi 24 sekolah rendah dan sekolah menengah mulai 2022, dengan rancangan untuk melanjutkannya kepada sekitar 100 sekolah dalam beberapa tahun mendatang, menurut Menteri Pendidikan (MOE) dalam satu kenyataan media.

Program Sumber Sekolah Dipertingkatkan UPLIFT bakal menyaksikan lagi empat hingga lima guru dikerahkan ke setiap 24 sekolah dalam fasa pertama.

Apabila dilaksanakan, program itu dijangka menyokong sekitar 13,000 pelajar dari kira-kira 100 sekolah, tambah MOE dalam kenyataan itu.

UPLIFT bertujuan untuk memperkukuhkan sokongan bagi para pelajar kurang cemerlang daripada keluarga kurang bernasib baik, khususnya dengan menangani kes ponteng jangka panjang dan kadar keciciran di sekolah.

Bercakap di acara penghargaan secara maya anjuran MOE, PM Lee berkata persekitaran sekolah memainkan "peranan lebih penting lagi" bagi kanak-kanak daripada keluarga bermasalah.

"Kanak-kanak ini meraih manfaat daripada perhatian tambahan daripada para guru, yang bertindak sebagai orang tuanya. Mereka seseorang yang membuat kanak-kanak selesa berhubung, mampu memberi nasihat baik dan boleh mengekalkan lagi minat mereka untuk hadir ke sekolah. Seseorang yang menggalak mereka mencari kekuatan dan mengejar cita-cita mereka," tambah beliau.

"Oleh itu, ia amat membimbangkan khususnya apabila sesetengah kanak-kanak ini kerap tidak hadir ke sekolah. Kita mesti melakukan seberapa boleh untuk membantu mereka masuk sekolah, kekal menghadiri sekolah dan mencapai kecemerlangan dalam pelajaran mereka."

MOE sudahpun merintis program itu di 23 sekolah sejak 2013, mengerahkan sumber tambahan untuk menyokong "pendekatan seluruh sekolah" dan intervensi bersasar bagi para pelajar dengan "keperluan lebih besar" menurut kementerian itu dalam satu kenyataan berasingan.

"(MOE) memberi sekolah-sekolah itu guru tambahan dan sumber untuk mengenal pasti dan menyokong dengan lebih baik lagi kanak-kanak ini, untuk mendampingi dan membimbing mereka bagi membangunkan program-program bersasar untuk terus menyantuni mereka selepas sekolah dan sewaktu hari cuti dan untuk membantu mereka dalam pembelajaran akademik dan cabaran sosio-emosi lain agar para pelajar ini rasa disokong dan bermotivasi untuk melakukan yang terbaik," kata PM Lee.

Hasil daripada usaha yang dirintis itu "menggalakkan", tambah beliau.

Lebih banyak murid sekolah rendah, yang didaftar masuk ke pusat jagaan pelajar di sekolah mereka, para pelajar sekolah menengah, lebih mesra dengan rakan sekelas mereka dan kehadiran sekolah bertambah baik, kata PM Lee.

Para guru tambahan akan memberi setiap sekolah kemampuan untuk mewujudkan struktur, proses dan program bersasar untuk menyokong para pelajar kurang bernasib baik dan berisiko, menurut MOE dalam kenyataan media itu.

"Contohnya, sesetengah guru boleh dikerahkan untuk menyediakan penyepaduan semula dan sokongan akademik bagi para pelajar dengan isu ponteng sekolah sementara guru lain boleh dikerahkan untuk menganjurkan program-program selepas sekolah," menurut kenyataan itu lagi.

PERLUASAN USAHA RINTIS

PM Lee juga mengumumkan peluasan usaha perintis Masyarakat UPLIFT yang buat masa ini aktif di empat bandar - Boon Lay, Bukit Merah, Kreta Ayer dan Woodlands.

Usaha perintis itu, yang bermula pada Januari 2020, menyokong para pelajar kurang bernasib baik untuk membantu mereka datang ke sekolah dengan lebih kerap lagi dan sudahpun mendampingi lebih 300 pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah sejak itu.

Di bawah program tersebut, sokongan bagi para pelajar dan keluarga mereka diselaraskan di peringkat bandar. Mereka kemudian dirujuk kepada agensi dan sumber masyarakat yang sewajarnya berdasarkan keperluan mereka.

Sambil menarik perhatian kepada dapatan bahawa rekod kedatangan lapan daripada 10 pelajar program perintis itu tahun lalu bertambah baik, PM Lee berkata MOE berniat untuk meluaskan program tersebut secara bertahap-tahap menjadi rangkaian seluruh negara.

Peluasan Rangkaian Masyarakat UPLIFT akan bermula dengan lagi lapan bandar tahun depan dan lebih banyak lagi dalam tahun-tahun mendatang, umum beliau.

Semua lapan bandar itu adalah: Bedok, Chua Chu Kang, Geylang Serai, Jalan Besar, Punggol, Sengkang, Toa Payoh dan Yishun, menurut MOE dalam kenyataan media itu.

"Dalam setiap generasi, akan sentiasa terdapat mereka yang akan mencatat prestasi lebih baik dan mereka yang kurang baik. Krisis seperti COVID-19 menonjolkan perbezaan sosial itu dengan lebih ketara lagi," kata PM Lee dalam ucapannya.

Misalnya, berpindah kepada pembelajaran di rumah sewaktu pandemik tidak berjalan lancar untuk semua kanak-kanak, ujar beliau.

"Sebilangan kanak-kanak mempunyai akses terhad kepada komputer riba mahupun hubungan internet pantas di rumah. Ada pula yang perlu berasak-asak untuk ruang bersama adik-beradik, ibu bapa atau datuk nenek. Ini merumitkan bahkan tidak membolehkan mereka menumpukan perhatian kepada kelas online atau mendapat bantuan daripada ibu bapa mereka untuk kerja sekolah mereka," kata PM Lee.

"Pasca COVID-19, kita boleh menjangkakan sesetengah perbezaan ini berterusan kerana perbezaan itu bukan disebabkan COVID-19, meskipun pandemik membuatnya lebih ketara."

Bergantung kepada sama ada para pelajar mempunyai sokongan keluarga di rumah dan panduan ibu bapa dan bimbingan mereka, ini boleh membawa "perbezaan berpanjangan" dalam kehidupan mereka," kata PM Lee.

"Itu sebabnya kita mesti terus berusaha memperkasa kanak-kanak yang membesar dalam keadaan kurang bernasib baik. Untuk membantu mereka merapatkan jurang sebanyak mungkin, bagi memastikan mereka mempunyai lebih banyak peluang dan pilihan berbanding ibu bapa mereka dan lebih banyak lagi laluan mencapai kecemerlangan."

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan