Sekatan COVID-19 bawa kesan kepada jualan, pengunjung jelang Deepavali
Meskipun Deepavali hampir menjelang, para peniaga di Little India berkata penjualan musim ini masih lembap di tengah-tengah sekatan COVID-19 sekarang.

Meski Deepavali hampir menjelang, penjualan tetap lembap berbanding sebelum ini. (Gambar-gambar: Jeremy Long)
SINGAPURA: Meskipun Deepavali hampir menjelang, para peniaga di Little India berkata penjualan musim ini masih lembap di tengah-tengah sekatan COVID-19 sekarang.
Jumlah pengunjung juga jauh lebih rendah berbanding tempoh perayaan tahun lalu ketika sekatan terhadap perhimpunan sosial lebih longgar, kata para pegerai.
Sekatan COVID-19 di bawah Fasa Penstabilan asalnya dijadualkan hingga 24 Oktober tetapi dilanjutkan sebulan lagi, menjangkaui cuti Deepavali pada 4 November. Di bawah peraturan itu, perhimpunan sosial dihadkan kepada hanya dua sekumpulan.
Cik Kathija yang menjual biskut dan snek perayaan berjenama Alisa Mahal berkata: "Dulu, satu keluarga akan datang. Sekarang hanya seorang saja. Anda boleh lihat perbezaannya."
Penjualannya merosot 30 peratus berbanding setahun lalu bahkan hanya separuh berbanding sebelum pandemik.
Tambah beliau: "Semangat perayaan ada tetapi disebabkan bajet rendah dan kes semakin tinggi, semua orang bimbang."

PELANGGAN PULANG AWAL
Cik Rai pula, yang mengendalikan butik Amba Ji, berkata penjualannya lembap kerana para pelanggan "amat kesempitan".
"Anda kata ia S$30 - tapi mereka tanya S$20 boleh tak? ... Orang ramai amat kesempitan. Mereka tidak ada kerja, tidak ada duit. Macam mana mahu berbelanja jika mereka tidak ada duit?"
Beliau juga kini menutup kedainya jauh lebih awal berbanding sebelum ini, iaitu sekitar pukul 9.30 malam.
Bagi Cik Prema T, yang membantu mengendalikan Gerai Jothi & Kedai Bunga, jumlah pelanggan pada waktu siang "masih okay".
Tetapi katanya: "Sekarang ini (selepas 9.00 malam) ia kurang sedikit. Dulu, hingga pukul 11.00 malam, 12.00 pagi, anda boleh lihat perhentian bas sesak."
"Saya rasa ramai daripada mereka sedang menjalani kuarantin atau mungkin mereka takut untuk keluar rumah."

SESUATU YANG DINANTIKAN SETIAP TAHUN
Meskipun para pegerai berkata pelanggan kini berkurangan, jalan-jalan di Little India kelihatan sibuk apabila dikunjungi Mediacorp pada Jumaat malam (29 Okt).
Seorang pengunjung, Cik Priyanka Rajan berkata: "Apabila anda di sini, semangatnya lain.
"Ia sesuatu yang kami nantikan setiap tahun. Dengan COVID, ia sedikit berbeza, tetapi kami melakukan yang terbaik daripadanya."
Seorang lagi pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Bindu, sedang membeli-belah pakaian dan barangan ibadat bersama keluarga.
Strateginya untuk kekal selamat: "Kami merancang pergerakan kami, apa yang kami mahu beli...cepat-cepat dan kemudian jalan. Kami tidak berniat mahu meluangkan terlalu banyak masa di sini."
JARAK SELAMAT

Beberapa duta jarak selamat (SDA) juga boleh dilihat menjalankan tugas termasuk Encik Pavaday Sivaraj, 67 tahun dan Encik Sokalingam Alagasamy, 61 tahun.
Kata Encik Pavaday: "Apabila kami mengesan sesuatu (peraturan) dilanggar...kami akan mencari individu bertanggungjawab dan menerangkan kepada mereka: 'Gerai anda terlalu kecil. Anda tidak mematuhi jarak sosial 1 meter'."
"Dan mereka akan mematuhinya. Serta-merta mengambil tindakan. Mereka akan mengarahkan sebilangan pelanggan keluar dan tunggu di luar."
Di tengah-tengah lebih ramai pengunjung, Encik Sokalingam pula menambah: "Lebih ramai orang (bermakna) lebih banyak makluman perlu dikeluarkan tetapi ia masih terkawal.
"Ia tidak sama seperti tahun lalu...Orang ramai masih baru kepada pemakaian pelitup, baru kepada semua langkah-langkah pengurusan selamat. Jadi sekarang mereka sudah tahu, ia jauh lebih mudah untuk kami."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.