Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekatan persembahan jalanan dilonggarkan di 4 tempat sekitar Orchard Road sepanjang musim perayaan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekatan terhadap persembahan jalanan dilonggarkan di empat tempat sepanjang Orchard Road semasa musim perayaan ini, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan media pada Selasa (29 Nov). 

Sebelum ini, penghibur jalanan ataupun 'busker' dimaklumkan bahawa mereka tidak dibenarkan membuat persembahan dari pukul 7.00 malam hingga 10.00 malam pada setiap Jumaat dan Sabtu sepanjang Disember, di lapan lokasi di Orchard Road, atas sebab kawalan orang orang bagi mengelakkan kesesakan pengunjung.

Namun, susuli rundingan antara penghibur jalanan dengan Majlis Seni Kebangsaan (NAC), polis menyatakan persembahan jalanan kini akan dibenarkan di empat tempat berikut: The Heeren, 313@Somerset, Knightsbridge dan Mandarin Gallery, kecuali pada malam Krismas, di mana penghibur jalanan hanya dibenarkan membuat persembahan sehingga pukul 7.00 malam. 

Namun, persembahan jalanan akan terus dilarang di empat lagi tempat: ION Orchard, Wisma Atria, Ngee Ann City A dan Ngee Ann City B selepas pukul 7.00 malam pada setiap Jumaat dan Sabtu dari 9 hingga 31 Disember. 

SPF menekankan bahawa keselamatan awam adalah keprihatinan utama, sambil menambah bahawa ia "amat prihatin tentang situasi di tempat itu pada malam Krismas" meskipun tanpa kehadiran penghibur jalanan. 

"Ruang-ruang awam di empat tempat tersebut dijangka dibanjiri lebih ramai orang, dan laluan orang ramai berkemungkinan lebih sesak," menurut SPF. 

Bersama NAC, satu sesi diadakan dengan sekumpulan penghibur jalanan pada Selasa (29 Nov) mengenai peri pentingnya melaksanakan langkah-langkah kawalan dan pencegahan kesesakan, yang termasuk memudahkan laluan orang ramai. 

"Kehadiran penghibur jalanan akan menyebabkan pejalan kaki berhenti dan berhimpun di laluan jalan kaki yang sudah sesak, mengurangkan lagi ruang yang boleh dilalui dan menyekat laluan orang ramai," menurut polis. 

"Memandangkan tempat keluar dan masuk kawasan tersebut terhad, serta ciri unik jalan, laluan orang ramai yang tersekat akan meningkatkan risiko rempuhan, terutama sekali sekiranya orang ramai menjadi ghairah atau cemas, dan bergegas ke tempat keluar, sama ada disebabkan kecemasan benar atau tidak." 

Tambah SPF, penghibur jalanan bersetuju untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan awam. 

KAWALAN DI MARINA BAY

Polis juga menyatakan, persembahan jalanan di lima tempat sepanjang Marina Bay Waterfront Promenade dan Mist Walk akan dihadkan mulai pukul 7.00 malam pada malam Tahun Baru. 

"Dengan acara menghitung detik tahun baru di Marina Bay Singapura (MBSC) kembali diadakan tahun ini, yang termasuk pertunjukan bunga api, lebih ramai orang dijangka berada di Marina Bay pada malam Tahun Baru," menurut SPF, sambil menambah bahawa langkah kawalan yang serupa juga dikuatkuasakan pada MBSC sebelum ini dan perbarisan Hari Kebangsaan lalu.

SPF menyatakan: "Di tengah-tengah sambutan perayaan, keselamatan awam tidak boleh dipandang remeh. Langkah kawalan kesesakan sewajarnya perlu dikuatkuasakan, dan kami memohon pemahaman dan kerjasama semua pihak yang menyertai, atau terlibat dalam penganjuran, sambutan hujung tahun."

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan