Sekatan COVID-19 ke atas pekerja hijrahan di dormitori dilonggarkan
Singapura akan melonggarkan lagi sekatan COVID-19 terhadap pekerja hijrahan yang tinggal di dormitori dan membenarkan lebih ramai pekerja yang lengkap divaksin untuk mengunjungi tempat-tempat dalam masyarakat, menurut Kementerian Kesihatan hari ini (15 Nov).
SINGAPURA: Singapura akan melonggarkan lagi sekatan COVID-19 terhadap pekerja hijrahan yang tinggal di dormitori dan membenarkan lebih ramai pekerja yang lengkap divaksin untuk mengunjungi tempat-tempat dalam masyarakat, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (15 Nov).
Mulai 3 Disember, pihak berkuasa akan membenarkan 3,000 pekerja hijrahan yang divaksin untuk melawat lokasi dalam masyarakat pilihan mereka, setiap hari dan sehingga lapan jam setiap lawatan.
Ini penambahan dari 3,000 pekerja hijrahan setiap minggu yang dibenarkan sekarang, dengan lawatan terhad kepada Little India dan Geylang Serai sahaja.
Pekerja-pekerja yang divaksin harus menjalani ujian pantas antigen (ART) sebelum mereka meninggalkan dormitori mereka, sebagai langkah berjaga-jaga tambahan, jelas MOH. Pekerja yang tidak divaksin masih tidak layak untuk melakukan lawatan masyarakat.
Kementerian itu menyatakan dormitori-dormitori pekerja hijrahan kini "lebih berdaya tahan terhadap COVID", dengan 98 peratus pekerja hijrahan yang tinggal di dormitori sudah lengkap divaksin.
"Pekerja hijrahan juga kini sedang menerima vaksinasi penggalak pada tahap yang memberangsangkan sebaik sahaja mereka layak," kongsi MOH.
Jangkitan COVID-19 di dormitori "menjadi lebih stabil" dalam beberapa minggu yang lalu, dengan jumlah purata harian 143 pekerja hijrahan disahkan positif menerusi ujian tindak balas berantai polimerase (PCR) sepanjang minggu yang lalu, tambah MOH lagi.
Para pekerja hijrahan di dormitori juga diuji setiap minggu, tidak kira status vaksinasi, kecuali mereka yang sudah pulih daripada virus itu.
Mulai 3 Disember, para pekerja juga akan dibenarkan melawat pusat-pusat riadah setiap hari selama tempoh yang lebih panjang, iaitu lapan jam setiap lawatan. Ini naik dari had tiga kali seminggu sehingga empat jam setiap lawatan.
Pekerja hijrahan yang belum divaksin dikehendaki menjalani ujian pra-lawatan sebelum memasuki pusat-pusat riadah. Mereka boleh menggunakan keputusan negatif daripada ujian rutin berjadual atau daripada ART pra-acara.
Pada masa ini, lawatan terhad kepada pusat rekreasi yang ditetapkan namun mulai pertengahan Disember, pada pekerja hijrahan dibolehkan memilih pusat rekreasi yang ingin dikunjungi.
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedang bekerjasama dengan pihak pengendali pusat rekreasi untuk mempelbagaikan jenis kegiatan di pusat-pusat itu, seperti mengadakan tayangan filem atau permainan sukan. Mereka turut menetapkan proses bagi menguruskan jumlah pengunjung pekerja hijrahan yang lebih ramai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.