Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekatan lawatan ke hospital, rumah jagaan dilanjutkan 2 minggu susulan COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 Nov 2022 07:36PM Dikemas Kini : 09 Nov 2022 08:57PM

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) akan melanjutkan langkah-langkah pengurusan selamat pelawat di semua wad hospital dan rumah jagaan selama dua minggu sehingga 23 November. 

Ia dilakukan bagi mengurangkan tekanan ke atas hospital dan  rumah jagaan di samping melindungi pesakit dan penghuni yang mudah terdedah, menurut MOH dalam satu kenyataan media pada Rabu (9 Nov). 

"Walaupun jumlah harian kes jangkitan tempatan COVID-19 sudah merosot sejak beberapa minggu lalu, hospital di masih mengalami tekanan dengan sebahagian besar pesakit COVID-19  masih dirawat di hospital," tambah MOH. 

"Jumlah penghuni yang positif COVID-19 dijaga di  rumah jagaan juga lebih tinggi berbanding beberapa bulan lalu." 

MOH sebelum ini mengumumkan sebelum ini akan mengetatkan langkah-langkah pengurusan selamat pelawat selama empat minggu mulai 14 Oktober hingga 10 November. 

Sejak 14 Oktober, semua pesakit di hospital dibenarkan dua pelawat yang sudah ditetapkan lebih awal sepanjang tempoh dimasukkan ke hospital. 

Hanya seorang pelawat sahaja dibenarkan berada bersama pesakit pada satu-satu masa. 

Pesakit dalam keadaan kritikal dibenarkan mempunyai sehingga lima pelawat yang ditetapkan lebih awal, dengan dua pelawat dibenarkan berada bersama pesakit pada satu-satu masa. 

Tempoh lawatan dihadkan kepada 30 minit. 

Bagi keadaan luar jangkaan, seperti pesakit dalam keadaan kritikal, pesakit pediatrik, ibu bersalin atau selepas melahirkan, dan pesakit yang memerlukan sokongan jagaan tambahan, pelawat mungkin dibenarkan berada bersama pesakit melebihi 30 minit mengikut kes dan budi bicara hospital. 

Sementara itu, penghuni rumah jagaan dibenarkan sehingga empat pelawat yang sudah tetapkan lebih awal dan seorang saja dibenarkan bersama penghuni pada satu-satu masa. 

Tempoh lawatan juga dihadkan kepada 30 minit. 

MOH menyatakan, pelawat ke rumah jagaan harus terus mengaturkan lawatan mereka dengan rumah berkenaan lebih terdahulu, sambil memastikan mereka mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat di dalam rumah jagaan. Ini termasuk kekal dalam kawasan pelawat yang ditetapkan di luar wad. 

"Kami juga memohon pemahaman pelawat bahawa lawatan boleh digantung sekiranya rumah tersebut mempunyai pesakit COVID-19 yang aktif. Keluarga penghuni boleh menghubungi rumah tertentu untuk maklumat lanjut," tambah MOH. 

"Semua pelawat ke hospital dan rumah jagaan harus memastikan mereka sihat dan amat digalakkan menguji diri mereka dengan ujian pantas antigen (ART) pada hari lawatan." 

MOH turut menggesa pelawat untuk memakai pelitup dengan penapisan yang baik pada tiap-tiap masa, termasuk pelitup pembedahan yang digunakan di hospital dan pelitup boleh digunakan semula yang diperbuat daripada dua lapis fabrik. 

Hospital dan rumah jagaan boleh menguatkuasakan had pelawat lebih ketat atau syarat-syarat ujian ke atas pelawat pesakit yang tidak divaksin atau mudah jatuh sakit, tambah MOH. 

MOH menyatakan, ia akan terus menyemak semula dan melaksanakan langkah-langkah selaras dengan keadaan COVID-19 yang berubah-ubah. 

"Kami meminta pemahaman dan kerjasama pesakit, penghuni, anggota keluarga serta orang-orang tersayang." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan