Skip to main content

Singapura

Sekatan jualan semula bagi flat Plus, Perdana mungkin lengahkan kenaikan jumlah jualan flat HDB berjuta dolar: Penganalisis

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dengan tempoh penginapan minimum (MOP) yang lebih lama bagi flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang baharu di lokasi-lokasi yang diingini, bilangan urus niaga flat jualan semula berjuta dolar boleh susut dalam masa akan datang, kata seorang penganalisis.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan pada Ahad (20 Ogos) bahawa terdapat perubahan besar mengenai bagaimana flat HDB diklasifikasikan, dengan projek Bina Ikut Tempahan (BTO) akhirnya akan menggugurkan klasifikasi matang/belum matang.


Bermula separuh kedua 2024, projek-projek Bina Ikut Tempahan (BTO) akan diklasifikasikan sebagai Standard, Plus atau Perdana, dengan lebih banyak pilihan lokasi disediakan, dan syarat-syarat penjualan semula yang lebih ketat ditetapkan.

Mereka juga perlu menunggu 10 tahun, dan bukan lagi 5 tahun sebelum mereka dapat menjual unit mereka.

Flat-flat Perdana, yang terletak berdekatan dengan pusat bandar, mempunyai permintaan yang tinggi dan pemilik pertama dikehendaki untuk membayar balik sebahagian daripada subsidi tersebut jika mereka menjual flat berkenaan. Flat sedemikian juga hanya boleh dijual kepada pembeli yang memenuhi syarat kelayakan BTO HDB, termasuk siling pendapatan, yang kini ditetapkan pada S$14,000 bagi pasangan dan S$7,000 bagi bujang.

Flat-flat Plus - kategori baharu - yang juga terletak di kawasan tengah, akan ditentukan oleh lokasi pilihan mereka di kawasan tersebut, seperti jarak ke prasarana pengangkutan atau pusat bandar yang berhampiran.

Akhir sekali, flat standard akan mempunyai syarat-syarat penjualan semula yang serupa dengan kebanyakan flat yang sedia ada seperti Tempoh Penginapan Minimum (MOP) selama lima tahun dan tiada siling pendapatan yang ditetapkan ke atas pembeli flat jualan semula.

"KESAN LOTERI"

Naib Presiden Kanan Penyelidikan dan Analisis OrangeTee and Tie, Cik Christine Sun berkata data tersebut menunjukkan jumlah warga Singapura yang muda menjual flat mereka sejurus setelah tamat MOP, semakin bertambah.

Jumlah flat yang dijual dalam dua tahun MOP atau flat yang berusia tujuh tahun ke bawah naik 733 peratus dari 743 unit pada 2014 kepada 6,189 unit pada 2022. Beliau sedia maklum bahawa lebih banyak flat baharu yang telah melalui MOP dijual untuk sekurang-kurangnya sejuta dolar.

"Kenaikan dalam urus niaga sedemikian boleh mengganggu jangkaan harga penjual lain dan merancakkan pasaran flat berjuta dolar," jelas Cik Sun.

"Melengahkan tempoh pegangan sesebuah hartanah boleh melambatkan 'kesan loteri' dan mengurangkan bilangan orang yang membeli flat di lokasi utama untuk keuntungan jangka pendek," katanya.

TEMPOH PEGANGAN YANG "MEMBEBANKAN"

Sedang kebanyakan penganalisis mengatakan bahawa perubahan tersebut diperlukan memandangkan lanskap perubahan Singapura kian berkembang, sebilangan menarik perhatian ada kesan negatif jika tempoh MOP lebih lama.

Pegawai penyelidik Mogul.sg Nicholas Mak menyifatkan tempoh MOP selama 10 tahun sebagai "membebankan" untuk kebanyakan pembeli rumah. Beliau menyatakan dengan tempoh 3.5 hingga 4.5 tahun untuk membina flat BTO, pembeli flat perlu menunggu skitar 14 hingga 15 tahun dari masa mereka menyerahkan permohonan BTO untuk menjual flat.

Dalam tempoh tersebut, keperluan dan keadaan isi rumah tersebut boleh berubah secara ketara.

"Dengan menyekat pergerakan geografi keluarga ini, ia akan mengehadkan pilihan sekolah rendah bagi anak-anak kerana keluarga tidak dapat bergerak ke lokasi lain yang berdekatan dengan sekolah rendah pilihan mereka," ujar Encik Mak.


MENAIKI TANGGA PERUMAHAN

Para penganalisis mempunyai pandangan yang berbeza terhadap bagaimana kategori Plus baharu boleh menjejas permintaan dan harga pasaran hartanah.


Encik Lee Sze Teck, pengarah kanan analisis data Huttons, berkata bekalan flat jualan semula boleh berkurangan di kawasan di mana flat Plus ditawarkan. Ini kerana flat sedemikian mempunyai tempoh MOP yang lebih lama, mendorong kenaikan dalam harga flat jualan semula di kawasan itu. Ia juga boleh memacu permintaan bagi flat jualan semula Standard, yang tidak mempunyai batasan yang sama dengan flat Plus.

PERUBAHAN DALAM KLASIFIKASI "SUDAH TERLEWAT UNTUK SEKIAN LAMA"

CEO PropNex Ismail Gafoor pula mengatakan perubahan dalam klasifikasi flat HDB yang baharu itu sudah "terlewat untuk sekian lama".


"Kami percaya bahawa tempoh MOP yang lebih lama dan sekatan tambahan bagi flat Plus dan Prime akan menyokong pemilikan rumah dan menjadikan perumahan awam adil serta saksama oleh kerana pembeli dapat menikmati lebih banyak subsidi dan mungkin akan melihat potensi peningkatan yang sihat bagi flat mereka di pasaran jualan semula nanti," ujarnya.
 

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita