Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sejarah Orang Seletar disingkap dalam forum, pameran Taman Warisan Melayu

Mereka merupakan antara 'Orang Asli' Singapura. Namun sayangnya, sejarah mereka tidak didengari mahupun diketahui ramai.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mereka merupakan antara 'Orang Asli' Singapura. Namun sayangnya, sejarah mereka tidak didengari mahupun diketahui ramai.

Begitulah nasib sejarah Orang Seletar, yang membentuk salah satu suku Orang Laut, dan dipercayai kumpulan ‘Orang Asli’ dan Orang Laut yang terakhir di Singapura.

Berpandukan pentingnya sumber maklumat itu kepada sejarah Singapura, sebuah program menyeluruh yang menyingkap sejarah suku keturunan itu diadakan mulai esok (5 Okt) di Taman Warisan Melayu.

Usaha tersebut juga seiring dengan acara memperingati 200 tahun Singapura, pada tahun ini.

SIAPA ORANG SELETAR?

Misi menyelongkar sejarah Orang Seletar dipenuhi dengan penceritaan lisan dua beradik, Eddy Salim dan Jefree Salim, yang berketurunan Orang Seletar.

Meskipun tidak dibesarkan di Pulau Seletar, Eddy berkongsi Orang Seletar dahulunya tinggal di pulau yang terletak di Selat Johor, namun berada di perairan Singapura.

Pulau seluas 1 kilometer itu juga terletak berdekatan dengan Sengkang, Punggol, Yishun dan Simpang.

Kini Pulau Seletar sudah tidak lagi berpenghuni, jelas Eddy.

Namun, 200 tahun lalu, malah sebelum ketibaan Sang Nila Utama di tanah ini lagi, Pulau Seletar merupakan sebuah pulau penting yang menempatkan Orang Seletar.

"Sejarah Singapura ini sebenarnya panjang, walaupun Singapura ini ialah Singapura yang moden, kita cuma merdeka pada 1965, tapi sejarah kita sebelum Sang Nila Utama datang, sudah memang ada Orang Seletar di sini.

"Fungsi mereka dalam membina kerajaan Melayu dulu dan membina sejarah awal moden Singapura," tekan Jamal Mohamad, Pengurus Program Kanan MHC.

Eddy berkongsi keluarga terakhir Orang Seletar dipercayai tinggal di pulau itu sehingga tahun 1960-an.

Sebelum itu, kebanyakan daripada mereka yang mencari nafkah sebagai nelayan 'lari' ke kawasan Selat Johor apabila berlakunya Perang Dunia Kedua.

(Gambar dipetik oleh Daniel, penduduk Kampung Sungai Temon)

BAGAIMANA KEHIDUPAN ORANG SELETAR?

Apabila ditanya bagaimana kehidupan Orang Seletar pada masa lalu, Eddy berkongsi mereka hidup di atas 'sampan' yang dipanggil 'pau kajang.

Ini meskipun Orang Seletar mempunyai rumah sendiri di atas laut yang dipanggil dalam Bahasa Kaon sebagai 'Bente'.

"Orang Seletar duduk dalam sampan, beranak dalam sampan, makan dalam sampan, nak dapatkan air tu daripada Tuhan bagi air hujan baru kita dapat juga dapat air.

"Bayangkan mereka nak kasi anak-anak mereka besar itu, duduk dalam sampan, kalau tujuh orang tidur macam sardin," kongsi Eddy.

(Gambar: Jefree Salim)

(Gambar: Jefree Salim)

CUBA GIATKAN KEMBALI SEJARAH

Kini bagi dua beradik itu, sejarah Orang Seletar hanya tinggal dalam kenangan sesama mereka sendiri, memandangkan kisah mereka tidak diketahui ramai.

Lantaran itu, bagi Jefree sendiri beliau cuba untuk merakam sejarah suku keturunannya itu menerusi fotografi.

"Kebanyakan orang tidak tahu tentang sejarah Orang Seletar, jadi kebanyakan masyarakat kami dari lisan ke lisan tidak ditulis di dalam buku, tidak direkod, tidak dirakam, tak diambil ambil gambar untuk generasi akan datang, jadi kebanyakan hilang macam gitu saja.

"Jadi, saya fikir melalui kamera ini saya cuba untuk merakamkan gambar-gambar tentang kehidupan masyarakat kami," kongsi Jefree, anak ketiga daripada 12 beradik.

Gambar dan sejarah lisan dari kedua-dua adik beradik itu dimuatkan dalam sebuah sesi forum yang berlangsung Pada Sabtu (5 Okt).

Bersempena dengan Pesta Budaya Melayu 2019 juga sebuah pameran tentang Orang Seletar turut akan ditampilkan bermula dari 16 hingga 20 Oktober di Taman Warisan Melayu.

Pada tarikh dan tempat yang sama, pementasan mengenai Orang Seletar yang berjudul 'Air' turut akan diadakan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/UR/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan