Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sejauh mana harus anda bimbang akan gelombang ke-5 COVID-19?

Singapura tidak perlu menukar haluan dalam cara ia menangani COVID-19, kata pakar kesihatan awam, sekalipun gelombang kelima koronavirus itu mengancam negara ini seawal Julai.

Anggaran Waktu Membaca:
Sejauh mana harus anda bimbang akan gelombang ke-5 COVID-19?

Pejalan kaki melintasi jalan raya di Orchard Road. (Gambar fail: Aaron Low/TODAY)

Diterbitkan : 13 Jun 2022 10:07PM Dikemas Kini : 13 Jun 2022 10:10PM
SINGAPURA: Singapura tidak perlu menukar haluan dalam cara ia menangani COVID-19, kata pakar kesihatan awam, sekalipun gelombang kelima koronavirus itu mengancam negara ini seawal Julai.

Gelombang seterusnya COVID-19 kemungkinan besar disebabkan varian BA.4. dan BA.5 Omicron, yang sudah merebak ke beberapa negara termasuk Singapura.

Bagaimanakah gelombang baru itu nanti memberi kesan pada Singapura? Berikut apa yang kami tahu sejauh ini:

APA ITU BA.4 & BA.5?

BA.4 and BA.5 adalah dua jujukan baru Omicron yang dianggap lebih mudah berjangkit tetapi ia nampaknya tidak menyebabkan penyakit yang lebih teruk.

“Jujukan baru BA.4 and BA.5 yang membimbangkan nampaknya boleh mengelak antibodi, bermakna jumlah kes kemungkinannya meningkat sekali lagi, kerana BA.4 serta 5 lebih berkemungkinan membawa kepada jangkitan yang besar dan juga, imuniti yang diperolehi daripada pengambilan vaksin atau disebabkan oleh jangkitan boleh terus merosot," terang Profesor Madya Natasha Howard dari Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock NUS.

“Bagaimanapaun, data juga membayangkan jujukan baru ini akan terus menyebabkan penyakit agak ringan sebagaimana dengan jujukan Omicron lain. Maka itu, meskipun jangkitan tidak diingini, ia sepatutnya mengurangkan kemungkinan anda dimasukkan ke hospital berbanding apabila Delta adalah varian dominan."

MENGAPA JULAI ATAU OGOS?

Awal bulan ini (2 Jun), Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata gelombang kelima COVID-19 berkemungkinan melanda Asia, atau Singapura, dalam masa beberapa bulan, bahkan menjelang Julai atau Ogos.

Encik Ong berkata pada 5 Jun bahawa meskipun Kementerian Kesihatan (MOH) sudah mengesan beberapa kes COVID-19 yang melibatkan jujukan baru BA.4 dan BA.5, ia belum "mengatasi" jujukan BA.2. Jujukan Omicron BA.2 membentuk 99 peratus daripada kes jangkitan tempatan COVID-19 sejak April.
HARUSKAH SAYA RISAU AKAN GELOMBANG SETERUSNYA?

Encik Ong juga berkata pada 2 Jun bahawa gelombang kelima melanda Afrika Selatan buat tempoh yang singkat.

Beliau menjelaskan Afrika Selatan mempunyai "tahap tertentu daya ketahanan" daripada empat gelombang yang lalu serta perlindungan vaksinasi.

“Melihat pengalaman Afrika Selatan, kita boleh bersikap optimistik kerana daya ketahanan kita tinggi dan perlindungan vaksinasi kita juga amat tinggi. Kita sudah melalui gelombang Delta dan BA.2, yang memberikan kita perlindungan lebih baik berbanding gelombang BA.1 yang sudah dialami Afrika Selatan.

“Mentelah lagi, kita masih memakai pelitup sebagai satu benteng pertahanan. Maka kami merasakan bahawa BA.4 dan BA.5 adalah gelombang COVID-19 yang boleh kami tempuhi. Namun, kita tidak harus berpeluk tubuh dan tetap bersiap siaga menghadapinya."

APA YANG DILAKUKAN S'PURA SEBAGAI PERSEDIAAN?

Encik Ong berkata ketika gelombang Omicron, banyak persekitaran jagaan kesihatan tidak mampu mengendalikan pesakit COVID-19 dan terpaksa menghantar mereka ke hospital. Ini termasuk rumah rawatan dan hospital privet.

“Kami perlu mencari lebih banyak katil sekiranya tekanan mula meningkat lagi di hospital-hospital kita, demi meringankan beban hospital."

Beliau menambah katil tersebut boleh diambil dari perkhidmatan jagaan rumah dan rumah rawatan serta kemudahan rawatan COVID-19.

Beliau juga menggesa warga emas agar mendapatkan suntikan dos penggalak. Di Singapura, lebih 88 peratus warga emas berusia 60 tahun dan ke atas yang layak untuk mendapatkan dos penggalak sudahpun berbuat demikian.

“Namun, kita masih ada 12 peratus (warga emas) yang belum mengambilnya dan apabila gelombang itu membadai, mereka adalah yang paling mudah terdedah," tekan Encik Ong.

“Memandangkan mereka belum divaksin sepenuhnya, apabila mereka dijangkiti, kami akan tetap menyaksikan jumlah agak tinggi warga emas yang dimasukkan ke ICU. Seandainya kita melakukan semua ini, saya yakin kita boleh mengharungi gelombang BA.4, BA.5."

SIAPA PATUT DAPATKAN SUNTIKAN DOS PENGGALAK KEDUA?

Warga emas berusia 80 tahun dan ke atas, penghuni di kemudahan jagaan warga emas seperti rumah rawatan dan individu yang mudah terdedah dari segi perubatan yang berisiko lebih tinggi mengalami sakit teruk seharusnya mendapatkan suntikan dos penggalak kedua.

Mereka yang berusia 50 hingga 79 tahun juga boleh menerima suntikan dos penggalak kedua jika mereka memilih untuk berbuat demikian.

Warga tua yang layak boleh pergi ke mana-mana pusat vaksinasi pada bila-bila hari biasa sebelum pukul 7.00 malam. Mereka juga boleh pergi ke Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) atau poliklinik yang mengambil bahagian.

Mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas, yang mudah terdedah dari segi perubatan kepada COVID-19 teruk, tidak perlu lagi mendapatkan rujukan doktor untuk menerima suntikan dos penggalak kedua. Mereka sebaliknya boleh mengisytiharkan sendiri keadaan kesihatan mereka.

Suntikan dos penggalak kedua seharusnya diambil sekitar lima bulan selepas dos penggalak pertama.

MUNGKINKAH SEKATAN COVID-19 KEMBALI BERKUAT KUASA?

Prof Madya Howard berkata sama ada langkah-langkah pengurusan selamat akan kembali dikuatkuasakan bergantung kepada kemudaratan gelombang seterusnya.

“Jika kemasukan hospital dan kadar kematian naik secara ketara, maka masuk akal untuk mengetatkan langkah-langkah pengurusan selamat, misalnya melaksakan semula jarak selamat dan memakai pelitup di tempat terbuka atau mengurangkan saiz kumpulan," kata beliau.

“Bagaimanapun, jika jumlah kes kelihatan tidak membebankan sistem kesihatan, maka tidak perlu untuk membuat perubahan ketara."
Beliau menambah orang ramai tidak perlu melakukan perkara baru atau secara berlainan di peringkat sekarang ini.

Prof Madya Howard juga menasihatkan orang ramai yang akan membuat perjalanan ke luar negara agar memastikan mereka mempunyai perlindungan insurans dan "tahu perkara-perkara penting" berkenaan sistem kesihatan negara destinasi yang ingin dituju.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan