Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekatan POFMA dikenakan terhadap laman web, media sosial Kenneth Jeyaretnam atas "pelbagai kepalsuan"

Anggaran Waktu Membaca:
Sekatan POFMA dikenakan terhadap laman web, media sosial Kenneth Jeyaretnam atas "pelbagai kepalsuan"

Gambar: Facebook/The Reform Party, AFP

SINGAPURA: Bermula Selasa (12 Dis), ketua Parti Reform Kenneth Jeyaretnam tidak akan dibenarkan menerima sebarang manfaat, termasuk dari segi kewangan, daripada mengendalian laman web dan halaman media sosialnya.

Sekatan tersebut dikeluarkan selepas lamannya, The Ricebowl Singapore serta halaman Facebook, Instagram, X dan LinkedIn beliau ditetapkan sebagai Lokasi Online Yang Diisytiharkan (DOL) di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA).

"Pengisytiharaan itu dibuat menyusuli beberapa maklumat palsu yang disebarkan di lokasi-lokasi online itu," kata Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) pada Isnin (11 Dis).

Pengisytiharaan tersebut berkuat kuasa mulai 12 Dis selama dua tahun sehingga 11 Dis 2025.

Sesebuah lokasi online, seperti laman web diisytiharkan sebagai DOL sekiranya ia telah menerbitkan tiga atau lebih kenyataan palsu berbeza yang menjadi subjek arahan POFMA.

Di samping itu, sekurang-kurangnya tiga daripada kenyataan palsu berkenaan sudah diterbitkan di lokasi online terbabit dalam tempoh enam bulan sebelum pengisytiharan DOL.

Encik Jeyaretnam telah dikenakan arahan pembetulan POFMA sebanyak lima kali tahun ini.

Arahan pembetulan terbaharu yang dikenakan terhadapnya adalah atas dakwaan yang dibuat Encik Jeyaretnam mengenai perbelanjaan pemerintah dan jagaan kesihatan serta penyewaan banglo hitam putih di Ridout Road oleh dua menteri.

Laman web dan halaman media sosial Encik Jeyaretnam semuanya perlu memuat naik notis yang menyatakan ia diisytiharkan sebagai DOL.

"Dengan notis berkenaan, pengunjung ke laman DOL itu akan diberi amaran bahawa Encik Jeyaretnam mempunyai sejarah menyampaikan maklumat palsu di lokasi online tersebut," jelas MCI.

Encik Jeyaretnam tidak dikehendaki menghentikan operasi laman web dan halaman media sosialnya.

Bagaimanapun, POFMA "melarang seseorang daripada memperoleh faedah kewangan daripada operasi DOL, bermakna ia menghalang pengendali DOL daripada mengaut keuntungan daripada penyebaran maklumat palsu."

Penyedia khidmat dan badan-badan pengiklanan digital juga harus mengambil langkah-langkah untuk memastikan kandungan berbayar yang disertakan pada lokasi-lokasi online itu tidak disebarkan di Singapura.

Individu dan syarikat juga tidak harus menyediakan sebarang bentuk sokongan kewangan kepada DOL kerana ini bermakna, mereka "menyokong, membantu atau menggalak penyebaran berita palsu di Singapura," menurut MCI lagi.

"Orang ramai dinasihati supaya berhati-hati terhadap sejarah Encik Jeyaretnam menyampaikan maklumat tidak benar dan memeriksa fakta bagi kandungan yang diterbitkan di DOL."

Pemilik atau pengendali lokasi online terjejas boleh membuat permohonan kepada MCI untuk mengubah atau membatalkan perisytiharan itu. Sekiranya Menteri menolak permohonan tersebut, rayuan boleh dibuat di Mahkamah Tinggi.

Sejauh ini, terdapat empat lagi laman online yang diisytiharkan sebagai DOL. Ini termasuk laman The Online Citizen Asia's (TOCA), serta halaman Facebook, X dan LinkedInnya.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan