Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekitar 10 warga S'pura di Arab Saudi dapat naik haji tahun ini

Daripada 60,000 jemaah haji tahun ini, sekitar 10 daripadanya merupakan warga Singapura. Demikian menurut sumber-sumber dari Arab Saudi yang dikongsi bersama BERITAmediacorp.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Daripada 60,000 jemaah haji tahun ini, sekitar 10 daripadanya merupakan warga Singapura. Demikian menurut sumber-sumber dari Arab Saudi yang dikongsi bersama BERITAmediacorp.

Mereka antara warga Singapura yang sedang bekerja atau menetap di sana. Antara yang terpilih untuk mengerjakan haji tahun ini termasuklah Encik Mohd Rayme Ismail, Encik Muhd Saifulnazri Sardani dan Encik Hussien Ali.

(Gambar: Mohd Rayme Ismail)

Bagi Encik Rayme, 47 tahun yang sudah empat tahun bekerja sebagai Penyelia Operasi dengan syarikat Saudi Aramco, ini kali pertama beliau mengerjakan haji.

"Rasanya, ya sungguh tak sangka pada awalnya dan kita cuma mencuba saja, kan. Usaha saja. Yang menentukan di atas. Jadi saya cuma mendaftar saja.

"Memang sedaya upaya itu kita mahu menunaikan ibadah haji. Jadi sekadar usaha kita Alhamdulillah dipilih. Itulah perasaan saya, susah nak cakap. Lagi-lagi sekarang di Arafah ini," kata Encik Rayme semasa dihubungi BERITAmediacorp.

Beliau yang bermastautin di Jeddah bersama isteri dan anaknya bagaimanapun mengerjakan haji seorang diri.

(Gambar: Mohd Rayme Ismail)

Menurut Encik Rayme, pakej haji yang dibayarnya itu berharga sekitar 15,000 riyal atau bersamaan dengan S$5,450.

LANGKAH KESELAMATAN BAGI JEMAAH HAJI

Semasa di Arafah, Encik Rayme dan para jemaah lain ditempatkan di khemah-khemah berwarna putih yang tertutup dan berhawa dingin semasa waktu wukuf pada Isnin (19 Julai) untuk mereka beribadah dan berehat.

(Gambar: Mohd Rayme Ismail)

Ketika diminta menceritakan tentang suasana haji di sana, Encik Rayme berkata: "Ramai yang sibuk berdoa, berzikir. Kan kita lagi di daerah Arafah. Di sinilah waktu-waktunya kita banyak berdoa. Di sinilah waktu-waktunya kita minta apa yang keinginan kita kan. Jadi sibuk semua orang berzikir, berdoa, masing-masing di tempat masing-masing."

(Gambar: Mohd Rayme Ismail)

Bagi menjaga keselamatan semua jemaah, setiap khemah hanya dibenarkan menampung sekitar 30 jemaah berbanding 100 jemaah sebelum pandemik COVID-19.

"Seperti biasa kita tahulah sekarang COVID-19 harus ada kalau usahanya macam pakai pelitup, disuruh cuci tangan dan penjarakan sosial. Jadi sama seperti yang dilakukan di seluruh dunia dan di Singapura, sama juga di Saudi. Umpamanya kalau kita naik bas, kerusinya walaupun ada dua tapi satu orang saja yang boleh duduk. Jadi penjarakan sosial ada dan makanan disediakan. Jadi kita ada jarak jauhan kan," tambah Encik Rayme.

(Gambar: Mohd Rayme Ismail)

Selepas ibadah wukuf para jemaah menuju pula ke Muzdalifah selepas waktu Maghrib atau sekitar tengah malam waktu Singapura untuk meneruskan perjalanan haji mereka.

RANCANG PULANG TAHUN HADAPAN

Semestinya pandemik COVID-19 tidak memudahkan pergerakan dalam mahupun ke luar negara.

Bagi Encik Rayme beliau sebenarnya sudah dua tahun tidak pulang ke Singapura dan berasa sebak memikirkan keluarganya di Singapura.

Beliau bercadang untuk kembali ke Singapura tahun hadapan.

(Gambar: Mohd Rayme Ismail)

"Saya doakan ibu saya sihat selalu, selalu ceria. Mudah-mudahan kalau ada masa yang akan datang boleh jumpa," kata Encik Rayme. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan