Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekatan latihan sewaktu NS akan beri kesan serius terhadap kerjaya Joseph Schooling

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tidak membenarkan Joseph Schooling mengambil masa untuk berlatih sewaktu menjalani Perkhidmatan Negara (NS) akan memberi kesan serius terhadap kerjaya johan Olimpik itu, kata bekas perenang negara lain yang ditemui Mediacorp. 

Keputusan itu dibuat oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyusuli pengakuan Schooling bahawa beliau mengambil ganja semasa di luar negara pada Mei, apabila menggantung sementara NS untuk berlatih dan menyertai Sukan Asia Tenggara (SEA). 

Memandangkan terdapat "penyalahgunaan hak istimewa", Schooling tidak lagi layak untuk menangguhkan atau mengambil cuti untuk berlatih serta bertanding sepanjang beliau menjalani NS, menurut MINDEF pada Selasa (30 Ogos). 

Perenang yang berusia 27 tahun itu mula menjalani NS pada Januari 2022. 

Schooling dan rakan perenang negara Amanda Lim disiasat oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) atas kesalahan-kesalahan berhubung kait pengambilan ganja. 

Hasil ujian air kencing kedua-dua perenang itu adalah negatif. 

Lim, 29 tahun, diberikan amaran tegas kerana memiliki "perkakas dadah", kata Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Khamis (1 Sep). 

TIDAK BOLEH LATIH PADA HUJUNG MINGGU SAJA

Para atlit yang sudah bersara menekankan kepada Mediacorp bahawa Schooling perlu berlatih secara konsisten untuk mengekalkan prestasi tingginya. 

Dalam wawancara bersama Mediacorp pada April, Schooling berkata jadual latihannya membolehkannya berada di kolam renang dua kali sehari - sebelum beliau memasuki kem, dan selepas beliau dibenarkan untuk meninggalkan kem. Beliau juga akan berlatih pada setiap Sabtu. 

"Memandangkan hak-hak istimewanya untuk meninggalkan kem untuk berlatih sudah dirampas, saya rasa ia amat sukar, khususnya bagi Schooling, untuk mengekalkan prestasi yang sudah terbiasa baginya," kata pemenang Sukan SEA sebanyak 19 kali David Lim, sambil menambah bahawa ia mungkin membuat hidup Schooling "10 kali" lebih sukar. 

"Di tahap ini, jurangnya amat kecil. Sesi-sesi tambahan yang anda lakukan akan memberikan anda jurang kecil itu." 

Bekas perenang negara Tao Li juga menekankan bahawa setiap sesi latihan penting. Sekiranya Schooling hanya boleh berlatih pada hujung minggu, ia tidak mencukupi, katanya. 

"Anda perlu melakukan kira-kira 10 sesi setiap minggu untuk kekal pada tahap ini. Jika anda tidak berlatih untuk satu atau dua minggu, ia akan memberi perbezaan yang ketara," jelasnya. 

"Latihan adalah asasnya. Asas yang paling asas sekali. Jika anda tidak berlatih, tidak kira sejauh mana anda berbakat pun, tiada gunanya." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan