Skip to main content

Singapura

Sejauh mana S'pura siap beralih ke arah masa depan EV - teknisyen ini peran contoh berjaya dakap perubahan

Anggaran Waktu Membaca:
Sejauh mana S'pura siap beralih ke arah masa depan EV - teknisyen ini peran contoh berjaya dakap perubahan

Gambar: Tower Transit Singapore, CNA/Grace Yeoh

Diterbitkan : 19 Jun 2022 09:25PM
SINGAPURA: Sebagai salah satu pekerja pertama di Tower Transit Singapura untuk memeriksa bas elektrik, Encik Muhammad Isa Ali dapat menerangkan dengan jelas perbezaan antara kenderaan yang menggunakan minyak diesel dan sebuah bas elektrik.

Salah satunya adalah, kurang bunyi bising dan asap berbahaya yang dikeluarkan.

Menurut penyelia kejuruteraan berusia 31 tahun itu, seorang bayi akan terus tidur lena jika bas elektrik lalu dekat rumahnya.

Pengetahuan Encik Isa mengenai bas elektrik didorong semangatnya untuk meningkatkan kemahiran menerusi pelbagai peluang yang ada.

Ketika mula bekerja di Tower Transit Singapore sebagai teknisyen kenderaan pada 2016, beliau hanya mempunyai diploma dalam bidang kejuruteraan marin yang tidak ada kena mengena dengan tugasnya.

Sedar beliau harus meningkatkan pengetahuannya, Encik Isa merujuk ke sumber yang agak luar biasa: Permainan video.

"Ada satu permainan video yang namanya 'Car Mechanic Simulator'. Ia mengajar saya beberapa perkara mengenai bahagian kenderaan. Ia juga mengajar saya bagaimana untuk membuka bahagian-bahagian tersebut. Namun, ia tidak mengajar saya cara membuka skru dalam ruang yang sempit, "kata beliau.

Sebagai teknisyen kenderaan, tugas utamaya ialah untuk memeriksa bas bagi memastikan ia selamat dan tidak akan rosak ketika di atas jalan raya.

Sejak itu, beliau juga dilatih dan diberi pensijilan dalam kesedaran dan pengurusan keselamatan kenderaan elektrik (EV).

Dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) kini mengambil langkah untuk melatih teknisyen dalam penyenggaraan bas menggunakan tenaga lebih bersih,lebih ramai teknisyen seperti Encik Isa boleh mendapat peluang yang sama tidak lama lagi.

LTA menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Institut Pendidikan Teknikal (ITE)yang mana ITE Kolej Barat ditetapkan sebagai pusat penilaian satelit kedua Akademi Bas Singapura (SBA). Pusat pertama terletak di Politeknik Republik.

Teknisyen dari empat pengendali bas awam boleh memanfaatkan program di kedua-dua pusat penilaian satelit untuk menjalani latihan dan penilaian teknisyen dalam bidang penyenggaraan dan membaiki bas elektrik dan hibrid.

Kursus yang ditawarkan sejajar dengan keinginan peribadi Encik Isa untuk terus menimba ilmu.

Tiga tahun lalu, syarikatnya menawarkan untuk menaja bersama pengajian beliau dalam Diploma Kejuruteraan (Teknologi dan Operasi Kenderaan) secara sambilan di Politeknik Republik.

MINAT TERHADAP KENDERAAN ELEKTRIK

Dengan Singapura lebih tertumpu ke arah masa depan negara hijau, Encik Isa bukan satu-satunya orang yang berazam untuk meningkatkan kemahiran.

Pegawai teknikal automotif di Strides Mobility, James Rayappan, yang juga minat dengan kenderaan EV, akan meraih manfaat daripada satu lagi MOU yang ditandatangani LTA bulan lalu.

MOU yang dimeterai dengan 21 badan lain termasuk Strides Mobility, akan membangunkan peluang latihan bagi teknisyen baru dan sedia ada seperti Encik Rayappan untuk menyokong usaha ke arah penggunaan kenderaan elektrik.

Program pensijilan yang diiktiraf semua pihak terlibat dalam MOU itu akan membolehkan teknisyen mendapatkan latihan khusus dalam penyengaraan EV.

Bagi Encik Rayappan yang sudah setahun bekerja mengendalikan kenderaan EV, beliau juga sudah dihantar untuk menjalani latihan dalam penyenggaraan EV, serta kursus tahunan untuk mempelajari semula kemahiran beliau.

Encik Rayappan juga kerap melungsuri media sosial untuk mencari trend EV terkini.

Minatnya semakin kuat apabila dia mendapat tahu bahawa Strides bercadang untuk menukar teksinya kepada EV.

RP
Gambar: Muhammad Isa Ali

KEKAL RELEVAN

Encik Isa menjangkakan permintaan bagi teknisyen IT dalam masa "mungkin 20 hingga 30 tahun".

Maka itu, Encik Isa merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang IT atau kejuruteraan mekanikal dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Jika anda tidak meningkatkan kemahiran anda, orang lain yang mungkin jauh lebih tua dari anda akan mengambil tempat anda," tambah beliau. "Ini adalah salah satu motivasi bagi saya. "

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita