Sekatan Fasa Penstabilan: Pusat tuisyen tawar khidmat ulang kaji menerusi WhatsApp
Pusat-pusat tuisyen menyatakan pihaknya dan ibu bapa para pelajar kini umumnya lebih bersedia walaupun kelas-kelas tuisyen diarah beralih kepada sesi-sesi online bagi murid berusia 12 tahun dan ke bawah.
SINGAPURA: Pusat-pusat tuisyen menyatakan pihaknya dan ibu bapa para pelajar kini umumnya lebih bersedia walaupun kelas-kelas tuisyen diarah beralih kepada sesi-sesi online bagi murid berusia 12 tahun dan ke bawah.
Namun demikian, pusat-pusat tuisyen tetap mengambil langkah tambahan. Master Maths Education Centre misalnya melancarkan khidmat ulang kaji menerusi WhatsApp.
"Anytime Questions Support... tanyalah soalan Matematik bila-bila masa sahaja, kita akan bantu memperbaiki konsep mereka," terang pengasas Master Math Education Centre, Encik Irfan Musthapa mengenai inisiatif ulang kaji menerusi WhatsApp itu yang dijalankan buat para pelajarnya.
Langkah ini diharap dapat memberi semacam kelegaan kepada para ibu bapa memandangkan beliau memutuskan untuk menghentikan operasi tuisyennya secara fizikal dan sebaliknya beralih online.
(Gambar-gambar: Master Maths/Facebook)
Ini dilaksanakan pada 17 September, iaitu seminggu sebelum Pemerintah mengumumkan langkah-langkah pengurusan selamat lebih ketat di bawah Fasa Penstabilan, demi mengawal bilangan kes-kes COVID-19 yang terus menjulang tinggi.
Keputusan itu terpaksa Encik Irfan ambil sedangkan lebih 80 pelajarnya akan menduduki PSLE pada Khamis ini (30 Sep).
"Kebanyakan ibu bapa rasa amat khuatir, mereka risau… macam mana kalau anak saya jatuh sakit sekarang, macam mana kalau anak tak dapat ambil peperiksaan yang dinanti-nantikan bertahun-tahun.
"Dengan ini mereka berasa bahawa belajar di wadah online lebih selamat dan juga boleh menjadi berkesan kerana mereka sudah mempunyai pengalaman sebelum ini dan boleh buat penyesuaian untuk memastikan ia berkesan," jelas Encik Irfan.
Selain menugaskan seorang kakitangan untuk bersedia menjawab sebarang pertanyaan pelajar, beliau juga menjalankan tujuh sesi online percuma khusus bagi murid-murid PSLE dari 17 September hingga lewat Oktober. Inisiatif itu sebahagian daripada usaha yang diatur sejak awal tahun ini demi memberi sokongan tambahan kepada para pelajar.
EDUFRONT JUGA TUTUP SEBELUM DIARAH KERANA...
Edufront Learning Centre yang mempunyai lima cawangan merata Singapura ternyata juga mengorak langkah beralih kepada wadah online sebelum diarah Pemerintah. Semua kelas bagi murid-murid Darjah 6 dijalankan secara maya sejak 16 September.
Ini menurut pengarahnya, Cik Hayati Abdullah, dilakukan kerana para pelajarnya "datang dari pelbagai sekolah" dan timbul kebimbangan tentang risiko jangkitan dalam kalangan mereka.
Lebih membimbangkan lagi, lebih 80 peratus pelajarnya berusia 12 tahun dan ke bawah. Jadi mereka semuanya belum divaksin.
Selepas Pemerintah mengumumkan langkah-langkah di bawah Fasa Stabilisasi, Edufront memutuskan untuk menggantung semua kelas fizikal, termasuk bagi para pelajar menengah.
Ini dilakukan kerana mereka juga yakin, ibu bapa kini sudah terbiasa dengan anak mereka mendapatkan bimbingan menerusi wadah online.
"Ada yang lebih suka untuk menghabiskan dua minggu terakhir sebelum peperiksaan. Dengan pembelajaran dalam talian, mereka tidak penat hendak berulang-alik dan pelajar ada lebih banyak masa untuk berehat. Ibu bapa juga boleh membantu memantau dari rumah. Jadi sebenarnya, ada kelebihan," kata Cik Hayati.
Di samping itu, Edufront juga sudahpun mempunyai portal pembelajarannya sendiri. Jadi proses beralih kepada wadah online semuanya berjalan lancar. Antara kemudahan yang disediakan Edufront termasuk mencetak kertas latihan lalu mengirimkannya ke rumah para pelajar.
(Gambar fail: etrangle/Instagram)
Selepas pelajar menghabiskan tugasan tersebut, mereka boleh mengimbas dan menghantarnya kepada guru masing-masing menerusi sistem pembelajaran Edufront. Kertas kerja mereka seterusnya akan dinilai. Cukup sistematik dan teratur.
BELAJAR DI WADAH ONLINE TETAP LAIN
Bagaimanapun, para pengendali pusat-pusat tuisyen akur bahawa memang tidak semua pelajar berfungsi secara berkesan menerusi kaedah online.
"Memang tidak boleh dinafikan bahawa belajar di dalam kelas berbeza. Ia lebih berkesan bagi pelajar yang memerlukan bimbingan sepenuhnya. Saya juga mendengar rintihan seorang ibu yang amat risau. Katanya, anak saya kalau di rumah, tidak boleh belajar. Asyik tengok video atau main permainan," kata Encik Irfan.
"Tidak dinafikan ada satu dua yang prihatin tetapi mereka akur bahawa untuk keselamatan, ini jalan yang terbaik," kongsi Cik Hayati pula.
Edufront buat masa ini belum memutuskan sama ada mereka akan kembali menganjurkan kelas fizikal selepas 10 Oktober - iaitu berakhirnya tempoh sekatan bagi pusat-pusat tuisyen.
Master Maths pula sudah memutuskan untuk tidak mengadakan kelas fizikal sehingga akhir tahun ini kerana kebanyakan pelajarnya akan selesai menduduki peperiksaan paling lewat hujung bulan ini. Pusat itu hanya mengajar Matematik bagi para pelajar Darjah 3 hingga Menengah 4.
"Kalau kita mengadakan kelas fizikal hanya untuk satu atau dua minggu, ia mungkin akan memberi cabaran logistik. Tidak mungkin juga ia akan banyak menjejas pelajaran atau prestasi pelajar."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.