Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekatan COVID-19 akan disemak pada awal Ogos; kelonggaran hanya bagi individu sudah lengkap divaksinasi: Lawrence Wong

Keadaan jangkitan COVID-19 di Singapura akan disemak semula pada "awal Ogos" dan jika kelompok jangkitan dapat dikawal serta kadar kemasukan ke hospital kekal rendah, langkah-langkah sekatan akan dilonggarkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 26 Jul 2021 06:26PM Dikemas Kini : 26 Jul 2021 10:24PM

SINGAPURA: Keadaan jangkitan COVID-19 di Singapura akan disemak semula pada "awal Ogos" dan jika kelompok jangkitan dapat dikawal serta kadar kemasukan ke hospital kekal rendah, langkah-langkah sekatan akan dilonggarkan.

Namun, pelonggaran itu akan dibeza-bezakan dan ditawarkan hanya kepada mereka yang sudah divaksinasi, kata Encik Lawrence Wong, yang merupakan pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) yang menangani pandemik COVID-19, di Parlimen pada Isnin (26 Jul).

Dalam kenyataan menterinya berhubung respons terkini Pemerintah terhadap pandemik koronavirus, beliau berkata pihak berkuasa merancang untuk menyemak semula langkah-langkah itu pada titik pertengahan Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) yang bermula pada 22 Jul dan akan diteruskan sehingga 18 Ogos.

Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata dalam menilai status jangkitan secara keseluruhan, ia termasuk melihat pada status kes berjangkit untuk mengesahkan bahawa dengan memberi vaksin, pesakit kurang perlu dimasukkan ke hospital.

Lebih penting lagi, menurut Encik Wong, menjelang awal Ogos, dua pertiga penduduk Singapura sudah menerima dua dos vaksin termasuk sekitar tiga suku penduduk warga emas yang berusia 70 tahun dan ke atas.

Namun apabila sekatan dilonggarkan, hanya mereka yang sudah menerima suntikan vaksin boleh mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti tertentu.

"Pelonggaran langkah-langkah sekatan akan dilaksanakan secara dibeza-bezakan dan ditawarkan kepada mereka yang sudah divaksinasi, kerana mereka mempunyai perlindungan lebih baik terhadap kesan virus," kata Encik Wong.

Misalnya, hanya individu yang sudah divaksinasi boleh menghadiri acara berskala besar atau acara keagamaan, makan di restoran atau bersenam di gimnasium.

Sekitar awal September pula, Pemerintah menjangkakan dapat terus melonggarkan sekatan COVID-19 apabila sekitar 80 peratus penduduk sudah menerima vaksin penuh, dengan kadar serupa bagi penduduk berusia 70 tahun dan ke atas.

Ini termasuk sekatan terhadap perhimpunan beramai-ramai dan melakukan perjalanan ke luar negara bagi mereka yang sudah divaksinasi, katanya.

"Kami juga akan mula membuka semula sempadan, terutama sekali bagi individu yang sudah divaksinasi untuk melakukan perjalanan ke luar negara.

"Kita akan mula menubuhkan koridor perjalanan dengan negara-negara atau wilayah yang dapat menangani COVID-19 dengan baik dan di mana keadaan jangkitan terkawal," kata Encik Wong.

Penduduk yang sudah divaksinasi boleh "melakukan perjalanan ke luar negara secara lebih bebas" dan tidak perlu menjalani notis jangan keluar penuh selama 14 hari di sebuah hotel sebaik pulang ke sini.

Bergantung kepada tahap risiko negara yang dikunjungi, SHN digantikan dengan rejim ujian ketat atau notis pengasingan dipendekkan kepada tujuh hari yang boleh dijalani di rumah masing-masing.

Mereka yang belum divaksinasi masih boleh melakukan perjalanan ke luar negara namun mereka tertakluk kepada syarat notis SHN sedia ada, katanya.

"MTF masih melakarkan perinciannya dan kami akan mengumumkan butiran lanjut apabila ia sudah siap kelak," kata Encik Wong.

"Namun saya ingin memberi jaminan kepada semua orang bahawa kami komited untuk melakasanakan pelan tersebut."

Encik Wong menegaskan bahawa pelonggaran sekatan itu akan dikaitkan dengan kadar vaksinasi dalam golongan warga emas.

"Jika ramai warga emas belum lagi divaksinasi, kami akan terus bimbang tentang kes yang dimasukkan ke hospital dan di unit jagaan rapi serta juga kematian,"ujarnya.

Beliau menggesa mereka yang belum mendapatkan suntikan vaksin atau belum lagi berdaftar supaya "tampil ke depan".

PEMAKAIAN PELITUP TERAKHIR DILUCUTKAN

Encik Wong berkata pasukan bertindak juga mengawasi dengan rapi keadaan di negara-negara lain, terutama yang memilih untuk membuka semula negara masing-masing meskipun tidak punya kadar vaksinasi yang tinggi.

Beliau menarik perhatian bagaimana kedua-dua Belanda dan Britain menyaksikan lonjakan kes COVID-19 setelah memutuskan untuk membuka semula ekonomi mereka meskipun kadar vaksinasi masing-masing adalah sekitar 45 peratus dan 55 peratus.

Di Belanda misalnya, jumlah kes meningkat 10 kali ganda kepada purata 10,000 dalam sehari dalam tempoh dua minggu pembukaan semula. Negara itu sudah pun melaksanakan semula sekatan, kata Encik Wong.

"Apa yang jelas kepada pasukan bertindak berbilang kementerian dan penasihat perubatan bahawa kita perlu berhati-hati apabila memutuskan untuk menarik balik sekatan apabila sebilangan besar penduduk belum lagi menerima vaksinasi penuh, terutama sekali golongan warga emas yang mudah terjejas," katanya.

Meskipun begitu, sedang Singapura membuka semula sempadannya secara beransur-ansur, beliau berkata langkah pengurusan selamat seperti memaksi pelitup dan jaga jarak selamat tetap diutamakan.

Walaupun penggunaan pelitup "mungkin salah satu daripada peraturan terakhir untuk digugurkan", Encik Wong berkata pihak berkuasa mungkin menimbangkan tidak mewajibkannya semasa berada di luar.

"Kita harus terus berdisiplin dan mengekalkan amalan-amalan ini, meskipun ketika beralih ke norma baru."

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan